Sunday, October 16, 2011

DI SEBALIK KESYAHDUAN ALUNAN SERULING ALHAFIZ



Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Kita sering mendengar dan tertanya-tanya siapakah yang meniup alunan seruling irama selawat sebelum azan di radio Warna 94.2FM. Pemuda yang menjadikan seruling sebagai ‘senjata’ untuk mencari rezeki boleh dianggap pemuzik yang berbakat besar dan amat istimewa. Alhafiz Jamat boleh dianggap seorang peniup seruling yang terbaik di Singapura. Cara dia mengalunkan serulingnya mudah ‘memukau’.

Album Sabda Alam, merupakan album instrumental ketiga bagi Alhafiz. Kini, album ini telah berada di pasaran. Sebelum ini, album Dharma adalah hasil himpunan karya-karya Alhafiz sendiri. Kemudian, album Spa Munajat, yang berkonsep tema atau rentak selawat yang amat berjaya di pasaran. Album terbarunya, Sabda Alam, masih tetap dengan konsep New Age, harus semestinya dimiliki oleh setiap penggemar muzik.

Alunan muzik mendayu-dayu yang dibawakan oleh Alhafiz boleh membawa kita ke satu dimensi ketenangan secara spiritual, amat diperlukan oleh setiap orang. Kesemua lagu dalam Sabda Alam dicipta sendiri oleh Alhafiz disamping telah mengadun serta bermain berapa instrumen lain. Pemain yang berbakat besar ini mempunyai kebolehan yang luarbiasa. Dia boleh bermain beberapa muzik seperti gitar, piano, keybod, gendang, seruling bambu dan juga akordion. Semua alat muzik yang dimainkan oleh Alhafiz dipelajarinya sendiri.

Perjalanan muzik Alhafiz berputik sejak dia kecil lagi. Tetapi hanya ketika umurnya menjangkau 15 tahun dia mula membuat persembahan bersama kumpulan nasyid Munir bersama teman sedarjahnya Md Barkery. Alhafiz bermula bermain alat muzik ketika ayahnya menghadiahkan sebuah keybod setelah dia cemerlang dalam peperiksaan menengah 2. Dia tidak henti-henti belajar sendiri dan kemudian belajar bermain gitar dan seruling bambu. Sehingga kini, seruling bambu menjadi ‘teman’ utamanya dalam berbagai persembahan. Yang menjadi inspirasi Alhafiz ialah peniup seruling Malaysia yang terkenal, Mohardiman Ismail.

Alhafiz juga banyak belajar mengenai gendang dengan Kamal Baba dari Gendrum Network. Oleh kerana pendedahan dengan muzik semakin meluas, Alhafiz sering dijemput untuk bermain seruling di beberapa persembahan seperti Gentarasa dan Rock Opera. Alhafiz juga aktif bersama Sri Gemilang, Sri Mahligai dan juga Orkestra Melayu Singapura. serta aktif membuat pertunjukkan di TV Singapura, Esplanade dan juga sering kali membuat persembahan di luar negara seperti di Jepun, Kampuchea, Hawaii, Indonesia dan juga Malaysia.

Yang menjadi sejarah terpenting dalam hidupnya bila seorang produser, Zag Fahmoa menawarkan Alhafiz untuk menerbitkan album solonya pada tahun 2005. Pada tahun selanjutnya, album pertama Alhafiz yang berjudul Dharma muncul dibawah naungan Zag Production. Kemudian, muncul pula Spa Munajat dan yang terkini Sabda Alam. Dan sebuah lagi album yang juga akan muncul dalam masa terdekat ialah Spa Munajat II.
Ada sepuluh buah lagu dalam album Sabda Alam ini. Di antaranya ialah Sabda Alam, Tribute to Earth, Dancing Souls, Divine, Dawn, Samudra (interlude), Samudra, Roh Buana, Zenta (Serenity) dan Crying Gaia.

Susunan dan ciptaan lagu semua dilakukan oleh Alhafiz dengan sentuhan pemuzik-pemuzik yang berpengalaman seperti Naksatra (Nepal), Budi Santoso (Indonesia), Izuki (Japan), Wan Ramli (Singapura) dan A Fattah (Sarawak)

Bila anda mendengar instrumental Dawn, anda umpama mengalami keceriaan sewaktu fajar. Suasana kedamaian itu dapat menenangkan fikiran dan jiwa yang sedang berkecamuk. Dalam muzik Alhafiz, ada kesan-kesan terapi dalaman serta mengimbangi spiritual pendengar.

Alunan seruling bambu Alhafiz akan membawa anda ke suatu ‘medan’ yang sukar dicari, tetapi sebenarnya wujud. Dan disebalik lenggok dan gaya Alhafiz, anda pastinya akan terdampar dalam dunia yang indah dan mententeramkan. Kesan-kesan ini dapat digambarkan dalam Divine, Zenta (Serenity), Tribute To Earth dan Crying Gaia.
Adalah satu lagu yang agak berbeza kerana ada gabungan rentak Bassanova dan elemen tradisional sunda/jawa yang berjudul Dancing Souls yang pasti menarik para pendengar.

Hasil karya Alhafiz pastinya tidak akan terhenti dalam lingkaran album saja. Instrumental ciptaannya sudah boleh melangkah lebih jauh dari sempadan Singapura. Bukan itu saja, muzik ciptaan Alhafiz sebenarnya boleh dijadikan muzik latar untuk drama mahupun filem.

Para penggemar muzik New Age, ini adalah satu-satu album instrumental yang anda tidak harus terlepas pandang. Tiupan seruling Alhafiz yang memukau membuat kita amat berbangga mempunyai seorang pemuzik sepertinya. Jika negara Malaysia mempunyai Mohardiman, seorang peniup seruling yang hebat, Singapura juga tidak kurang hebatnya memiliki pemuzik Melayu yang berbakat dan kreatif

Alhafiz bukan setakat membantu menerbitkan album ini saja, sebelum ini dia telah membantu untuk menerbitkan dan juga penyusun bagi album Hijrah (Maman), Bianglala (MasImran), Journey to Ihsan, Iman & Taqwa (Syamil), Divine Inspiration (Madrasah Aljunied Angklung Ensemble), Bismillah (Imran Mohamed), Ad-Deen (Ad-Deen) dan Zabda Arna, Zero Mind (Naksatra)

Ada lagi satu projek album Alhafiz yang baru dilancarkan. Ia adalah projek secara kumpulan yang dinamakan OrkeStar Trio (OST). Alhafiz bergabung dengan Ismahairie Putra (gambus, viola) dan Riduan Zailani (genderang) untuk kompilasi lagu-lagu intrumental yang unik dalam sebuah album.

Anda boleh dapatkan album Sabda Alam di pasaran atau melalui Zag Production di talian 945 76059.
end

Monday, May 2, 2011

BUKU ‘BERUBAT DENGAN SOLAT’ MEMBUKA PERSPEKTIF ISLAM DALAM PERUBATAN


“Wahai orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai pertolonganmu.” (al Baqarah : ayat 153) Dalam ayat ini, kita telah diberitahu bahawa solat merupakan bantuan dan pertolongan yang menyeluruh dalam Islam.

Dalam buku ini, penulis dengan teliti telah menerangkan kelebihan solat sebagai medium menyihatkan fizikal secara ringkas dan mudah difahami. Sesungguhnya, pada setiap aktiviti solat itu terkandung rahsia perubatan yang hebat, dan ramai antara kita tidak mahu menerokai kehebatan itu.

Fakta-fakta ilmiah dan disertakan dari Quran dan hadis menjadi titik persoalan kajian dalam buku ini. Kesihatan yang baik sama ada jasmani ataupun rohani adalah impian setiap individu. Kesihatan juga dapat diperolehi daripada aktiviti senam dan amalkan makanan seimbang. Namun, hanya segelintir kita yang sedar, bahawa solat juga dapat menjadi ubat bagi penyakit fizikal dan mental. Malahan segala penyakit boleh diubati dengan bersolat.

Penulis buku ini, Fahrur Mu’is dilahirkan di Jepara, Jawa tenga. Beliau pernah mendapat pendidikan di Lembaga Bahasa Arab dan Studi Islam Al Imrat bandung dan pernah meraih gelaran sarjana pendidikan Islam dari Universiti Muhammadiyah Surakarta. Karya-karyanya yang pernah diterbitkan termasuk Agar Solat Tak Sia-sia, Bahagia Saat Sakit (Pustaka Iltizam), Nama Terindah untuk Anakku (Pustaka Ad Da’wah) dan Sedekah Tanpa Wang (Aqwam).

Pengarang juga menjelaskan dalam buku ini bahawa solat boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Dengan ketenangan jiwa, maka lebih mudah untuk menyembuhkan penyakit yang semuanya berasal dari hati. Jawapan sebenar ialah keimanan dan keyakinan. Hanya dengan iman dapat membahagiakan jiwa, membersihkan, menyucikan, dan mengusir tekanan.

Solat sebenarnya boleh mengubati penyakit cintakan dunia. Bila terlalu mencintakan dunia, akan mengakibatkan banyak manusia lalai dalam cara hidup yang megah dan bersuka-ria. Kemahuan pada dunia memang tidak pernah berhenti. Cara hidup ini mudah menimbulkan tekanan yang panjang. Dan jika tersilap, cinta dunia dapat membutakan mata hati manusia.

Sebenarnya, sebelum kita bersolat saja telah banyak mengajar kita untuk memelihara diri kita. Kebersihan luar dalam manusia serta cara kita membersihkan dengan beristinjak dan sebagaimana juga berperanan untuk menjaga dan menyembuh penyakit kita. Wuduk dan juga solat yang khusyuk serta pasrah kepada Maha Pencipta akan memantapkan diri kita dalam segala hal kesihatan.

Setiap kali kita solat waktu atau sunat, ada saja kesan yang dikaitkan dengan tubuh kita. Pengaruh waktu-waktu solat kepada organ tubuh adalah seperti berikut :

Subuh - Paru-paru menyerap oksigen sebagai bahan bakar bagi
metabolisma tubuh hingga manusia dapat beraktiviti.
Dhuha - Meningkatkan penyerapan makanan sebagai sumber
tenaga bagi beraktiviti sepanjang hari.
Zohor - Ada kesan pada jantung. Fasa penyejuk kerana seluruh
11 sistem tubuh sudah bekerjaja secara optimum dari pelbagai aktiviti yang dilakukan manusia pada siang hari.
Asar dan maghrib - Adalah fungsi detoksifikasi, di mana seluruh sisa
Metabolisma dibuang melalui ginjal dan usus kecil.
Isyak - Hati dan pankreas berfungsi. Proses penyerapan bagi
Mengganti sel-sel mati sekaligus sebagai proses membina imuniti (daya tahan tubuh) hingga selepas Isya’, Tubuh perlukan isitirahat supaya proses perbaikan berjalan dengan optima.
Tahajud & Witir - Hati pankreas dan hempedu juga akan berperanan dan
berfungsi ketika ini.

Abdullah bin Masud pernah bertanya kepada nabi, “Apakah amal yang utama?” Beliau menjawab, “Solat tepat pada waktunya.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Sesiapa saja yang menjaga solat tepat waktunya akan mendapat pahala yang maksima dan manfaat kesihatan yang lebih maksimum. Sebenarnya, ada mukjizat dalam pergerakan yang berulang-ulang, sebagaimana diamalkan oleh kata-kata nabi, ‘Solatlah kamu sebagaimana kamu melihatku solat.” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Dalam buku yang membongkarkan banyak-banyak rahsia solat. Solat memiliki manfaat bagi manusia, baik sedar mahupun tidak. Solat bukanlah ibadah tanpa makna yang hanya menyebabkan letih bagi yang melakukannya. Solat juga menjadi pembuka pintu rezeki. Tidak ada cerita mengenai orang yang mendirikan solat rezekinya tersekat. Sebaliknya, Allah mencegah rezeki daripada seseorang kerana maksiat yang dilakukannya.

Bila bersolat, bukan setakat jiwa raga yang sihat. Malahan ia dapat seimbangkan tekanan darah. Dan ketika bersujud, ia dapat melancarkan peredaran darah ke otak. Mencegah penyakit jantung juga adalah salah-satu kebaikan bersolat. Selain itu, bila ketenangan itu datang bila mengingati Allah, antibodi dalam tubuh kita akan bertambah kuat.

Penulis Fahrur Mu’is menjelaskan lagi bahawa keadaan yang jiwa yang tenang dan tenteram berpengaruh kepada keseimbangan penghasilan hormon dalam tubuh. Keseimbangan antara jasmani dan rohani membuat organ berfungsi dengan baik. Ada satu kajian yang dijalankan di Perancis bahawa solat dapat mengubati sakit belakang. Ia menguatkan otot dan sendi, kerana pergerakan dalam solat menjadikan semua sendi dan otot manusia bergerak. Bacaan-bacaan dalam solat juga berfungsi sebagai latihan pernafasan yang baik bagi kesihatan. Pergerakan-pergerakan seperti berdiri, rukuk, bangun dari rukuk, turun untuk bersujud, bangun daripada sujud, dan salam, masing-masing memiliki energi untuk menyembuhkan dan menjadikan kita lebih tenteram dan sihat. Dan jika terokai lebih lanjut, kita harus yakin dengan Allah bahawa solat dapat menyembuhkan segala macam penyakit.

Terbitan : PTS ISLAMIKA Sdn Bhd
Penulis : Fahrur Muis
Harga : RM13.00

DOA IBU SEBENARNYA SETANDING DENGAN DOA NABI


“Doa ibu setanding dengan doa nabi untuk umatnya, membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki, dan pintu hidayah sepanjang zaman. Justeru setiap anak wajib mentaati menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa tanpa mengeluarkan kata-kata kasar yang mampu mengundang rasa marah insan mulia yang tinggi martabatnya di sisi Tuhan.”
Buku Dasyatnya Doa Ibu merungkai fakta-fakta sejarah kisah-kisah benar, ayat-ayat Quran serta hadis-hadis yang menjadi bukti kekuasaan dan keajaiban doa para ibu yang mampu memberi kebahagiaan mahupun kebinasaan kepada anak-anak dalam sekelip mata sahaja.
Kehebatan doa seorang ibu kepada anaknya yang ditulis oleh Syamsuddin Noor dari Depok, telah memberikan satu perspektif yang meluas mengenai doa seorang ibu. Setiap yang beriman perlu yakin, bahawa doa yang dipanjatkan kepada Allah, Tuhan yang maha suci dan maha mengabulkan doa pasti memberi faedah bagi kehidupannnya di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya perasaan kasih sayang yang Allah berikan kepada hati seorang ibu demikian kuat. Ini yang menjadi sumber kedasyatan atau kehebatan doa seorang ibu untuk anaknya. Seorang ibu pasti sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya. Dan seorang ibu berharap anaknya memperoleh rahmat, keberkatan dan petunjuk yang benar. Dan ada beberapa lagi kisah sejarah yang diungkapkan sewaktu zaman Nabi Musa untuk dijadikan iktibar.
Buku ini pertama sekali dicetak pada tahun 2009. Dan kini sudah diulang cetak untuk kali yang ketujuh. Buku yang mempunyai 209 halaman membentangkan berbagai tajuk mengenai kepentingan dan kehebatan doa-doa ibu untuk anak-anaknya. Ada hadis yang menyatakan, ibu yang mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk anak-anaknya, sama dengan nabi yang mendoakan kebaikan untuk umatnya. Nabi Muhammad bersabda, “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya.” (Hadis ad-Dailami)
Doa ibu pembuka pintu hidayah sepanjang zaman. Ibu adalah lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding bapa. Darjat ibu adalah tiga kali lebih mulia daripada bapa. Oleh itu, Nabi Muhammad memerintahkan kita supaya banyak berbankti kepada ibu.
Nabi mengingatkan lagi, “Keredhaan Allah itu bergantung pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan ibu bapa.”
Dalam buku ini juga, penulis telah menjelaskan beberapa perkara mengenai kewajipan kepada orang tua. Quran, sunah dan ijmak ulama menegaskan hukum berbakti kepada orang tua adalah wajib. Saranan juga supaya seorang anak lebih mengutamakan ibu. Kita perlu memahami betapa orang tua kita, terutamanya ibu kita menyanyangi kita. Kasih sayang mereka yang mengiringi perjalanan hidup kita. Oleh itu, sememangnya wajar apabila orang tua menginginkan anak-anak memuliakan dan menghormati mereka.
Apabila memandang ibu dengan penuh kasih sayang itu dianggap amal soleh, tentu pahalanya besar. Sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Apabila seseorang anak memandang wajah orang tuanya dengan penuh kasih sayang, Allah memberikan ganjaran orang yang beribadah haji mabrur.”
Dalam surah al-Israq, dalam ayat 23 dan 24 menjelaskan, “Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua ibu bapamu dengan penuh kasih sayang.”
Dalam buku Dasyatnya Doa Ibu ini, penulis banyak sekali membongkar betapa perlunya seorang anak memelihara dan menjaga hati ibu. Dan jangan sekali-sekali menderhaka kepada mereka kerana doa-doa ibu untuk anak-anak biasanya mustajab. Kita biasa mendengar kejayaan seseorang sebenarnya atas doa ibu mereka. Dan jika mereka menderhaka kepada ibu bapa mereka, ibu juga boleh mendoakan kejatuhan mereka. Seperti cerita Alqomah dan Juraij.
Para pembaca pastinya dapat menikmati buku ini dan mempelajari berbagai contohan yang mulia untuk diikuti. Setiap kali ibu menadah tangan dan meminta doa untuk anak-anak dan keluarganya sering akan dimakbulkan. Ini kerana darjat seorang ibu yang begitu tinggi berbanding dari seorang ayah.
Doanya adalah penawar juga racun berbisa. Ibarat tajamnya mata pisau yang mampu melakar masa depan yang gemilang buat anak-anak tercinta, juga dapat menghancurkan masa depan jika anak itu derhaka.
Tajuk-tajuk lain yang disentuh oleh penulisnya termasuk Manfaat dan Kelebihan Doa ibu, Berbakti dan Mendoakan Ibu, Berbakti dan Bedoa Selepas Ibu Tiada, Tujuh Amal Soleh yang Terus Mengalir Pahalanya dan juga Derhaka Kepada Ibu serta berbagai topik yang relevan dalam kehidupan kita.
***
Penerbit : PTS Millenia Sdn Bhd
Boleh dibeli melalui : www.pts.com.my
Harga : Malaysia RM14.90

Friday, February 25, 2011

REVIU BUKU : TULISAN CERMINAN PERSONALITI DIRI



Setiap orang memiliki personaliti diri yang tersendiri. Ciri-ciri personaliti merangkumi corak pemikiran, unsur emosi diri dan juga tabiat diri. Gambaran personaliti diri boleh dibaca dengan mudah melalui penganalisaan tulisan tangan. Proses menulis merupakan cernaan minda yang membentuk lakaran dan gaya tulisan yang unik sebagaimana uniknya personaliti diri seseorang itu.
Ketahuilah kedalaman emosi, perasaan dan cara pemikiran diri anda sendiri dan juga diri orang yang ingin anda kenali. Fahamilah bentuk tulisan mereka yang berjaya dalam hidup dan juga bentuk tulisan mereka yang mempunyai ciri-ciri negatif kehidupan.
Buku Tulisan Cerminan Personaliti Diri ditulis oleh Khadijah Ibrahim. Beliau merupakan pengurus ‘Quality Assurance’ di sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Beliau juga berkelulusan dalam bidang Chemical Engineering dari Sheffield University, UK dan ditauliahkan sebagai Certified Handwriting Analyst oleh Handwriting University, Dallas, Amerika Syarikat.
Dalam buku ini, pengolahannya yang jelas, memudahkan pembaca memahami apa yang hendak disampaikan. Isi kandungannya dapat membantu anda mengenali diri anda sendiri.
Sebagai pembukaan, penulis telah menyingkap sedikit kisah buku pertama yang berkenaan dengan penganalisaan tulisan yang telah ditulis pada tahun 1622 di Florence, Italy. Penulisnya ialah Camillo Baldi seorang profesor universiti dalam bidang perubatan dan falsafah. Sejak itu, ramai ahli falsafah, ahli psikologi dan saintis mempelajari dan melakukan kajian mengenai personaliti manusia yang berdasarkan oleh tulisan,
Buku ini bertujuan untuk membantu anda mengenali diri sendiri supaya potensi diri anda dapat dipertingkatkan lagi di samping memperbaiki kelemahan diri yang ada. Namun, ini tidak bermakna dengan mengubah bentuk huruf di di dalam tulisan anda, ia dapat mengubat sifat-sifat yang anda kehendaki dengan serta merta. Mengubah tulisan dan sekaligus mebgubah sifat anda juga memerlukan kesabaran, latihan dan dilakukan berulang-ulang supaya ia menjadi satu tabiat yang anda amalkan hari-hari.
Tulisan tangan sebenarnya adalah tulisan otak (brain writing), yang merupakan pancaran minda separa sedar (sub-conscious) kita. Buku ini menjelaskan mengenai penganalisaan tulisan adalah menganalisa bentuk tulisan dan menerangkan tentang sifat atau peribadi seseorang mengikut bentuk huruf yang terdapat dalam tulisan. Ia juga dapat menentukan tindak balas emosi. Kedalaman emosi dan personaliti seseorang.
Setiap saiz abjad, kecondongan, tekanan, pergerakan tulisan dan sebagainya berperanan menjelaskan perasaan, corak pemikiran dan tahap keyakinan seseorang. Sangat sukar untuk kita menemui dua orang yang mempunyai tulisan yang betul-betul serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Satu statistik yang dikeluarkan ole Amerika Syarikat menunjukkan dua orang mempunyai bentuk sulisan yang sama adalah 68,000,000,000,000 kepada satu. Dengan jumlah penduduk dunia yang sekitar 6 billion, adalah begitu sukar untuk menemui doa orang yang mempunyai tulisan yang serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Apabila seseorang itu menulis, pergerakkan kecil ini berlaku tanpa disedari. Dengan sebab itu pergerakkan tulisan seseorang atau bentuk huruf (stroke) yang terhasil akan memperlihatkan sifat spesifik seseorang itu. Setiap bentuk huruf sama ada titik, cangkuk, garisan, lengkungan atau bulatan dalam tulisan adalah rangsangan saraf minda sedar dan separa sedar.
Penganalisaan tulisan tetap dapat membezakan keunikan dan cara penulisan setiap orang yang menulis tulisan rumi terutamanya mereka yang menulis dalam bentuk tulisan bersambung.
Penganalisaan tulisan bertujuan untuk menentukan tindak balas emosi (emotional responses), kedalaman emosi (depth of emotions) dan juga sifat-sifat peribadi atau ciri-ciri personaliti seseorang. Contohnya, tulisan yang condong ke kiri menunjukkan anda lebih selesa memendam perasaan dan tidak gemar bergaul dengan orang lain. Tulisan yang condong jauh ke kanan menunjukkan anda sentiasa perlu berinteraksi dengan orang lain dan perlu menunjukkan perasaan anda.
Contoh lain yang dijelaskan dalam buku ini ialah mengenai tulisan menegak dan sifat anda. Secara umumnya tulisan yang ditulis secara menegak, anda sentiasa mengekang emosi diri. Pada umumnya, anda seorang yang agak pendiam dan biasanya mengelakkan diri daripada rapat dengan sesiapa pun. Dan orang lain berasa sukar untuk memahami sifat anda kerana anda tidak menunjukkan sebarang perasaan.
Jika anda ingin menyelongkar mengenai gaya-gaya tulisan yang lain dan sifat-sifat yang berkaitan dengannya, bacalah dan dalamilah buku ini.
Buku Terbitan : Ameen
Boleh dibeli melalui : www.ameenbooks.com.my
Harga : RM23.00/S$15.00

Tuesday, January 11, 2011

REVIU BUKU TABLET & PEN


TABLET AND PEN, VISI SEJARAH ABAD KE 20
Dengan sejarah luas visi dalam abad ke dua puluh, Tablet and Pen meraikan perkembangan sastera Timur-Tengah yang telah banyak terbiar dalam dunia pertuturan Inggeris.
Dalam antologi ini, kita dapat membaca berbagai perspektif dan cerita karya-karya hebat Timur Tengah dalam bahasa Inggeris. Dan ini semestinya bukan satu perkara yang mudah.
Negeri-negeri yang merangkumi sepanjang horison Timur tengah – dari Maghribi ke Iran, dari Turki ke Pakistan – yang kaya dengan berbagai budaya, berbagai bahasa, dan juga berbagai ugama. Namun, lanskap sastera di negara-negara yang dinamik di daerah ini mempunyai kaitan bersama bukan setakat sempadan dan kebangsaan, tetapi pengalaman umumnya ialah jajahan imperialisme Barat.
Dengan kesedaran dengan ‘parut’ yang ditinggalkan oleh legasi pemerintahan kolonial, editornya Reza Aslan, seorang penulis yang tersohor, bersama tiga lagi editor dari daerah yang sama dan tujuh puluh tujuh penterjemah, mengusahakan sesuatu melalui Tablet and Pen. Ia menampilkan bagaimana sastera dapat digunakan untuk mengesan identiti yang luarbiasa sesebuah sejarah yang telah melayari berbagai peristiwa dan keadaan.
Reza Aslan bermastautin di Los Angeles. Beliau ialah seorang profesor dalam bidang penulisan kreatif dari Universiti California, Riverside. Beliau juga menulis buku No God but God dan Beyond Fundamentalism.
Dengan buku tulisannya yang berjudul Acting With Words Without Borders, yang telah melakukan pertukaran karya melalui terjemahan dan penerbitan sastera dunia yang terunggul, Aslan telah mengusahakan sesuatu yang murni dengan karya-karya dalam abad ke dua puluh ini. Ia melepasi sempadan pasca pemerintahan Utmaniah, dan dipercayai penulis-penulis yang telah wujud sejak seratus tahun lalu tidak dapat penghargaan yang setimpal.
Koleksi monumental ini, yang mengandungi hampir dua ratus karya, termasuk cerita pendek, novel, memoir, esei dan puisi – kebanyakkan ditampilkan melalui buat pertama kalinya dalam bahasa Inggeris. Ia telah menerbitkan karya-karya yang telah diterjemahkan dari bahasa Arab, Parsi, Urdu dan juga Turki.
Buku ini disusun mengikut kronologi, bab-bab merangkumi seratus tahun sastera – dari penulis karya termasyor Khalil Gubran hingga ke penerima anugerah Nobel Naquib Mahfouz dan Orhan Pamuk, dari penulis puisi Syria-Lubnan bernama Adonis hingga ke penulis fiksi hebat, Ismat Chugtai – yang ada kaitan dengan tradisi luarbiasa, yang karya-karya kaya gemerlapan yang sering disingkirkan oleh pihak Barat.
Dengan mengalihkan persepsi Amerika mengenai Timur Tengah yang jauh dari agama dan politik, Tablet and Pen membangkitkan kemegahan mengenai daerah tersebut melalui suara penulis dan karya mereka. Melalui sastera, ia menceritakan kisah yang dapat membebaskan dan mendesak, dengan kekayaan informasi yang kontekstual yang meletakkan penulisan dalam sejarah, politikal dan juga kebudayaan yang luas di daerah Timur Tengah. Buku ini boleh dianggap sebagai naratif yang konsisten, dari muka surat pertama hingga akhir.
Khaled Hosseini, pengarang The Kite Runner menjelaskan bahawa buku Tablet and Pen mengandungi koleksi penulisan yang agung dari Timur Tengah moden yang mengingatkan kita kehebatan tradisi sastera. Ia boleh dianggap sebagai sebuah anugerah, namun ‘suara-suara’ dalam helaian muka surat tersebut menjadi panduan dan persepsi bahawa daerah Timur Tengah bukan semata-mata militan yang ektremis.
Selain karya-karya dari Khalil Gibran dan Orhan Pamuk, karya-karya Muhammad Iqbal, Nazim Hikmet, Yasar Kemal, Mahmoud Darwish, Forugh Ferrokhzad dan juga Ahmad Shamloo ada terkandung di dalamnya.
Nota : Tablet & Pen (Literary Landscapes from the Modern Middle East) diterbitkan oleh W.W. Norton & Company (NY.London)
Harga USD35.00

Monday, September 20, 2010

REVIU : AL QURAN RAHSIA TERUNGGUL



Kunci utama untuk menyingkap segala rahsia yang tersurat dan yang tersirat di dalam ayat-ayat qalam Allah, yang terungkap melalui Al-Quran dan sering kita dengar, sering kita baca, tapi malangnya tidak ramai yang mampu menjiwai makna dan rahsianya, sehingga kita terlepas dari merasai kenikmatan dan keberkatan yang terkandung di dalamnya.
Ada terlalu banyak rahsia-rahsia Al-Quran terkandung di dalamnya. Ia bukan sahaja pelerai masalah, malahan adalah jawapan kepada semua pemasalahan manusia. Dan jika dikaji lebih terperinci, ia sebenarnya menjadi pelita dan pembimbing umat seluruh alam.
Kunci rahsia Al-Quran ini mudah dibongkar dan dipraktikkan. Kita sering tidak mahu memahami rahsia Al-Quran dan kita setakat membacanya tapi tidak mengkaji. Dalam buku ini, ia menerangkan bahawa Al-Quran umpama mercu atau Global Positioning Satellite (GPS) yang memandu kapal annda saat melintasi laut dalam kepekatan malam. Semakin sering memerhatikan arahan atau GPS, maka semakin boleh dihindari sebarang musibah. Demikian pula halnya hubungan Al-Quran dengan manusia.
Kerana itu, Al-Quran adalah panduan kehidupan yang sempurna. Tanpa petunjuk Al-Quran dan bimbingan daripada para pemandunya, anda pasti tersesat dalam kehidupan .
Ada banyak kunci yang tersimpan dalam Al-Quran, dan buku ini menjelaskan secara ringkas tapi amat berkesan. Inilah kunci rahsia yang bila dibaca dari fikiran yang benar-benar terikat kepada Allah swt, maka ia akan mengubah segalanya. Kemiskinan anda menjadi kekayaan, kesedihan anda menjadi kegembiraan, ketakutan anda menjadi keamanan, penderitaan anda menjadi kemakmuran, keburukan anda menjadi kebaikan dan kesakitan menjadi kesembuhan.
Dalam kunci yang dibongkar untuk para pembaca menikmatinya ialah amalan harian yang harus boleh dicontohi. Manusia yang bekerja untuk akhirat adlah orang mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Nasihat Ali bin Abi Thalib ini bukan bererti anda harus duduk, solat, berpuasa, dan berzikir sahaja. Kerana ibadat yang ada dalam Al-Quran bukan terbatas pada solat dan puasa sahaja. Ibadat da;am Al-Quran meliputi seluruh aspek kehidupan anda.
Bekerja untuk memenuhi keperluan anda di dunia adalah ibadat. Menuntut ilmu adalah ibadat. Berbakti kepada orang tua adalah ibadat. Memberi nafkah adalah ibadat. Menolong orang lain adalah ibadat dan seterusnya. Inti ibadat Al-Quran adalah menjadikan akhirat sebagai tujuan akhir kehidupan dan dunia sebagai ladang perbuatan.
Penulis : Ali Ahmad / Maleya
Terbitan : Kharisma Networks Sdn Bhd
Harga : RM15.90

Thursday, September 16, 2010

REVIU ALBUM BIANGLALA





BIANGLALA - CETUSAN IKHLAS MASIMRAN

Bianglala merupakan bahasa yang lebih kerap digunakan di Indonesia berbanding dari Singapura. Bianglala atau pelangi adalah fenomena optik dan meteorologi, berupa cahaya beraneka warna saling tampak di langit atau medium lainnya. Mata manusia akan dapat menikmati tujuh warna yang terkandung cahaya matahari, yang akan terlihat pada bianglala: merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila, dan ungu. Ia hanya dapat dilihat sesudah hujan bersamaan dengan sinarnya matahari, tapi dari keadaan yang bertentangan.
Bianglala juga merupakan tajuk album Masimran yang baru dilancarkan di NLB @ The Courtyard, Perpustakaan Negara pada 31 Julai yang lalu. Walaupun ada banyak acara yang berlangsung pada hari yang sama, namun hampir 200 hadirin telah menyerikan majlis pelancaran tersebut.
Keindahan bianglala juga telah menyerikan album terbaru ini dengan irama muzik yang dapat memberikan ketenangan dan juga dapat menyentuh jiwa kita yang paling dalam. Malahan, ia menyajikan kita satu bahan muzik yang dapat memberi santapan minda kita jika sedang bercelaru.
Setelah memasuki pertandingan Anugerah di Mediacorp pada tahun 2001 dengan kumpulan Et’nik hingga ke peringkat akhir, Masimran juga sering membuat persembahan di beberapa majlis. Majlis atau acara yang sering dibuat persembahan termasuk di Madrasah Aljunied, Konsert Islam 2009, majlis pelancaran buku dan juga acara-cara kesenian yang lain.
Selain dari itu, Masimran juga pernah menyertai peraduan Gegaran 2001 anjuran PERKAMUS. Ini juga telah menjadi satu lagi batu loncatan bagi Masimran dalam bidang penciptaan lagu.
Minat yang mendalam dalam bidang seni muzik berputik sejak Masimran berumur 5 tahun lagi. Kini umurnya menjangkau 35 tahun dan masih mempelajari bidang nyanyian dan juga muzik. Baginya,mempelajari daripada pemuzik yang lagi senior amat membantu.
Lagu yang berentak etnik, nusantara dengan sulaman irama jawa dan sunda merupakan teras lagu-lagu dalam album Bianglala. Dengan setiap irama dan lirik dipadankan dengan telitik untuk menerbitkan satu produk yang penuh harmonis. Oleh kerana ramai penyanyi atau artis Singapura yang tidak berkecimpungan dalam alunan dan rentak sedemikian, maka itulah Masimran menceburi dan mencipta lagu-lagu berunsur etnik yang amat dia senangi. Dengan alunan rentak sebegini, ia seolah-olah memancarkan satu ketenangan dalam dirinya.
Sepanjang rakaman lagu-lagu dalam album ini tidak terlepas dengan pengalaman-pengalaman yang banyak memberikan Masimran pengajaran. Sepanjang rakaman album ini, ia telah banyak mengajar Masimran ketabahan dan kesabaran. Bukan mudah untuk menjadi seorang artis rakaman kerana banyak dugaan yang harus di tempuh. Album yang mengandungi sepuluh buah lagu mempunyai nilai-nilai tersendiri.

Setelah Anugerah 2001 hingga kini memang waktu yang agak lama untuk menerbitkan sebuah album. Memang bukan mudah untuk merakamkan lagu-lagu ciptaannya ke dalam sebuah album kerana tidak diberi peluang atau kesempatan untuk merakamkannya. Setelah album Bianglala diterbitkan, Masimran kini masih terus progresif dan berinisiatif untuk mencipta lagu-lagu berunsur ketuhanan dan selawat pula.

Lagu yang dijangkakan dapat menghambat hati para pendengar tidak lain dari lagu yang berjudul Bianglala. Lagu ini juga yang paling disenangi Masimran dan pernuh bermakna baginya. Selain menceritakan kisah fenomena salah satu ciptaan Allah, ia juga menggambarkan keindahan alam yang hanya dapat dinikmati seketika. Walaupun seketika, kesannya sungguh berpanjangan.

Selain itu, lagu yang berjudul Impian yang lirik dan lagunya dicipta Masimran sendiri mempunyai melodi yang begitu indah untuk mudah serap oleh halua telinga. Lapan lagi lagu lain seperti Adakah Aku Bersalah, Keindahan Cinta Suci, Kasih, Cahayamu Mutiaraku, Ikhtibar Kehidupan, Pelita, Ning dan juga Mutiara telah mengisi album solonya yang pertama. Irama yang bercorak lembut dengan sentuhan alat-alat muzik etnik serta bait-bait lirik yang berunsur puisi pastinya akan membuka jalan pada penyanyi yang bersuara lunak-gemersik ini.

Lirik-lirik dalam album ini turut disumbang oleh Mayang, Shahrudin Sardon dan juga NurQaseh. Album yang diterbitkan oleh Zag Production dan ID Arts Production kini telah mengisi kekurangan lagu-lagu puisi yang mempunyai elemen nusantara.

Dengan sentuhan para pemuzik yang profesional seperti Dzul Rabull Jalil (piano/keyboard), Azrin – Sri Mahligai (gitar, gambus), Alhafiz (seruling), Wan Abang (percussions), ia memberikan alunan yang klasik, etnik dan tetap segar.

Encik Zahidi Abdul Rahman, seorang Anggota Lembaga Perpustakaan Negara menjadi tamu untuk melancarkan album ini. Dengan pengacara Nora Ismail menjadi teraju pada acara tersebut, ia seolah-olah telah menyemarakkan lagi suasana.

Dengan terbitnya album ini, ia menjadi satu pembakar semangat bagi Masimran serta motivasi kepada semua pencinta seni terutama dalam bidang puisi untuk terus berjuang. Selain dalam bidang nyanyian penulisan lagu dan puisi, Masimran juga berminat dalam seni halus.

Zag Fahmoa merupakan penerbit eksekutif dan Masimran pula menjadi penerbit bersama dalam projek album ini, diyakini mendapat tempat di kalangan masyarakat yang mahukan irama yang santai dan berunsurkan etnik/nusantara.


Keindahan Album Bianglala, pastinya akan mendapat tempat di hati kita.