Saturday, February 28, 2009

DRAMA 1988..SEGARIS SINAR MENANG 5 ANUGERAH



27 Febuari 2009 - Tahun lepas (2008), aku telah dijemput oleh Shortman Films untuk menulis skrip untuk sebuah drama yang mula-mula dipanggil Constellations. Setelah beberapa perbincangan, kami semua setuju untuk menamakan drama ini 1988...Segaris Sinar. Aku pula ditugaskan untuk menulis dua skrip dari lapan yang ada. Penulis lain ialah Johari Aziz, Muzafar Yusof dan Seri Wahyuni. berbanding dari tiga penulis yang lain, aku yang boleh dianggap paling 'muda' dalam penghasilan drama TV. Alhamdulillah, atas tunjuk ajar mereka, aku dapat tunaikan amanah aku walaupun ditekan oleh waktu dan keyakinan.

Sanif Olek sebagai pengarahnya dan Abu Marhalim pula sebagai produsernya. Gabungan belakang tabir dan pelakon2 utama dan tambahan yang hebat2 belaka, drama ini telah memenangi 5 anugerah kesemuanya dalam Pesta Perdana 10. Drama ini dianugerah sebagai Pengarah Terbaik-Sanif Olek, Drama Terbaik, Skrip terbaik-Seri Wahyuni, pelakon pembantu terbaik-JA Halim dan Pelakon harapan terbaik-Hasif Nasir.
Kisah 7 anak yatim yang menjadi teras utama mempunyai kelebihan dari jalan cerita yang tidak membosankan berbanding dengan Jeritan Sepi, Mandai United dan lain2 lagi.
Alhamdulillah kerana berjaya akhirnya Segaris Sinar merangkul 5 anugerah dari 10 yang dicalonkan. Tahniah untuk semua...

Friday, February 27, 2009

BELASUNGKAWA IBRAHIM HUSSEIN




Berita Harian Malaysia ONLINE
Allahyarham berjaya mengangkat bangsa dan negara dengan kanvas sebagai wahana

PEMERGIAN pelukis tersohor Malaysia, Datuk Ibrahim Hussein, 73, ke Rahmatullah pagi semalam selepas serangan jantung kali kedua, meninggalkan lompang yang sukar diisi pelukis lain negara ini ekoran kejayaan Allahyarham mencipta legenda tersendiri dalam dunia seni rupa tanah air.

Allahyarham yang diserang sakit jantung pada jam 4 petang kelmarin, dirujuk ke Pusat Perubatan Pantai di Bangsar, sebelum serangan kedua pada jam 4 pagi semalam yang membawa kepada kematiannya, meninggalkan seorang isteri, Datin Sim dan seorang anak perempuan, Alia.

Sebagai seniman seni rupa dengan peribadi dan kreativiti sangat unik, memungkinkan Allahyarham berada pada kedudukan paling selesa berbanding rakan seangkatannya, tetapi segala-galanya itu dikecapi selepas berjuang bermati-matian mendapatkan tempat pada persada tempatan dan antarabangsa.

Allahyarham yang dilahirkan di Sungai Limau, Yan, Kedah, pada 13 Mac 1936, menerima latihan seni rupa di Royal Academy Schools London pada 1963 hingga 1966, Byam Shaw School of Drawing & Painting London (1959 - 1963) dan Nanyang Academy of Art Singapore (1956).

Kecintaan yang mendalam kepada dunia seni rupa dengan keyakinan bahawa ia mampu menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dizahirkan melalui penubuhan Yayasan Kebudayaan dan Muzium Ibrahim Hussein pada 1992 yang terletak di Pasir Tengkorak, Langkawi.

Tunggul sentuhan Allahyarham menjadi arca seni luar biasa.
Allahyarham mengambil masa selama 11 tahun bagi merealisasikan impiannya untuk mendirikan muzium dan yayasan berkenaan dan melaburkan lebih RM 5 juta selepas beberapa percubaan menemui kegagalan serta hanya terlaksana pada 1992 dan dilancarkan pada tahun yang sama.

Allahyarham mula mengadakan pameran solo dan berkumpulan sejak 1963 dengan sesetengah daripada karyanya kini dipamerkan di Muzium dan Yayasan Kebudayaan Ibrahim Hussein serta dibuka kepada orang ramai pada 2000, sempat menganjurkan Festival Seni Lukis Antarabangsa Langkawi (Lifa) pada tahun terbabit.

Berasal daripada keluarga yang miskin, semangatnya dalam dunia seni rupa mula berkobar-kobar pada usia awal 20-an, sesuai dengan situasinya sebagai pelukis muda dengan matlamat memperjuangkan kebebasan dalam berkarya bagi memungkinkannya meluahkan segala yang berlegar dalam benak dan hati.

Tidak mungkin Allahyarham melupakan segala jerih payah yang terpaksa dilaluinya sebelum mencipta kejayaan luar biasa dalam dunia seni rupa tanah air, terutama ketika segala-galanya yang dimilikinya dicuri ketika menuntut di London dari 1963 hingga 1966.

Figura sepasang kekasih dipamerkan di tingkat satu Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussien.
Sebagai satu-satunya pelajar dari Asia di Byam Shaw Art School di London dan berasa terlalu sunyi tanpa teman dan ahli keluarga, Ibrahim meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai posmen, pelakon tambahan, pencuci pinggan mangkuk, selepas kecurian kerana peristiwa itu benar-benar menjadikannya miskin.

Kesungguhan beliau dalam berkarya sepanjang lebih 50 tahun membawanya ke persada antarabangsa dan kepakarannya diakui negara luar melalui penganugerahan pelbagai pingat dan darjah kebesaran termasuk Griffin Prize, London (1964), Smithsonian Institute, American Workshop, Venice (1970), Crystal Award World Economic Forum di Switzerland pada 1997), Order of Bernado O'Higgings, Chile (1995), dan Order of Andres Bello Venezuela (1993).

Allahyarham yang juga adik kepada Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain dan Ketua I, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun penubuhan Umno ke-61 di Dewan Merdeka, PWTC, pada 2007.

Penyair, Datuk Baharudin Zainal, menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh pelukis yang sarat dengan pemikiran dan sangat sensitif kepada perkembangan persekitaran serta dunia bangsanya, bukan saja dalam kerangka tempatan tetapi juga dalam perkembangan nasional bangsanya, terutama dalam penerokaan pembangunan.

“Beliau mempunyai pegawai perhubungan awam yang luar biasa berbanding pelukis seangkatan dengannya seperti Seniman Negara, Datuk Syed Ahmad Jamal dan penerima Anugerah Penulisan Sea 1984, Latiff Mohidin dan Yeoh Jin Leng, sehingga berjaya memacu nama dan hubungannya dengan dunia antarabangsa,” jelasnya.

Baharuddin yang juga Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), meletakkan Allahyarham sebagai salah seorang peneraju sastera moden Malaysia dan bukan saja saja menjadi ikon serta lambang kreativiti bangsa Malaysia,

tetapi juga imej negara di dunia lebih luas.

“Seperti pelukis lain, Allahyarham ada mesej tersendiri dan kuat dalam setiap karyanya. Karyanya bukan sekadar luahan perasaan dan imaginasi peribadi, tetapi pandangan serta tafsiran terhadap masalah nasional dalam hubungan sejagat. Ini antara kekuatan seniman seperti Ibrahim.

Keupayaan Ibrahim dalam mengangkat dan menafsir karya dalam pelbagai bidang untuk dipindahkan ke kanvas, antaranya dapat dilihat melalui luahan hatinya berhubung Angkasawan Pertama Malaysia dan menafsir karya daripada citra tempatan lewat puisi SN, Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awng, Pak Utih,” ujarnya yang turut dikenali sebagai Baha Zain.

Thursday, February 26, 2009

PANDUAN PELAJAR CEMERLANG


Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman

Tajuk Buku : Petua Pelajar Cemelang
Buku ini ditulis oleh Dato’ Dr Hj Fadzilah Kamsah yang berpengalaman mengendalikan lebih 6000 kursus dalam bidang motivasi, komunikasi, keibubapaan, keusahawanan dan bermcam lagi.

Hj Muhammad Zakaria juga turut menyumbang dalam menghasilkan buku ini. Beliau ialah seorang motivator dan juga seorang konsultan di Telaga Biru Sdn Bhd. Buku ini diterbitkan oleh Telaga Biru dan berharga RM19.90.

Sebagai seorang pelajar, kecemerlangan mesti menjadi agenda pertama di dalam diari kehidupan anda. Panduan-panduan mudah dengan cara sistemetik dalam buku ini dapat mewujudkan bukan saja pelajar yang cemerlang malahan akan mudah menjadi contoh kepada para pelajar dan remaja yang lain.

Panduan pelajar dan remaja untuk mencapai kecermelangan akademik serentak dengan peningkatan sahsiah ada terkandung dalam buku ini. Teksnya dipermudahkan dalam bentuk nota ringkas untuk memudahkan anda merujuk mengikut tajuk.

Foto dan ilustrasi memberi penjelasan secara praktik bahawa kecemerlangan adalah benar dan realiti serta mudah dicapai. Gambarajah, carta dan jadual menerangkan langkah yang lebih cekap menuju kecemerlangan.

Semua pelajar mempunyai keupayaan yang sama untuk mencapai kecemerlangan. Mereka datang dari latar belakang yang berbeza. Mereka terdedah kepada kemudahan pembelajaran dan suasana alam sekitar yang sama.

Soalnya kenapa sesetengah pelajar lebih cemerlang dari yang lain? Malahan ada yang terlalu cemerlang sedangkan ada sebilangan kecil yang terlalu ketinggalan?

Dalam buku ini anda dapat menemui jawapannya: Kerana setiap pelajar menggarap input yang diterima dengan kaedah dan penerimaan yang berbeza. Di samping itu, persepsi setiap pelajar tidak sama. Ada yang terlalu bermotivasi tinggi dan ada yang sama apabila diolah di dalam acuan yang berbeza akan menghasilkan produk yang berbeza dan berlainan rasa.

Ada berbagai perspektif yang dibentangkan dalam kandungan buku ini. Tajuk-tajuk menarik dan berkesan termasuk Merangsang Deria Semasa Balajar, Meningkatkan Keupayaan Minda, Amalkan keadaan Pemakanan Baik dan Seimbang, Berdoa Setelah Gigih Berusaha, Memiliki Imej Diri yang Positif dan banyak lagi tajuk yang amat relevan dengan pelajar masa kini.

“Mereka yang mengaku bukan pelajar cemerlang, tidak mungkin akan menjadi pelajar cemerlang kerana telah meletakkan sasaran tidak mungkin jadi cemerlang, di dalam minda mereka.” Kecemerlangan dan kejayaan tidak datang begitu sahaja, dan dalam buku motivasi ini ia membantu untuk mengorak langkah demi langkah untuk mewujudkan pelajar-pelajar cemerlang.

Petua meningkatkan keupayaan minda juga digarap dalam buku setebal 104 mukasurat ini. Sebenarnya, keajaiban yang dicapai seseorang bermula dari minga yang kuat. Apa saja yang minda kita boleh gambarkan, kita boleh capai.

Motivasi dan kata-kata rangsangan dalam buku ini pastinya akan menyemarakkan para pelajar untuk bangkit ke satu tahap yang lebih berjaya dan menjadi insan yang lengkap. Setelah membaca buku panduan ini, pelajar akan pastinya bermotivasi tinggi dan akan mencapai apa saja yang mereka kehendaki.

Panduan Hak Cipta



Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman

Hak cipta adalah harta intelektual pengkarya yang perlu dilindungi daripada ciplakan atau perlanggaran hak cipta, tidak mengira sama ada diterbitkan di media cetak, di media penyiaran ataupun di internet. Fahamilah kontrak dan royalti penerbitan sebelum menandatangani perjanjian dengan penerbit.

Ketahuilah tempoh perlindungan hak cipta bagi sesuatu karya dan pewarisan royalti yang diperolehkan oleh undang-undang. Ingat, apapun isi kandungan perjanjian dengan penerbit, hak moral pengkarya sentiasa terpelihara.

Hak cipta pengarang bersama, hak cipta karya terjemahan, kebebasan berkarya, kepentingan logo dan penerbitan sendiri karya merupakan antara aspek penting yang perlu diketahui.

Buku ini ditulis oleh Nisah Haron, yang pernah bertugas sebagai peguambela dan peguamcara. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Sarjana Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kini Nisah banyak memberi ceramah tentang hak cipta melalui bengkel-bengkel penulisan kreatif selain dari juga menjadi seorang penulis kreatif yang aktif.

Ada banyak perspektif yang begitu berguna untuk para penulis dalam buku ini. Tajuk-tajuk mengenai hak cipta amat menyeluruh di garapnya. Tajuk-tajuk yang pastinya dapat membantu penulis kita seperti Membuktikan Hak Cipta Sendiri, Kontrak penulisan dan Royalti, Kes-kes Perlanggaran Hak Cipta, Karya Diciplak, Hak Cipta Pengarang Dalam Sayembara, Jangka Masa Perlindungan Hak Cipta dan banyak lagi.

Perkara-perkara ini tidak boleh dianggap remeh oleh mereka yang sudah pun menceburi dalam bidang penulisan ataupun baru saja memasuki dunia ini. Dalam buku Karya Kita Hak Kita (Panduan Hak Cipta) yang diterbitkan oleh Al-Ameen Serve Holdings, contoh-contoh kes yang pernah berlaku juga dalam isu hak cipta juga dibentangkan.

Hubungan hak cipta dan seseorang penulis haruslah begitu rapat. Malah penulis dan hak cipta itu dilahirkan serentak. Pengarang memiliki hak cipta atas karyanya secara automatik.

Selain itu, penting untuk penulis mengetahui mengenai bayaran atau royalti yang bakal diperolehi daripada penerbit. Begitu juga dengan tindakan yang sewajarnya harus dilakukan sekiranya penerbit enggan membayar royalti seperti mana yang telah dipersetujui.

Dalam tajuk Pembayaran Royalti, penulis Nisah Haron menjelaskan bahawa penulis yang menghantar karya kepada mana-mana penerbitan perlu dibayar royalti dengan kadar yang ditentukan oleh pihak penerbit. Bayaran royalti ini merupakan ganjaran kepada penulis kerana memberi lesen kepada penerbit untuk menerbitkan karya penulis.

Sekiranya pihak penerbit enggan membayar royalti, penulis boleh menarik balik manuskrip sekiranya ia belum diterbitkan. Tetapi jika sudah diterbitkan, penulis mempunyai hak untuk menuntut dengan menghantar notis secara bertulis (surat, emel dan sebagainya) kepada pihak penerbit.

Perkara-perkara ini harus diambil tahu, kerana ada penerbit yang sengaja memutar-belikkan kata-kata mereka walaupun sudah ada kontrak antara penulis dan penerbit. Dalam dunia penerbitan yang semakin agresif, ramai penulis yang sengaja tidak mahu ambil tahu mengenai perkara ini. Lagi-lagi pada penulis yang baru menceburi dalam dunia ini, hasrat utama mereka hanya ingin karya mereka diterbitkan tanpa membaca kontrak dengan jelasnya. Yang telah ditipu dan teraniaya oleh penerbit juga bukan sedikit jumlahnya.

Hak cipta juga merupakan satu daripada cabang harta intelektual yang diberi perlindungan undang-undang. Hak cipta wujud untuk melindungi hak-hak pencipta yang menghasilkan karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan siaran.

Konsep hak cipta sebagai harta benda bererti, sesuatu yang boleh dibeli, dijual, dipindahmilik, diwasiatkan, diwariskan dan juga disewakan. Buku ini dijelaskan dengan bahasa yang mudah dan bukan menggunakan istilah perundangan yang berat dan boleh mengelirukan. Tujuan lainnya ialah untuk meningkatkan kesedaran hak cipta di kalangan mereka yang tidak mengetahui undang-undang.

Melalui buku ini, diharapkan para penulis, penerbit dan pembaca mengetahui peranan masing-masing dalam dunia penerbitan.

Buku ini boleh didapatkan melalui www.ameenbooks.com.my

Saturday, February 7, 2009

PELAUT JADI SASTERAWAN

Pelaut jadi sasterawan
Oleh ROOSFA HASHIM

Arena Wati meninggalkan untuk kita berpuluh-puluh karyanya dalam bentuk novel. Allahyarham akan tetap diingati dengan karyanya yang kuat seperti Sandera dan Lingkaran. Ciri utama yang selalu diangkat dalam beberapa karyanya yang awal ialah kecenderungannya menyuntik semangat nasionalisme ke arah kemerdekaan, menyisipkan semangat perjuangannya yang kental terutama pada wataknya sendiri sebagai pelaut serta menyelitkan jati diri Melayu.
Siapakah Arena Wati sebenarnya? Untuk siapa Allahyarham belayar merentas samudera luas dan ombak ganas di seluruh kepulauan Nusantara? Apakah yang dimuatkan dalam Sorga Bone, kapal Bugis yang nakhodanya ialah Andi Mohallan bin Andi Beang. Dalam kad Angkatan Muda Pelaut Republik Indonesia, namanya dicatatkan sebagai Muhalan. Yang kemudian apabila naik ke darat dikenali pula dengan nama Arena Wati.
Arena Wati baru berusia 17 tahun sewaktu menjadi nakhoda Sorga Bone dengan dibantu jurumudi, jurubatu bersama kelasi yang kesemuanya 21 orang. Mereka berpangkalan di Semarang dan belayar ke Pontianak, Pemangkat (Kalimantan Barat), Palembang, Tanjung Karang (Sumatera Selatan) dan Singapura. Allahyarham dan anak buahnya bukan sahaja belayar sambil mengelak terumbu karang tetapi juga periuk api dan peluru berpandu dari kapal selam tentera bersekutu terutama di Selat Melaka, Selat Sunda, Selat Karimata (di perairan Kalimantan Barat) dan Laut di sekitar Pulau Natuna dan di Laut Jawa sendiri.
Kepimpinan Arena Wati yang muda belia dihormati kerana reputasi ayah dan datuknya, Abdul Fatah yang terkenal sebagai nakhoda terbilang. Darah pelaut mengalir deras sepanjang pembuluh darah dan salur nadinya. Allahyarham juga dikenali sebagai cucu Abdul Rahman Imam Kalumpang yang alim dan warak. Bahkan Arena Wati sendiri bekas pengakap Hisbulwatan yang berpegang teguh kepada rukun iman yang lima. Bermodalkan semua inilah meletakkan Arena Wati sebagai nakhoda yang dihormati dalam kalangan kelasinya yang meninggalkan anak isteri dan singgah dari pulau ke pulau dengan pelbagai cabaran dan godaan.
Semasa Perang Dunia Kedua, Arena Wati disyaki menjadi agen tentera Bersekutu. Kepada tentera Jepun, Muhalan ialah nakhoda kapal yang bekerja untuk tentera Bersekutu, belayar di Nusantara sambil singgah ke kapal selam tentera bersekutu menyampaikan maklumat bagi menyusun strategi memerangi Jepun.
Sewaktu Sorga Bone masuk ke Semarang dari Singapura kapal itu diperiksa kerana disyaki membawa radio dan pemancarnya untuk siaran haram di wilayah yang dikuasai Jepun. Tiga peti pakaian Arena Wati yang cantik dan mahal-mahal yang ditempah di Singapura diangkut oleh Jepun. "Orang muda tidak boleh mempunyai terlalu banyak pakaian!" bentak askar Jepun. Arena Wati menitiskan air matanya, dalam usia remaja, Allahyarham ranggi tanpa pakaian, samalah seperti burung yang dicabut bulu-bulu sayapnya.
Tahun 1944 Jepun menghadkan kapal hanya boleh membawa seratus rupiah Jawa dan seratus ringgit Malaya. Selebihnya mesti disimpan di bank. Arena Wati sedar dan yakin Jepun akan kalah dan wang di bank akan hangus begitu saja. Justeru Allahyarham ingkar dengan arahan itu. Maka semua wang tunai disimpan dalam peti di kapal. Pada Mac 1945, semasa di Pontianak kapal mereka diperiksa kerana dicurigai membawa risalah atau surat berita anti Jepun yang dikutip dari kapal selam Bersekutu di laut untuk diedarkan kepada penduduk.
Untuk mengelakkan kesemua kelasi ditahan, Arena Wati mengaku kesemua wang itu miliknya. Hampir seminggu dia disoal siasat, disepak dan diterajang serta diancam bunuh oleh Kempeitai Jepun. Allahyarham kemudian disoal tentang penglibatannya dengan gerakan bawah tanah di Kalimantan dan hubungannya dengan Menteng 31 di Jakarta. Arena Wati sedar kebanyakan mereka yang terlibat dalam kalangan kebangkitan Islam menentang Jepun di Samarinda, Banjarmasin dan di Pontianak telah ditangkap dan dibunuh, termasuklah Sultan Pontianak. Semasa Allahyarham disoal siasat bertubi-tubi Pontianak diserang oleh kapal terbang Tentera Bersekutu. Kempeitai Jepun lari bertempiaran menyelamatkan diri di lubang perlindungan. Arena Wati dengan hanya berseluar dalam pun apa lagi, lari lintang pukang di celah-celah hujan peluru dan bom kapal terbang tentera Bersekutu menyelamatkan nyawanya tanpa ada sesiapa yang peduli.
Kempeitai Jepun tidak melupakan langsung nakhoda Muhalan. Tidak lama selepas itu dia ditahan lagi, kali ini di Tanjung Pandan. Tidak ada apa yang dapat menyelamatkannya kali ini. Surat pujian daripada Jawahansen Kumiai kepadanya sebagai juragan muda yang berani menembusi laut Jawa pun tak dapat menolongnya.
Arena Wati menghadapi empat tuduhan, iaitu menyorokkan terlalu banyak emas; menyimpan terlampau banyak wang tunai yang sepatutnya dimasukkan ke bank; menjadi mata-mata musuh, iaitu orang laut Bangka-Belitung-Riau dan menyampaikan rahsia untuk tentera bersekutu. Arena Wati juga dituduh secara rahsia menjadi perantaraan orang-orang Menteng 31 dengan rakan mereka di Kalimantan, Sumatera dan Bangka-Belitung. Menteng 31 ialah rumah batu bekas kediaman pegawai kolonial Belanda yang elit, yang dijadikan pusat gerakan pemuda-pemuda nasionalis radikal Indonesia pada zaman Jepun. Cuma satu saja hukuman yang menantinya: "Potong Kapara!" (potong kepala!)
Setiap pagi Allahyarham hanya diberi makan bubur beras bercampur kacang hijau dengan ikan kering. Dalam tahanan siang dan malam sama saja. Entah berapa lama dalam tahanan Allahyarham sendiri tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Kalau tidak lupa menghitung jumlah bubur dua kali sehari yang diberikan kepadanya tentu dapat Allahyarham menghitung jumlah hari Allahyarham disumbat ke penjara. Jam tangan Mido pemberian ayahnya tidak dikembalikan kepadanya oleh askar Jepun.
Allahyarham tidak tahu bilakah lehernya akan dipancung. Bila nyawa akan bercerai dari badan. Setiap saat dinantikan dengan rasa gentar, pasrah dan berdosa. Apabila mengantuk, Arena Wati menghitung kepingan lantai pangkin tempat tidurnya. Setiap kepingan diikuti dengan perkataan "hidup - mati - hidup - mati - hidup . . ."
Pada suatu hari (kemudian Arena mengetahui itu adalah hari ke-58 dalam tahanan) apabila piring bubur disodorkan kepadanya, dia terdengar suara berbisik "Kalau sudah makan, sebelum menyerahkan kembali kembali piring ini, lihat di belakangnya. Ada tulisan!"
"Sorga Bone siap muatan untuk Bangkok. Besok pagi belayar. Malam ini kami datang. Siap!" Itulah tulisan di belakang piring bubur itu. Arena Wati yang menghadapi saat dipancung tiba-tiba jadi gembira kalau dapat dilepaskan, bingung siapa yang akan melepaskannya, bimbang kalau rencana melepaskannya gagal. Malam itu, seperti dirancangkan, Muhalan dilarikan daripada tahanan. Dua kali Allahyarham terlepas dari "Potong Kapara!"
Perjuangan Arena Wati semasa perang penuh rahsia. Tidak siapa mengetahui dengan jelas akan sumbangannya dalam masa pemuda lain bergerak di darat. Dari mana datangnya senjata di darat kalau tidak ada yang memainkan peranan di laut? Untuk apa emas berbongkah-bongkah kalau bukan untuk menyokong perjuangan bangsanya? Di darat, Allahyarham dan keluarganya sendiri hidup serba sederhana.
Apabila Jepun menyerah kalah dan Indonesia merdeka, nakhoda Muhalan pun mengoyakkan layar kapalnya dan mudik ke pelabuhan. Allahyarham menyambung semula perjuangan menggunakan pena. Sebelum itu, semasa di Makasar, Allahyarham menulis untuk akhbar Pedoman Rakyat.
Kerjayanya sebagai penulis selepas perang bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Allahyarham bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, Allahyarham juga bekerja di Harmy Press. Allahyarham kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd. Allahyarham memakai nama Patria dan Duta Muda tetapi kekal sebagai Arena Wati.
Maksud
Arena Wati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya Allahyarham yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Antara novel Allahyarham yang kuat ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971).
Dalam karya-karyanya Arena Wati sering meletakkan harapannya pada generasi muda. Di sudut manakah lagi harapan-harapan itu dapat ditumbuhkan? Orang selalu mengeluh dan marah-marah kepada anak-anak muda kita sekarang. Bagi saya, kenapa marah? Merekalah korban jiwa semangat daripada perbuatan kita. Mereka tumbuh dari masyarakat yang kita bina. Kenapa tunggu buah padi daripada lalang?
Hasil asuhan kita, hasil pelajaran kita, hasil daripada keputusan rasmi yang dilaksanakan, maka itulah hasilnya. Dosanya pada kita, dan anak-anak muda itulah deritanya. Kitalah yang melahirkan generasi baru tidak bermotivasi itu.
Pada 1955 sewaktu mengumpul bahan untuk menulis Sandera, Arena Wati ngeri melihat genesis yang akan jadi gejala akibat keghairahan tidak menentu pada istilah politik jos soli, katanya: " kalau dasar ini diterima sebagai legitimasi yang sah, kita akan mampu membina negara yang kita cinta, tetapi pada waktu yang sama kita akan membunuh secara perlahan-lahan bangsa yang kita sayangi."
Sandera ditulis lapan hari lapan malam di Kuala Terengganu pada 1966. Waktu siang Arena Wati berjalan kaki dan menaiki beca ke seluruh pelosok bandar itu. Sebelah malam beliau bertekun dengan Sandera yang ditulisnya. Selama lapan hari di Kuala Terengganu, siap dua jilid Sandera. Manuskrip itu kemudian dipertandingkan dalam Sayembara Novel Sepuluh Tahun Merdeka pada tahun 1968 dan memenangi tempat ketiga. Pada penghujung 1970 Arena Wati terperanjat apabila menerima panggilan telefon daripada Saroja, isteri Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan Sandera di tempat ketiga, tiada pemenang pertama dan kedua.
Menurut Arena Wati, Allahyarham kemudian dinasihatkan, kononnya menurut kehendak Tun Razak, supaya watak orang Inggeris dalam Sandera dibuang semuanya dari peranan awal hinggalah ke akhir. Sebagai tanda setia, Arena Wati menurut nasihat tersebut dan mengerjakan pembetulan seperti yang dikehendaki. Tetapi, selepas itu tidak terdengar sebarang khabar berita. Tiada ura-ura majlis penyampaian hadiah. Arena Wati berasa, kemenangan Sandera seperti kelahiran anak yang tidak dikehendaki oleh penganjur sayembara itu sendiri.
Pengalaman Sandera hampir mematahkan semangat Arena Wati untuk menulis novel. Sandera hanya terbit tiga tahun kemudian pada 1971. Oleh sebab itulah dari tahun 1970 hingga 1974, Allahyarham hanya menghasilkan Eno. Arena Wati memerap Eno lima tahun sebelum menyerahkannya kepada penerbit. Hatinya betul-betul merajuk. Pada 1978 baru muncul Royan dan pada 1979 terbit Rontok. Semasa merajuk, Arena Wati cuma menulis cerpen. Pada 1972 Allahyarham memenangi hadiah Sastera melalui cerpennya Wisata dan pada 1973 dua buah cerpennya memenangi Hadiah Sastera, iaitu Alun Menggulung Perlahan dan Bukan Satu Jalan ke Mekah.
Sandera penuh dengan kisah kebangkitan rakyat Nusantara menentang penjajahan. Sebagai sebuah kritik sosial, Sandera juga mengandungi pedoman dan nasihat kepada generasi yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan mengisi makna kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
Sandera memaparkan perjuangan watak Busad dan lingkungannya - sahabat-sahabat dan ahli-ahli keluarga. Semua mereka hidup dalam era yang serba mencabar serta menuntut pengorbanan harta, masa dan keluarga. Busad, seorang pelopor yang menentang Belanda telah berjaya melarikan diri daripada ditahan. Jelaslah kisah ini amat mirip dengan pengalaman Arena Wati sendiri yang dua kali hampir dipancung Kempeitai Jepun.
Demikianlah sepotong daripada babak panjang dalam sejarah hidup 84 tahun Arena Wati yang diceritakannya dalam memoir Allahyarham Enda Gulingku dan sebahagiannya daripada apa yang dikhabarkannya kepada saya. Selama hampir dua puluh tahun saya dapat menguruskan tujuh judul novel Allahyarham (enam dalam dua trilogi Busa dan Armageddon) mendedahkan saya dengan banyak pengalaman hidupnya yang sebahagiannya tidak diceritakannya dan tidak dituliskan. Setiap kali berulang alik dari rumah saya di Bangi ke rumah Allahyarham di Petaling Garden, saya membawa dan melontarkan banyak persoalan kepadanya. Kadang-kadang saya dapat merasakan Allahyarham terusik dengan soalan-soalan saya itu.
Ada ketikanya saya tidak dapat menahan perasaan ingin tahu apakah Allahyarham turut memuatkan senjata untuk disalurkan kepada pejuang kemerdekaan di seluruh Nusantara. Kapalnya belayar hingga ke pelabuhan besar di Indocina, Singapura dan pelabuhan besar lain di Nusantara. Allahyarham tidak menangkap ikan. Di kapalnya bertimbun bongkah emas dan berpeti-peti rupiah dan ringgit Malaya. Untuk apa semua itu? Apa yang dilakukannya di kota-kota besar seperti Thailand dan Vietnam atau di Singapura? Kadang-kadang Arena Wati mengalah dengan soalan yang banyak itu.
ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Friday, January 30, 2009

MELUKIS KE HUJUNG NYAWA



Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Pelukis tersohor dari Indonesia, Ibu Kartika tidak pernah menggunakan bekas warna, sebaliknya menjadikan jari dan tangannya sebagai palet.

IBU KARTIKA telah menzahirkan banyak karya seni yang merupakan testimoni dalam perjalanan hidupnya sebagai seniman.

USIANYA mencecah 74 tahun pada 27 November lalu. Bagi kebanyakan orang, usia emas itu adalah waktu untuk 'bersara' daripada segala pekerjaan ketika zaman muda. Waktu itulah yang akan digunakan untuk bersama keluarga dan melayan telatah cucu yang mencuit hati.

Namun kepada pelukis tersohor Indonesia, Kartika Affandi dia masih kuat dan bersemangat untuk menghasilkan karya seni yang sudah sebati dalam dirinya.

Mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Ibu Kartika, dia menjelaskan, jika tidak melakukan sesuatu badannya akan berasa letih dan tidak bermaya.

"Ibu takut kematian akan menjemput dengan cepat sekiranya ibu tidak bekerja," katanya berjenaka ketika ditanya mengapa masih setia dengan aktiviti memalitkan warna-warna di helaian kanvas.

"Sebenarnya, sejak kecil Ibu telah dididik agar sentiasa bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan. Contohnya, pada usia lima tahun, papi (ayah) sudah meletakkan tanggungjawab pada Ibu untuk membawa lukisan ke sekolah dan memberinya kepada guru.

"Sejak itu, Ibu banyak belajar mengenai tanggungjawab daripada papi. Malah, bakat melukis yang ada dalam diri Ibu diwarisi daripada papi yang sering mengajak Ibu mengikutnya walau ke mana dia pergi untuk berkarya," jelas anak kepada seniman ulung Indonesia, Affandi dan pasangannya, Maryati.

LUKISAN yang bertajuk Terbelenggu menggambarkan perasaan Ibu Kartika ketika itu.

Pada tahun 1950, Ibu Kartika mengikut ayahnya menghadiri kursus di Art School, Tagore University, Shantiniketan, India. Selepas itu, dia merantau ke seluruh India bersama kedua-dua ibu bapanya. Kemudian, pada tahun 1952, dia menyertai kursus musim panas di Polytechnic School of Art di London. Di sana, Ibu Kartika bertemu dengan seorang pelukis, Sapto Hudoyo yang kemudian menjadi suaminya.

Setelah berkahwin dengan Sapto, Ibu Kartika mula serius dalam bidang tersebut dan sentiasa menggunakan kesempatan yang ada untuk melukis dan berkarya.

Hasil perkahwinannya dengan Sapto, Ibu Kartika dikurniakan lapan cahaya mata. Dalam pada itu, dia menyedari bahawa fungsi wanita bukan sekadar melahirkan anak dan bergelar ibu, sebaliknya wanita juga boleh menyumbang sesuatu untuk masyarakat. Dalam konteks dirinya, beliau melahirkan karya-karya seni yang bernilai.

Berlainan dengan pelukis lain, Ibu Kartika gemar melukis apa sahaja objek yang disukai. Malah, dia langsung tidak peduli sama ada lukisan itu akan disukai orang atau tidak. Selain itu, dia tidak pernah terfikir adakah lukisannya boleh dijual.

Bagi Ibu Kartika, melukis memberi kepuasan pada dirinya untuk menggambarkan mengenai peristiwa yang dilihat di depan mata atau yang pernah dilalui sepanjang hayatnya.

"Sebab itulah Ibu suka melukis di lapangan atau di kawasan terbuka. Ibu tidak gemar melukis di dalam studio kerana merasakan idea akan menjadi sempit dan kurang menjadi.

"Paling utama, Ibu suka menjadikan kehidupan sebagai subjek dalam menghasilkan karya," ujar nenek kepada 10 orang cucu itu.

Pameran pertama yang disertai Ibu Kartika ialah Sanggar Seniman di Alun-Alun, utara Jogjakarta pada tahun 1957. Ketika itu, dia bersama enam pelukis wanita lain yang kebanyakannya isteri pelukis seperti ibunya, Maryati; Kustiah (isteri Edi Sunarso) dan Ruliyati (isteri Dan Sumaryono) bekerjasama mengadakan pameran itu.

Sehingga kini, Ibu Kartika telah pun mengadakan ratusan pameran sama ada secara solo mahupun berkumpulan di serata pelosok dunia. Antaranya termasuklah di Singapura, Itali, Jerman, Perancis, Belgium, Australia, Belanda dan Austria. Selain itu, Hong Kong, Brazil, Eropah Timur, Thailand, Taiwan, Hungary dan Amerika Syarikat (AS).

Terbaru, Pameran Solo Catan Kartika Affandi sedang berlangsung di Galeri RA Fine Arts, Kuala Lumpur. Pameran yang bermula sejak 15 Januari lalu itu akan berakhir pada 9 Februari ini. Profesor Zakaria Ali, seorang pakar sejarah seni dan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menjadi kurator jemputan pameran tersebut.

Ini merupakan pameran kedua Ibu Kartika di Kuala Lumpur. Kali pertama ialah pada tahun 1971 di Samat Art Gallery.

KARYA bertajuk Rumah Lambok yang dihasilkan pada tahun 1993.

Apa yang menarik mengenai Ibu Kartika ialah kebolehannya melukis dan berkarya dengan kedua-dua belah tangannya tanpa rasa kekok.

Sama ada kiri atau kanan, tangan Ibu Kartika tetap gigih melakar warna-warna di permukaan kanvas dan menghasilkan lukisan terbaik sekali gus menakjubkan mata yang memandang.

"Ibu sebenarnya memang seorang yang menggunakan tangan kiri atau kidal. Tetapi apabila mula melukis, Ibu mampu menggunakan kedua-dua belah tangan yang dikurniakan Tuhan," ujar Ibu Kartika yang boleh dianggap sebagai satu-satunya pelukis wanita Indonesia yang masih belum berjaya disaingi setakat ini.

Selain menggunakan kedua-dua tangannya untuk melukis, Ibu Kartika juga dianggap unik kerana tidak pernah menggunakan bekas warna, sebaliknya menjadikan jari dan tangannya sebagai palet.

Hingga kini, Ibu Kartika telah berjaya menghasilkan hampir 700 koleksi karya dan lukisan sepanjang penglibatannya dalam bidang seni lukis.

ORANG RAMAI yang hadir pada Pameran Solo Catan Kartika Affandi, di Galeri RA FIne Arts, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malah, kejayaan seni Ibu Kartika turut mendapat pengiktirafan negara luar. Antaranya, beliau pernah menerima Anugerah Gold Medal dari Academica Italia Salsomaggiore pada tahun 1980; Anugerah Ijazah Kehormat sebagai Maestro di Pittura daripada International Seminar of Contemporary & Modern Art, Itali (1982); Master of Painter daripada Youth of Asian Artist Workshop (1985) dan banyak lagi.

Menurut Pengarah Galeri RA Fine Arts, Raja Ahmad Aminullah, perjalanan seni yang ditempuh oleh seniman ulung Indonesia itu adalah satu perjalanan yang luar biasa.

"Kita dapat melihat raut wajah diri Ibu Kartika yang kadangkala hadir dalam lukisannya. Pada umur sebegini, beliau menzahirkan banyak karya-karya seni yang merupakan testimoni dalam perjalanan hidupnya sebagai seniman.

"Secara peribadi, saya kagum dengan keperibadian Ibu Kartika dalam menghasilkan karya kerana dia adalah seorang pelukis yang jujur dan berbicara secara langsung dengan setiap lukisannya," kata Raja Ahmad yang menyanjungi kehebatan Ibu Kartika.

Masih belum puas berkarya

MESKIPUN telah menghasilkan hampir 700 koleksi lukisan sepanjang hidupnya, Ibu Kartika Affandi masih belum mencapai kepuasan dalam berkarya.

Berbicara tentang itu, dia tidak mahu berpuas hati dengan setiap karya yang dihasilkan kerana melalui lukisan, dia mampu menaikkan semangat dalam diri untuk terus maju ke depan sebagai pelukis yang tiada tandingan.

“Dalam setiap karya, Ibu akan meletakkan sepenuh hati padanya. Ibu akan berusaha untuk menyiapkan sesuatu lukisan secepat mungkin tetapi bukan sambil lewa, sebaliknya penuh teliti.

“Malah, Ibu akui jika sedang melukis, Ibu tidak akan mempedulikan apa sahaja yang berlaku di sekeliling Ibu sehinggalah lukisan itu siap sepenuhnya,” tutur Ibu Kartika tersenyum.

Selain melukis, Ibu Kartika juga menghabiskan masa lapangnya dengan melakukan kerja-kerja restorasi lukisan milik ayahnya, Affandi.

PALITAN warna Ibu Kartika tetap memperlihatkan suntikan lembut seorang wanita.

Menurut kurator jemputan pameran solo Ibu Kartika, Profesor Dr. Zakaria Ali dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), teknik Ibu Kartika yang menyentuh dan mengawasi adalah sejenis mentera visual iaitu amalan seorang anak yang amat setia pada memori ayahnya.

“Sepanjang hayatnya, Ibu Kartika cuba membebaskan dirinya daripada pengaruh ayahnya. Tetapi dia tidak upaya. Memang Affandi mempunyai caranya sendiri.

“Begitu juga anaknya, Ibu Kartika. Tetapi masih ada perbezaan antara mereka. Sapuan berus Ibu Kartika walaupun ketika dibakar oleh perasaan marah yang tidak terhingga, masih tetap mempunyai sentuhan seorang wanita yang lembut,” jelasnya dalam buku Pameran Solo Catan Kartika Affandi.

Apa yang pasti, dalam perjalanan hidup yang cukup panjang sebagai pelukis, Ibu Kartika berhasil membentuk citra dirinya sendiri walaupun tidak sepenuhnya melepaskan diri daripada pengaruh ayahnya, Affandi.

Monday, January 26, 2009

PERGINYA SEORANG PEJUANG SASTERA


Pak Arena pejuang sastera

Oleh ROOSFA HASHIM
PENULIS ialah pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Semalam Pak Arena meninggalkan kita di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Arwah menghidap barah paru-paru. Penulis menerima beberapa pesanan ringkas dan telefon daripada anak-anak Pak Arena sejak pukul 3 pagi hingga ke siang. Dari rumah anaknya di Batu 22, Hulu Langat jenazahnya dipindahkan ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta Kuala Lumpur sebelum disemadikan di tanah perkuburan Bukit Kiara.

Beberapa hari lalu semasa singgah ke wad baldu PPUKM, saya sempat bercakap-cakap dengan Pak Arena sungguhpun beliau sudah tidak berkata-kata. Akan tetapi apabila saya menyebutkan dan bertanyakan tentang novel barunya yang baru terbit di Tanjung Malim dan manuskrip barunya yang kini di tangan Anwar Ridhwan, matanya terbuka luas dan terkelip-kelip seolah-olah mengiakan sesuatu. Mulutnya cuba mengungkapkan sesuatu. Demikianlah sikap Arenawati yang sentiasa mahu membicarakan tentang karya dan penulisan.

"Ayah is a fighter." Ratna, puteri beliau menjelaskan kekuatan Arenawati yang sudah empat bulan di hospital. Bagaimana beliau berjuang dengan pena, demikianlah beliau berjuang pada saat usianya yang terakhir. Menurut Ratna, Arenawati kuat semangat dalam pertarungannya menghadapi penyakit yang dihidapinya.

Tetapi, ketika saya menziarahinya beliau sudah tidak seperti yang saya selalu saksikan sejak 20 tahun lalu. Pada hari itu beliau terdampar lemah di katil.

Dulu, kalau ke UKM beliau selalu bertopi bagi melindungi kepalanya daripada panas matahari, bertongkat dan berbaju batik Indonesia. Beliau berbual dengan suara yang kuat dan jelas tapi mesra.

Pak Arena sebahagian daripada sejarah penubuhan UKM. Buku-buku awal dalam koleksi perpustakaan UKM diusahakan oleh Arenawati dengan memunggahkan buku dari Jakarta ke Pantai Baru pada awal 70-an.

Pak Arena pernah menjadi karyawan tamu di UKM pada 1985 bagi menulis memoirnya. Beliau juga telah dianugerahkan ijazah kehormat oleh UKM sebagai mengenang sumbangannya dalam kesusasteraan.

Arenawati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang adalah anak Bugis asli. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Kalumpang, Kabupaten Jeneponto, Makasar, Indonesia.

Pendidikan awalnya bermula di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa perang, pengajiannya terganggu dan beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada 1943. Pengalamannya di laut telah mematangkan wataknya yang mewarisi darah pelaut sejak turun temurun.

Arenawati diangkat menjadi nakhoda kapal pada usia 17 tahun. Beliau kemudian menghabiskan pelajaran menengahnya di Makasar pada 1953.

Kerjayanya sebagai penulis bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Beliau bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, beliau juga bekerja di Harmy Press.

Beliau kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd., sebelum ke Brunei untuk menjadi penasihat percetakan Light. Di Kuala Lumpur beliau kemudiannya menyertai Aziz Antara di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Di tangan Arenawati sebagai editor, terbit sejumlah buku-buku yang besar dan kuat di Pustaka Antara. Arenawati menjadi pegawai penyelidik di Yayasan Sabah pada 1974.

Arenawati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya beliau yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Sejak itu semakin ligatlah beliau berkarya sehinggalah sejurus sebelum beliau dimasukkan ke hospital pada bulan Ramadan lalu.

Antara novel beliau seterusnya ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971), Bunga Dari Kuburan (1987), Kuntum Tulip Biru (1987), Sakura Mengorak Kelopak (1987), Panrita (1993), Sukma Angin (1999), Cakra Waruga, Trilogi Busa - Busa Hati, Trilogi Busa - Busa Sukma, Trilogi Busa - Busa Kalbu, Trilogi Armageddon: Mandala, Trilogi Armageddon: Menorah, Trilogi Armageddon: Pentagon, Warna Sukma Usia Muda. Kisah perjalanan hidupnya diabadikannya dalam Memoir Arenawati: Enda Gulingku.

Sebagai pengiktirafan terhadap bakat besar dan sumbangannya kepada dunia kesusasteraan Melayu, Pak Arena di anugerahkan SEA Write Award (1985), Anugerah Sasterawan Negara (1987). Karya beliau, Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Arenawati juga adalah pemenang Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Hadiah MASTERA) 2003.

Rakan-rakan, sahabat handai dan saudara mara meninggalkan tanah perkuburan Bukit Kiara dengan seribu kenangan suka duka bersama Arenawati.

Seharum bunga dari kuburan yang lembut, Arenawati meninggalkan nama yang wangi di pentas kesusasteraan Melayu - Nusantara.

Beliau akan tetap dikenang oleh sarjana dan rakan penulis di Eropah bak kuntum tulip biru dan kenalannya di Jepun akan mengenang beliau seperti sakura mengorak kelopak.

Prof. Dr. Soleha Ishak, Pengarah Pusat Kebudayaan di Universiti Malaya ketika ditemui berkata:

"Membaca karyanya, Sukma Angin saya dapat merasakan minda pasca moden dan toleransi yang pintar terhadap kepelbagaian budaya masyarakat di Asia Tenggara. Saya kagum dengan daya kreatifnya yang diletakkannya dalam konteks kepelbagaian budaya ini. Dunia kesusasteraan Melayu kehilangan seorang tokoh yang cemerlang."

Menurut Prof. Dr. Kamaruddin M.Said, Penerbit UKM merasa bangga dapat menerbitkan banyak hasil karya SN Arena Wati.

"Saya berpendapat Arena Wati ialah seorang sasterawan Melayu yang berminda glokal. Selain menukilkan kisah hidup Melayu Nusantara, beliau turut meletakkan naratif sastera Melayu dalam konteks kehidupan manusia sejagat di New York, Kyoto, Leiden dan kawasan Nusantara.

"Pengalamannya sebagai pelaut telah membentuk mindanya yang terbuka dan menjangkau luas ke seluruh pelosok dunia. Namun begitu, jati diri Melayu-Nusantaranya terus teguh hingga ke akhir hayatnya."

Sesungguhnya Arenawati adalah seorang tokoh yang amat penting dalam kesusasteraan Melayu moden.

Semasa hayatnya, Pak Arena tampil sebagai penulis yang cukup prolifik, tidak berhenti-henti menulis dengan pelbagai karya. Beliau ibarat sumur di ladang yang membuak-buak dengan air yang tak pernah kering.

Arenawati pergi dengan meninggalkan sejumlah karya besar untuk seluruh bangsanya. Negara kehilangan anak bangsanya yang besar jasanya dalam arena kesusasteraan. Saya kehilangan rakan penulis yang rapat dan cukup penyayang.