Friday, February 25, 2011

REVIU BUKU : TULISAN CERMINAN PERSONALITI DIRI



Setiap orang memiliki personaliti diri yang tersendiri. Ciri-ciri personaliti merangkumi corak pemikiran, unsur emosi diri dan juga tabiat diri. Gambaran personaliti diri boleh dibaca dengan mudah melalui penganalisaan tulisan tangan. Proses menulis merupakan cernaan minda yang membentuk lakaran dan gaya tulisan yang unik sebagaimana uniknya personaliti diri seseorang itu.
Ketahuilah kedalaman emosi, perasaan dan cara pemikiran diri anda sendiri dan juga diri orang yang ingin anda kenali. Fahamilah bentuk tulisan mereka yang berjaya dalam hidup dan juga bentuk tulisan mereka yang mempunyai ciri-ciri negatif kehidupan.
Buku Tulisan Cerminan Personaliti Diri ditulis oleh Khadijah Ibrahim. Beliau merupakan pengurus ‘Quality Assurance’ di sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Beliau juga berkelulusan dalam bidang Chemical Engineering dari Sheffield University, UK dan ditauliahkan sebagai Certified Handwriting Analyst oleh Handwriting University, Dallas, Amerika Syarikat.
Dalam buku ini, pengolahannya yang jelas, memudahkan pembaca memahami apa yang hendak disampaikan. Isi kandungannya dapat membantu anda mengenali diri anda sendiri.
Sebagai pembukaan, penulis telah menyingkap sedikit kisah buku pertama yang berkenaan dengan penganalisaan tulisan yang telah ditulis pada tahun 1622 di Florence, Italy. Penulisnya ialah Camillo Baldi seorang profesor universiti dalam bidang perubatan dan falsafah. Sejak itu, ramai ahli falsafah, ahli psikologi dan saintis mempelajari dan melakukan kajian mengenai personaliti manusia yang berdasarkan oleh tulisan,
Buku ini bertujuan untuk membantu anda mengenali diri sendiri supaya potensi diri anda dapat dipertingkatkan lagi di samping memperbaiki kelemahan diri yang ada. Namun, ini tidak bermakna dengan mengubah bentuk huruf di di dalam tulisan anda, ia dapat mengubat sifat-sifat yang anda kehendaki dengan serta merta. Mengubah tulisan dan sekaligus mebgubah sifat anda juga memerlukan kesabaran, latihan dan dilakukan berulang-ulang supaya ia menjadi satu tabiat yang anda amalkan hari-hari.
Tulisan tangan sebenarnya adalah tulisan otak (brain writing), yang merupakan pancaran minda separa sedar (sub-conscious) kita. Buku ini menjelaskan mengenai penganalisaan tulisan adalah menganalisa bentuk tulisan dan menerangkan tentang sifat atau peribadi seseorang mengikut bentuk huruf yang terdapat dalam tulisan. Ia juga dapat menentukan tindak balas emosi. Kedalaman emosi dan personaliti seseorang.
Setiap saiz abjad, kecondongan, tekanan, pergerakan tulisan dan sebagainya berperanan menjelaskan perasaan, corak pemikiran dan tahap keyakinan seseorang. Sangat sukar untuk kita menemui dua orang yang mempunyai tulisan yang betul-betul serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Satu statistik yang dikeluarkan ole Amerika Syarikat menunjukkan dua orang mempunyai bentuk sulisan yang sama adalah 68,000,000,000,000 kepada satu. Dengan jumlah penduduk dunia yang sekitar 6 billion, adalah begitu sukar untuk menemui doa orang yang mempunyai tulisan yang serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Apabila seseorang itu menulis, pergerakkan kecil ini berlaku tanpa disedari. Dengan sebab itu pergerakkan tulisan seseorang atau bentuk huruf (stroke) yang terhasil akan memperlihatkan sifat spesifik seseorang itu. Setiap bentuk huruf sama ada titik, cangkuk, garisan, lengkungan atau bulatan dalam tulisan adalah rangsangan saraf minda sedar dan separa sedar.
Penganalisaan tulisan tetap dapat membezakan keunikan dan cara penulisan setiap orang yang menulis tulisan rumi terutamanya mereka yang menulis dalam bentuk tulisan bersambung.
Penganalisaan tulisan bertujuan untuk menentukan tindak balas emosi (emotional responses), kedalaman emosi (depth of emotions) dan juga sifat-sifat peribadi atau ciri-ciri personaliti seseorang. Contohnya, tulisan yang condong ke kiri menunjukkan anda lebih selesa memendam perasaan dan tidak gemar bergaul dengan orang lain. Tulisan yang condong jauh ke kanan menunjukkan anda sentiasa perlu berinteraksi dengan orang lain dan perlu menunjukkan perasaan anda.
Contoh lain yang dijelaskan dalam buku ini ialah mengenai tulisan menegak dan sifat anda. Secara umumnya tulisan yang ditulis secara menegak, anda sentiasa mengekang emosi diri. Pada umumnya, anda seorang yang agak pendiam dan biasanya mengelakkan diri daripada rapat dengan sesiapa pun. Dan orang lain berasa sukar untuk memahami sifat anda kerana anda tidak menunjukkan sebarang perasaan.
Jika anda ingin menyelongkar mengenai gaya-gaya tulisan yang lain dan sifat-sifat yang berkaitan dengannya, bacalah dan dalamilah buku ini.
Buku Terbitan : Ameen
Boleh dibeli melalui : www.ameenbooks.com.my
Harga : RM23.00/S$15.00

Tuesday, January 11, 2011

REVIU BUKU TABLET & PEN


TABLET AND PEN, VISI SEJARAH ABAD KE 20
Dengan sejarah luas visi dalam abad ke dua puluh, Tablet and Pen meraikan perkembangan sastera Timur-Tengah yang telah banyak terbiar dalam dunia pertuturan Inggeris.
Dalam antologi ini, kita dapat membaca berbagai perspektif dan cerita karya-karya hebat Timur Tengah dalam bahasa Inggeris. Dan ini semestinya bukan satu perkara yang mudah.
Negeri-negeri yang merangkumi sepanjang horison Timur tengah – dari Maghribi ke Iran, dari Turki ke Pakistan – yang kaya dengan berbagai budaya, berbagai bahasa, dan juga berbagai ugama. Namun, lanskap sastera di negara-negara yang dinamik di daerah ini mempunyai kaitan bersama bukan setakat sempadan dan kebangsaan, tetapi pengalaman umumnya ialah jajahan imperialisme Barat.
Dengan kesedaran dengan ‘parut’ yang ditinggalkan oleh legasi pemerintahan kolonial, editornya Reza Aslan, seorang penulis yang tersohor, bersama tiga lagi editor dari daerah yang sama dan tujuh puluh tujuh penterjemah, mengusahakan sesuatu melalui Tablet and Pen. Ia menampilkan bagaimana sastera dapat digunakan untuk mengesan identiti yang luarbiasa sesebuah sejarah yang telah melayari berbagai peristiwa dan keadaan.
Reza Aslan bermastautin di Los Angeles. Beliau ialah seorang profesor dalam bidang penulisan kreatif dari Universiti California, Riverside. Beliau juga menulis buku No God but God dan Beyond Fundamentalism.
Dengan buku tulisannya yang berjudul Acting With Words Without Borders, yang telah melakukan pertukaran karya melalui terjemahan dan penerbitan sastera dunia yang terunggul, Aslan telah mengusahakan sesuatu yang murni dengan karya-karya dalam abad ke dua puluh ini. Ia melepasi sempadan pasca pemerintahan Utmaniah, dan dipercayai penulis-penulis yang telah wujud sejak seratus tahun lalu tidak dapat penghargaan yang setimpal.
Koleksi monumental ini, yang mengandungi hampir dua ratus karya, termasuk cerita pendek, novel, memoir, esei dan puisi – kebanyakkan ditampilkan melalui buat pertama kalinya dalam bahasa Inggeris. Ia telah menerbitkan karya-karya yang telah diterjemahkan dari bahasa Arab, Parsi, Urdu dan juga Turki.
Buku ini disusun mengikut kronologi, bab-bab merangkumi seratus tahun sastera – dari penulis karya termasyor Khalil Gubran hingga ke penerima anugerah Nobel Naquib Mahfouz dan Orhan Pamuk, dari penulis puisi Syria-Lubnan bernama Adonis hingga ke penulis fiksi hebat, Ismat Chugtai – yang ada kaitan dengan tradisi luarbiasa, yang karya-karya kaya gemerlapan yang sering disingkirkan oleh pihak Barat.
Dengan mengalihkan persepsi Amerika mengenai Timur Tengah yang jauh dari agama dan politik, Tablet and Pen membangkitkan kemegahan mengenai daerah tersebut melalui suara penulis dan karya mereka. Melalui sastera, ia menceritakan kisah yang dapat membebaskan dan mendesak, dengan kekayaan informasi yang kontekstual yang meletakkan penulisan dalam sejarah, politikal dan juga kebudayaan yang luas di daerah Timur Tengah. Buku ini boleh dianggap sebagai naratif yang konsisten, dari muka surat pertama hingga akhir.
Khaled Hosseini, pengarang The Kite Runner menjelaskan bahawa buku Tablet and Pen mengandungi koleksi penulisan yang agung dari Timur Tengah moden yang mengingatkan kita kehebatan tradisi sastera. Ia boleh dianggap sebagai sebuah anugerah, namun ‘suara-suara’ dalam helaian muka surat tersebut menjadi panduan dan persepsi bahawa daerah Timur Tengah bukan semata-mata militan yang ektremis.
Selain karya-karya dari Khalil Gibran dan Orhan Pamuk, karya-karya Muhammad Iqbal, Nazim Hikmet, Yasar Kemal, Mahmoud Darwish, Forugh Ferrokhzad dan juga Ahmad Shamloo ada terkandung di dalamnya.
Nota : Tablet & Pen (Literary Landscapes from the Modern Middle East) diterbitkan oleh W.W. Norton & Company (NY.London)
Harga USD35.00

Monday, September 20, 2010

REVIU : AL QURAN RAHSIA TERUNGGUL



Kunci utama untuk menyingkap segala rahsia yang tersurat dan yang tersirat di dalam ayat-ayat qalam Allah, yang terungkap melalui Al-Quran dan sering kita dengar, sering kita baca, tapi malangnya tidak ramai yang mampu menjiwai makna dan rahsianya, sehingga kita terlepas dari merasai kenikmatan dan keberkatan yang terkandung di dalamnya.
Ada terlalu banyak rahsia-rahsia Al-Quran terkandung di dalamnya. Ia bukan sahaja pelerai masalah, malahan adalah jawapan kepada semua pemasalahan manusia. Dan jika dikaji lebih terperinci, ia sebenarnya menjadi pelita dan pembimbing umat seluruh alam.
Kunci rahsia Al-Quran ini mudah dibongkar dan dipraktikkan. Kita sering tidak mahu memahami rahsia Al-Quran dan kita setakat membacanya tapi tidak mengkaji. Dalam buku ini, ia menerangkan bahawa Al-Quran umpama mercu atau Global Positioning Satellite (GPS) yang memandu kapal annda saat melintasi laut dalam kepekatan malam. Semakin sering memerhatikan arahan atau GPS, maka semakin boleh dihindari sebarang musibah. Demikian pula halnya hubungan Al-Quran dengan manusia.
Kerana itu, Al-Quran adalah panduan kehidupan yang sempurna. Tanpa petunjuk Al-Quran dan bimbingan daripada para pemandunya, anda pasti tersesat dalam kehidupan .
Ada banyak kunci yang tersimpan dalam Al-Quran, dan buku ini menjelaskan secara ringkas tapi amat berkesan. Inilah kunci rahsia yang bila dibaca dari fikiran yang benar-benar terikat kepada Allah swt, maka ia akan mengubah segalanya. Kemiskinan anda menjadi kekayaan, kesedihan anda menjadi kegembiraan, ketakutan anda menjadi keamanan, penderitaan anda menjadi kemakmuran, keburukan anda menjadi kebaikan dan kesakitan menjadi kesembuhan.
Dalam kunci yang dibongkar untuk para pembaca menikmatinya ialah amalan harian yang harus boleh dicontohi. Manusia yang bekerja untuk akhirat adlah orang mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Nasihat Ali bin Abi Thalib ini bukan bererti anda harus duduk, solat, berpuasa, dan berzikir sahaja. Kerana ibadat yang ada dalam Al-Quran bukan terbatas pada solat dan puasa sahaja. Ibadat da;am Al-Quran meliputi seluruh aspek kehidupan anda.
Bekerja untuk memenuhi keperluan anda di dunia adalah ibadat. Menuntut ilmu adalah ibadat. Berbakti kepada orang tua adalah ibadat. Memberi nafkah adalah ibadat. Menolong orang lain adalah ibadat dan seterusnya. Inti ibadat Al-Quran adalah menjadikan akhirat sebagai tujuan akhir kehidupan dan dunia sebagai ladang perbuatan.
Penulis : Ali Ahmad / Maleya
Terbitan : Kharisma Networks Sdn Bhd
Harga : RM15.90

Thursday, September 16, 2010

REVIU ALBUM BIANGLALA





BIANGLALA - CETUSAN IKHLAS MASIMRAN

Bianglala merupakan bahasa yang lebih kerap digunakan di Indonesia berbanding dari Singapura. Bianglala atau pelangi adalah fenomena optik dan meteorologi, berupa cahaya beraneka warna saling tampak di langit atau medium lainnya. Mata manusia akan dapat menikmati tujuh warna yang terkandung cahaya matahari, yang akan terlihat pada bianglala: merah, jingga, kuning, hijau, biru, nila, dan ungu. Ia hanya dapat dilihat sesudah hujan bersamaan dengan sinarnya matahari, tapi dari keadaan yang bertentangan.
Bianglala juga merupakan tajuk album Masimran yang baru dilancarkan di NLB @ The Courtyard, Perpustakaan Negara pada 31 Julai yang lalu. Walaupun ada banyak acara yang berlangsung pada hari yang sama, namun hampir 200 hadirin telah menyerikan majlis pelancaran tersebut.
Keindahan bianglala juga telah menyerikan album terbaru ini dengan irama muzik yang dapat memberikan ketenangan dan juga dapat menyentuh jiwa kita yang paling dalam. Malahan, ia menyajikan kita satu bahan muzik yang dapat memberi santapan minda kita jika sedang bercelaru.
Setelah memasuki pertandingan Anugerah di Mediacorp pada tahun 2001 dengan kumpulan Et’nik hingga ke peringkat akhir, Masimran juga sering membuat persembahan di beberapa majlis. Majlis atau acara yang sering dibuat persembahan termasuk di Madrasah Aljunied, Konsert Islam 2009, majlis pelancaran buku dan juga acara-cara kesenian yang lain.
Selain dari itu, Masimran juga pernah menyertai peraduan Gegaran 2001 anjuran PERKAMUS. Ini juga telah menjadi satu lagi batu loncatan bagi Masimran dalam bidang penciptaan lagu.
Minat yang mendalam dalam bidang seni muzik berputik sejak Masimran berumur 5 tahun lagi. Kini umurnya menjangkau 35 tahun dan masih mempelajari bidang nyanyian dan juga muzik. Baginya,mempelajari daripada pemuzik yang lagi senior amat membantu.
Lagu yang berentak etnik, nusantara dengan sulaman irama jawa dan sunda merupakan teras lagu-lagu dalam album Bianglala. Dengan setiap irama dan lirik dipadankan dengan telitik untuk menerbitkan satu produk yang penuh harmonis. Oleh kerana ramai penyanyi atau artis Singapura yang tidak berkecimpungan dalam alunan dan rentak sedemikian, maka itulah Masimran menceburi dan mencipta lagu-lagu berunsur etnik yang amat dia senangi. Dengan alunan rentak sebegini, ia seolah-olah memancarkan satu ketenangan dalam dirinya.
Sepanjang rakaman lagu-lagu dalam album ini tidak terlepas dengan pengalaman-pengalaman yang banyak memberikan Masimran pengajaran. Sepanjang rakaman album ini, ia telah banyak mengajar Masimran ketabahan dan kesabaran. Bukan mudah untuk menjadi seorang artis rakaman kerana banyak dugaan yang harus di tempuh. Album yang mengandungi sepuluh buah lagu mempunyai nilai-nilai tersendiri.

Setelah Anugerah 2001 hingga kini memang waktu yang agak lama untuk menerbitkan sebuah album. Memang bukan mudah untuk merakamkan lagu-lagu ciptaannya ke dalam sebuah album kerana tidak diberi peluang atau kesempatan untuk merakamkannya. Setelah album Bianglala diterbitkan, Masimran kini masih terus progresif dan berinisiatif untuk mencipta lagu-lagu berunsur ketuhanan dan selawat pula.

Lagu yang dijangkakan dapat menghambat hati para pendengar tidak lain dari lagu yang berjudul Bianglala. Lagu ini juga yang paling disenangi Masimran dan pernuh bermakna baginya. Selain menceritakan kisah fenomena salah satu ciptaan Allah, ia juga menggambarkan keindahan alam yang hanya dapat dinikmati seketika. Walaupun seketika, kesannya sungguh berpanjangan.

Selain itu, lagu yang berjudul Impian yang lirik dan lagunya dicipta Masimran sendiri mempunyai melodi yang begitu indah untuk mudah serap oleh halua telinga. Lapan lagi lagu lain seperti Adakah Aku Bersalah, Keindahan Cinta Suci, Kasih, Cahayamu Mutiaraku, Ikhtibar Kehidupan, Pelita, Ning dan juga Mutiara telah mengisi album solonya yang pertama. Irama yang bercorak lembut dengan sentuhan alat-alat muzik etnik serta bait-bait lirik yang berunsur puisi pastinya akan membuka jalan pada penyanyi yang bersuara lunak-gemersik ini.

Lirik-lirik dalam album ini turut disumbang oleh Mayang, Shahrudin Sardon dan juga NurQaseh. Album yang diterbitkan oleh Zag Production dan ID Arts Production kini telah mengisi kekurangan lagu-lagu puisi yang mempunyai elemen nusantara.

Dengan sentuhan para pemuzik yang profesional seperti Dzul Rabull Jalil (piano/keyboard), Azrin – Sri Mahligai (gitar, gambus), Alhafiz (seruling), Wan Abang (percussions), ia memberikan alunan yang klasik, etnik dan tetap segar.

Encik Zahidi Abdul Rahman, seorang Anggota Lembaga Perpustakaan Negara menjadi tamu untuk melancarkan album ini. Dengan pengacara Nora Ismail menjadi teraju pada acara tersebut, ia seolah-olah telah menyemarakkan lagi suasana.

Dengan terbitnya album ini, ia menjadi satu pembakar semangat bagi Masimran serta motivasi kepada semua pencinta seni terutama dalam bidang puisi untuk terus berjuang. Selain dalam bidang nyanyian penulisan lagu dan puisi, Masimran juga berminat dalam seni halus.

Zag Fahmoa merupakan penerbit eksekutif dan Masimran pula menjadi penerbit bersama dalam projek album ini, diyakini mendapat tempat di kalangan masyarakat yang mahukan irama yang santai dan berunsurkan etnik/nusantara.


Keindahan Album Bianglala, pastinya akan mendapat tempat di hati kita.

REVIU ALBUM MAHER ZAIN




ALBUM ‘THANK YOU ALLAH’

MAHER ZAIN SEBARKAN MESEJ KEDAMAIAN

Maher Zain, seorang penyanyi, produser dan penggubah lagu merupakan bintang baru dalam dunia muzik Islam yang moden. Dengan lirik-lirik lagu-lagunya yang penuh makna bertujuan untuk menyebarkan inspirasi serta menghiburkan dan menyebarkan mesej kedamaian dan harapan kepada dunia.

Maher Zain, jejaka berumur 28 tahun ini merupakan rakyat Sweden dari keturunan asal keluarga Lubnan. Dalam bidang pelajaran, beliau memiliki Sarjana Kejuruteraan Nautika. Pengalamannya sebagai produser muzik serta pernah bekerja disamping Lady Gaga, RedOne juga dengan Michael Jackson.

Album Thank You Allah dilancarkan pada November 2009 dan mempunyai 13 buah lagu. Label Awakening Records merupakan syarikat rakamannya. Dalam rangkaian Facebooknya, kini hampir mencapai 400,000 penggemar.

Dalam lelaman Youtube juga boleh didapati lagu-lagu Maher Zain yang ramai telah menontonnya. Hampir dua juta telah menonton klip-klip video seperti Palestine Will Be Free, Insha Allah (versi Inggeris, Arab, Turki, Perancis) dan The Chosen One,

Meninggalkan kerjaya yang begitu lumayan dalam aliran industri muzik di New York di mana beliau telah bekerja rapat dengan produser-produser yang ternama serta artist seperti Akon, Lady Gaga, Enrique Inglesias serta Michael Jackson (hanya menyebut beberapa nama). Maher memilih muzik yang menjadi refleksi latarbelakangnya, iaitu Eropah, Arab dan juga Muslim. Dia juga bertugas dengan Awakening Records (yang telah melancarkan karier penyanyi Britain, Sami Yusuf) untuk memberi inspirasi kepada belia dunia.

Pada awal Mac 2010, album sulungnya Thank You Allah telah dilancarkan oleh Awakening Records menjadi album nombor satu paling laris di Amazon.com dalam segmen muzik dunia. Maher sudahpun mengadakan konsert di Sweden, Kanada, Australia, Amerika, UK, Perancis, Mesir, Algeria dan juga Bahrain. Dengan kecintaan dalam muzik begitu mendalam, bakat yang luarbiasa dan gaya yang unik, kariernya berkembang dengan tiada ada batasnya.

Inspirasi pertama dalam muzik sebenarnya lahir dari ayahnya, seorang penyanyi yang sering membuat persembahan di kota indah Tripoli, Lebanon. Terpikat dengan alat-alat muzik, Maher mendapat keybodnya yang pertama sewaktu umur sepuluh tahun. Sejak itu, muzik menjadi sebati dalam hidupnya. Keluarganya berhijrah ke Sweden sewaktu beliau berumur 8 tahun, dan dia melanjutkan pelajarannya di situ sehingga menjejaki ke peringkat universiti.
Sewaktu zaman universiti juga dia sering pulang lewat kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang muzik. Di universiti dia akan bernyanyi, mencipta lagu dan bereksperimen berbagai teknik dalam bidang muzik.


Setelah menceburi dalam bidang muzik sebagai produser untuk beberapa tahun, maher diperkenalkan kepada RedOne, seorang muzik produser yang sedang meningkat naik di Sweden. Setelah bertugas dengan RedOne, Maher berhijrah pula ke New York. Di kota metropolitan ini, Maher lebih terdedah dalam industri muzik dan sempat bekerjasama dengan beberapa artis-artist hebat. Ini merupakan karier impiannya untuk seorang yang muda dalam bidang bisnes yang penuh glamor. Dia sangat meminati muzik, tapi dirasakan keadaan di sekelilingnya tidak dirasakan selesa, dan ada sesuatu yang tidak kena.

Pada Januari 2009, Maher Zain memulakan untuk menerbitkan sebuah album yang mencerminkan identiti beliau yang sebenar – Arab, Eropah dan Muslim – dan kemudian menanda-tangani kontrak bersama Awakening Records. Album pertamanya bukan saja menjadi nombor satu di catar Amazon.com dan juga menduduki ke tempat kesembilan dalam carta R&B.

Dalam bulan Januari 2010, dalam pertandingan muzik anjuran Nujoom FM (Stesyen Radion Mesir terbesar), lagu Ya Nabi Salam Alayka telah dinobatkan sebagai lagu terbaik tahun 2009. Maher Zain kini menjadi superstar muzik Islam yang begitu pantas meningkat naik.

Album Maher Zain mempunyai campuran muzik R&B dengan sentuhan tradisional, spiritual, soul dan juga kontemporari muzik pop. Dari segi spiritual dan ketuhanan, ia mudah menyentuh jiwa pendengar dengan elemen klasik yang memiliki keluarbiasaan yang mengagumkan..

Selain Maher Zain senditi menjadi eksekutif produser dalam album ini bersama Bara Kherigi, ia juga dirakamkan di 7 studio berlainan yang terletak di Istanbul, Mesir, Stockholm dan juga Mississauga – Kanada. Maher juga menyumbangkan beberapa lirik dalam album ini seperti lagu Barakallahu lakuma, Thank You Allah dan u Allah dan Ya Nabi Salam Alayka. Sebuah lagu yang berbahasa Arab dan Urdu turut dimuatkan. Lagu Allahi Allah Kiya Karo menampilkan khas penyanyi Irfan Makki.

Nama Maher Zain kini mengharum dengan begitu pantas sekali dan muziknya juga dikenali sebagai islamik moden serta vokal yang membuat kita mudah terpengaruh. Single dan muzik video animasi yang berjudul ‘Palestine Will Be Free’ dan juga muzik video ‘Insha Allah’ yang dirakamkan di London oleh seorang direktor British, Mike Harris, yang pernah bekerjasama dengan Coldplay dan Madonna. Selain dari itu, video ‘The Chosen One’ – mengisahkan ajaran nabi Muhammad dirakamkan di Los Angeles juga paling banyak ditonton melalui Youtube.

Maher Zain dijangkakan akan membawa muzik Islam ke satu tahap yang baru. Artis dan produser yang sangat berbakat ini membawa muzik kepada audiens yang lebih luas. Dengan mesej lagu-lagu yang mengisahkan kebesaran Allah, dengan penuh pendirian, dan keindahanNya, digabungkan dengan elemen R&B, muzik pop, Arab dan muzik Turki into susunan muzik yang lebih berani.

Setelah pengalamannya dalam industri musik, Maher benar-benar rasa syukur kerana telah menemui laluan yang benar, memaksimakan bakatnya yang sedia ada, dan menerbitkan lagu-lagu yang lebih dengan dirinya. Dan kini sudah tiba masanya untuk dia membantu orang lain melalui muzik “ Jika saya ada sesutau, saya mahu memberi tahu orang di luar sana bahawa ia adalah mudah untuk melihat laluan yang benar jika kita membuka mata dan melihatnya; itu yang terjadi dalam diri saya.”

Dan tidak mustahil juga Maher Zain akan ‘menawan’ para peminatnya di Malaysia dan di Singapura pada masa terdekat ini.

end

Saturday, August 14, 2010

PAMERAN - SEVEN WONDERS





Kumpulan TUJU yang disatukan dari tahun 2005 terdiri dari berbagai artis yang menggunakan berbagai teknik dalam kerja seni mereka. Kini mereka telah mengadakan sebuah lagi pameran di Galeri Forest Rain di Waterloo Street. Para pelukis ini telah mengadakan pameran mereka bermula dari 2 Julai 2010. Tetamu terhormat yang telah merasmikan pameran ini ialah Tuan Masagos Zulkifli, Setiausaha Kanan Parlimen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri.
Galeri yang baru dibuka beberapa bulan yang lalu ini ingin mempamerkan karya-karya setempat dan dari rantauan untuk menyemarakkan lagi industri seni di Singapura. Kecintaan pemiliknya dalam bidang seni halus yang begitu mendalam telah menerbitkan hasrat untuk membuka sebuah galeri.
Kumpulan TUJU terdiri dari Abu jalal (pop Art), Rosihan Dahim (Surrealisme), Tumadi Patri (Batik), Sujark Rahman (Neo-Batik), Sunar Sugiyou (Kaligrafi Cina) dan Ramli Nawee (Seni Digital). Mereka juga telah menerima berbabagai anugerah dan hadian dalam bidang seni.
Secara individu, mereka telah menerima berbagai anugerah dan hadiah dalam bidang seni. Karya-karya mereka juga dimiliki oleh berbagai agensi, institusi serta pemilik individu. Ia termasuk Kementerian Pelajaran, Muzium Seni Singapura, NTUC, Muzium Westfries-Belanda, kementerian Pelancungan – Dubai dan juga keluarga di Raja Brunei Darussalam.
Untuk pameran kali ini, ada dua peserta muda yang berbakat dan berpotensi diserapkan. Billy Soh (Seni Fotografi) dan Fera Nuha Lestari (Seni Moden). Gabungan yang menarik ini telah mencipta sebuah pameran bukan saja menarik, juga bervariasi dari sudut isu dan pandangan.
Rosihan Dahim – Memang beliau dikenali dengan lukisan-lukisan beliau yang surealis. Dalam pameran ini, karya surealistiknya yang berjudul Heritage, menimbulkan satu persimpangan bahawa dia sudah bersedia untuk melangkah keluar dari ‘kepompongnya’. Telur yang sudah pecah, dengan mengalir kuningnya diletakkan di pintu gerbang sebuah dewan yang klasik melambangkan persediaannya muncul di pentas dunia.
Sujak Rahman – Mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam seni lukis khususnya dalam seni batik. Beliau adalah antara segelintir penggerak batik moden di Singapura. Karya Mother & Child memang kelihatan subjek yang mudah. Jika kita dalami kasih ibu terhadap anak dan keluarganya, kita dapat menemukan berbagai isu yang terselindung di dalam karyanya. Tambahan lagi, dengan sentuhan batik di atas kanvas, Sujak masih dapat mengekalkan keistimewaan dalam bidang yang sangat beliau mahir. Kita boleh menilai karya itu ‘moden’ tapi masih tetap berjiwa ‘tradisional’.
Sunar Sugiyou – Setelah siri-siri yang banyak berunsur etnik dan kisah hikayat Ramayana dan Sitha untuk beberapa tahun, Sunar memilih untuk berkarya dengan teknik kaligrafi Cina. Di samping kaligrafi Cina, dalam pameran kali ini, Sunar menampilkan karya yang agak berlainan dari segi komposisi dan maksudnya. Seperti lukisan yang subjek utamanya pisang yang terletak di atas kerusi. Makna yang berlapik ini membuat kita lebih tertanya-tanya dengan maksud karya Sunar Sugiyou. Namun pastinya, Sunar mempunyai maksud yang lebih besar yang ingin diutuskan.
Abu Jalal amat seronok dengan menggunakan warna-warna yang garang dan menyerlah. Subjek pilihan Jalal kadangkala mengganggu dan mencabar minda. Namun ia tetap menampilkan kesegaran dengan mesej-mesej yang menggugat masyarakat dan penyataan yang pedas dan tepat. Pespektif yang berbagai dan adakalanya sentuhan seperti sebuah komik adalah cara Jalal menyebarkan idea seninya. Dalam karya What We Have Here, ada kesan intelektual jika kita dapat mendalaminya.
Tumadi Patri adalah di antara pelukis batik yang prolifik di rantau ini. Banyak karya-karyanya menjadi koleksi beberapa individu dan koporat termasuk Luncai Emas. Teknik batik dipelbagaikan tekniknya. Baginya, batik tidak semesti menggunakan fabrik dan canting. Dalam pameran ini, ada beberapa karya dipamerkan, tetapi yang menonjol ialah karya Topeng-Raden Astra Miruda. Karya yang dilukis di atas filem x-ray agak unik persembahannya. Mitos dan cereka Wayang Kulit sememangnya sinonim dalam dunia pengaryaan beliau.
Ramli Nawee adalah antara beberapa orang penggiat seni yang terlibat dalam seni digital. Karya-karya abstrak digital mempunyai komposisi yang berlapik subjeknya. Sewaktu kumpulan Tuju mengadakan sebuah pameran di Dubai pada tahun 2006, Ramli telah mendapat berbagai ilham untuk ‘menceritakan’ pengalamannya sewaktu berada di sana. Karya yang bertajuk When The Dune Rises, memberi kesan bahawa Dubai adalah sebuah kota yang harus diteroka. Tetapi di sebaliknya, bukan mudah untuk mastautin di kota yang berkembang terlalu pesat.
Billy Soh adalah satu-satu anggota baru yang bukan Melayu dalam kumpulan Tuju. Bidang yang beliau ceburi ialah seni fotografi. Ada beberapa foto yang digunakan berbagai teknik untuk mendapat kesan yang amat menarik. Subjek yang dipilih biasanya ialah pemandangan ataupun alam semulajadi. Teknik-teknik harus diteroka untuk mewujudkan visual yang berkesan.
Fera Nuha Lestari merupakan peserta termuda dan juga wanita tunggal dalam kumpulan Tuju. Tuju memang sentiasa memberi peluang kepada sesiapa saja yang ingin menyertai pameran bersama mereka. Fera yang baru lulus dari University Murdoch ingin mencari pendedahan dalam seni yang dia minati. Ada dua karya yang dipamerkan dalam pameran ‘Seven Wonders’. Salah satunya karya yang berjudul Restless Heart, mesej yang ingin diutuskan agak langsung dan representasi warnanya mudah untuk diinterpretasi. Namun sebagai pelukis yang baru terjerumus dalam bidang seni halus, Fera mempunyai masa depan yang agak cerah.
Sesiapa yang ingin menyaksikan Pameran ‘Seven Wonders’ boleh berkunjung ke Galeri Forest Rain, 261 Waterloo Street #02-43 atau menghubungi melalui emel : feelingart@forestrain.com.sg
ends

Monday, May 31, 2010

ROSLI MANSOR SEMAKIN MATANG DALAM ALBUM TERBARU




Reviu Album Deeper Than Purple : Rosli Mansor
Sejak Rosli Mansor belajar memetik gitar ketika sekolah rendah lagi, dia amat yakin bahawa satu hari nanti, dia akan menjadi pemain gitar profesional. Kini impiannya menjadi kenyataan. Selain menjadi instruktor gitar di Sekolah Muzik Yamaha, dia juga mengajar gitar di rumahnya kepada individu yang benar-benar ingin mendalami pemainan gitar. Dan kini, ramai pemain gitar termuka Singapura termasuk Addy Cradle pernah mempelajari gitar dari Rosli.

Ketika dia menerima gitar akustik dan buku nota dari abangnya pada umur 10 tahun, Rosli menjadikan ia satu iltizam untuk tingkatkan diri dalam bidang muzik. Ketika itu, untuk memiliki sebuah gitar elektrik, dia terpaksa bertungkus-lumus melakukan beberapa pekerjaan di luar waktu sekolah untuk mendapatkannya.

Rosli umpama seorang pencerita muzikal, menenun muzik cereka yang mempersonakan dengan gitarnya. Dengan pengaruh muzik dari Beatles, Scorpions, Deep Purple, Uriah Heep, Jeff Beck, Steve Vai, Joe Satriani, Steve Lukether dan ramai lagi, Rosli telah menciptakan muzik dan alunannya sendiri.

Bagi bermain gitar umpama satu gaya penceritaan dalam bentuk perlahan atau pantas dengan elemen-elemen melodi yang dapat menyentuh hati.

Dalam album pertamanya, Dragged, Rosli banyak menggunakan melodi-melodi yang asyik, tenang dan lebih relaks. Baginya, album pertama yang diterbitkan pada tahun 2007 diidedikasikan kepada ibunya yang telah lama pergi.

Album terbarunya, Deeper Than Purple, telah dilancarkan di Arts House (The Den) pada April lalu dan dipenuhi oleh ramai peminat, pelajarnya, teman-teman seperjuangan serta saudara-maranya. Dalam album rock instrumental kedua ini, Rosli banyak mencuba teknik yang tidak dapat diterapkan di album yang kedua.

Dalam album terbarunya ini, Rosli menerbitkan kematangan dengan lagu-lagu yang lebih agresif dan lebih personal mengenai kisah dalam dirinya. Dia seolah-olah membuka berbagai jendela hidup dan diberikan sentuhan melodik yang bercerita.

Album ini juga ditujukan khas kepada ayahnya yang telah pergi pada tahun 2008. Namun, jiwa berontak dan kacau beliau setelah ayahnya pergi membuat dia ‘terlontar’ ke satu daerah yang dia lihat semuanya berwarna ungu. Dengan semangat yang lebih kental, Rosli kembali ke dalam dasar dirinya untuk menciptakan lagu-lagu yang termuat dalam album ini.

Ada 13 lagu dalam album Rosli kali ini. Lagu-lagu mudah dicerna dan diserap oleh setiap pendengar yang baru mahupun yang sudah serasi dengan melodi Rosli Mansor. Lagu-lagu yang akan menjadi kegemaran para pendengar termasuk My Heart Has Spoken, Deeper Than Purple, Venice the Love Story, What the Moon Said, Sorry I’m Late dan Rachel’s Dance.

Dalam setiap lagunya, ia adalah umpama sebuah pengembaraan diri ke satu destinasi kehidupan. Bukan itu saja, ia mencurahkan satu dimensi dalam dirinya untuk terus mencapai sebuah kehidupan yang lengkap.

Kisah-kisah sukar, pedih, dan juga terkesan dengan apa yang telah berlaku kepada dirinya. Dengan pemergian ayahnya dan beberapa orang yang begitu rapat dengannya membuat Rosli terfikir dan diadunkan emosi dirinya ke dalam melodi-melodi instrumentalnya.

Album ini bermula dari bulan Mac 2009 dan diterbitkan oleh Keyjohan Ismail dan dibantu oleh Azman Nirwan. Sejauh mungkin, album ini ingin diberikan sentuhan yang dasar. Keyjohan, pemain dram dan Azman, pemain gitar bas, merupakan pemuzik yang menyokong dan beri sentuhan dalam album ini. Rosli juga menjemput Hamid (pemain bas) dari Black Dog Bone dan Gavin Cardoza (keybod) dari kumpulan Energy untuk beberapa buah trek dalam Deeper Than Purple.

Selama 11 bulan, mereka berbincang, merakam, memilih alat yang paling sesuai dan kadangkala sehingga berjam-jam lamanya untuk mendapatkan bunyian yang dikendakinya.

Gambar muka depan album ini yang agak dramatik, dicipta khas oleh Luscious Ink. Kepada mereka yang memetik gitar sebagai hobi ataupun sebagai karier, album ini boleh dijadikan perangsang serta kayu-ukur. Bukan itu saja, Rosli Mansor akan membuka lebih banyak ruang dengan album barunya.

Ternyata album ini dapat menimbulkan inspirasi kepada mereka yang berkecimpung dalam alat gitar. Ia juga boleh merupakan kayu-ukur kepada mereka yang ingin merakamkan album rock instrumental. Tak lupa juga dapat untuk mempertingkat kemahiran dan menyemarakkan lagi muzik Singapura.

Para pendengar tidak akan kecewa jika memiliki album ini. Deeper Than Purple akan lebih berjaya, jika ia diberi peluang ke arena antarabangsa.

(Deeper Than Purple boleh didapatkan melalui deeperthanpurple@gmail.com)