Wednesday, April 30, 2008

PAMERAN - POETRY OF INNER DREAMS



REVIU PAMERAN
IDENTITI KITA YANG UNIK

Karya-karya Pak Sunaryo dalam pamerannya di Singapore Tyler Print Institute (STPI) meyakinkan kita bahawa setiap manusia di muka bumi ini adalah makhluk yang unik. Lihat saja cap ibu jari kita, yang setiap orang itu berbeza-beza.
Dan bayangkan lagi orang-orang yang terlebih dahulu dari kami. Kita kadangkala tidak pernah terfikir mengenai ciptaan agung ini yang menjadikan identiti kita begitu berbeza antara satu sama lain.

Pameran yang bertema Poetry of Inner Dreams berlangsung dari 29 Mac hingga 26 April 2008 di STPI.
Apakah sebenarnya pegangan nilai estetikanya – menggabungkan falsafah ketimuran, budaya tradisional jawa dan kemodenan barat. Gandingan sedemikian yang sering wujud dalam karya-karya beliau.

Sunaryo memperhebat idea mengenai ketegangan antara personaliti sendiri dengan identiti budaya. Beliau mengkaji mengenai sejarah dan visualisasi pula ke masa hadapan untuk menjadikan ia sebagai panduan ilham. Ia juga seumpama satu manifestasi idea dan komentarnya mengenai kehidupan khususnya.

Pak Sunaryo ingin kembalikan kesan seni primitif dengan cap jari dan tapak tangan sebagai subjek utamanya. Cap jari dan tapak tangannya, ditransformasi ukurannya hingga begitu ketara dan besar ukurannya. Di samping itu, dia menggunakan teknik media cetak untuk menghasilkan sesuatu karya yang dirasakan terpancar naluri dalamannya.
Yang penting bagi beliau ialah mengenali siapa sebenarnya diri kita. Beliau menegaskan bahawa bila kita ketahui diri ini yang sebenar, kita akan bergerak dan berjalan dalam bumi ini dengan lebih yakin.

Elemen dan motif batik dalam pencetakkan dalam beberapa karyanya juga menguatkan identiti beliau sebagai seniman yang berpegang teguh dengan tradisi. Batik bukan setakat dicorakkan di atas kain sahaja, tetapi masih boleh diilhamkan diatas kertas buatan sendiri.
Tekstur yang diilhamkan ke atas kertas sewaktu ianya masih basah dan diperingkat awal. Kemudian diberikan sentuhan scraffito untuk menjadikannya lebih berdimensi.
Penerokaan diri dan juga berfantasi dengan impian-impian yang puitis adalah siri terkini beliau. Dengan situasi yang begitu sibuk dengan keluarga, menguruskan galeri, mendidik anak-anak seni, berteater dan juga pembabitan dalam filem sedikit sebanyak membuatnya tertekan dengan waktu.

Semasa berada di STPI, beliau memutuskan sebentar tanggungjawab lain untuk menjerumus dan fokas langsung ke dalam menciptakan karya.
Sunaryo lebih fokus dan bebas untuk berkarya dan paling penting baginya ialah mempelajari teknik-teknik terbaru dalam bidang pencetakan. Dengan itu, karya-karyanya kali ini lebih bersifat dimensional walaupun dalam sehelai kertas. Menemukan sesebuah aspirasi identitinya, Sunaryo ‘bermain’ dalam bahasa puitis yang dijadikan sebuah analog psikologi dan juga dalam keadaan beremosi.

Richard Hungerford dan Eitaro Ogawa, ahli cetak dari STPI turut memberi kerjasama penuh dengan Sunaryo dalam menghasilkan seninya untuk pameran di sini. Karya-karya yang dapat kita nikmati dalam pameran ini termasuk Poetry of Inner Dream 1, Somewhere Out There, Parang in Space dan Wound in My Finger.

Sunaryo yang dilahirkan di Banyumas, Indonesia pada tahun 1943 telah meraih ijazah dalam bidang seni halus di Institut Teknologi Bandung pada tahun 1969. Untuk memantapkan kerja seninya, beliau telah mendalami bidang arca batu marmar di Carrara, Itali pada tahun 1975.
Selain dari seorang dosen di universiti, beliau juga aktif dalam bidang perfileman, teater, seramik, instalasi juga pembimbing untuk beberapa pelukis muda yang mempunyai potensi besar dalam seni. Sunaryo juga boleh dianggap sebagai seorang seniman yang menyeluruh dan lengkap.

Selain dari kegiatan seninya, Sunaryo juga merupakan Direktor kepada Selasar Sunaryo Art Space, pusat seni dan budaya yang letaknya di Bandung. Pusat itu menjalankan program-program yang khusus dalam bidang seni persembahan visual, kesusasteraan dan filem dari Indonesia dan sekitarannya.

Untuk mendekati karya-karya Sunaryo, anda boleh berkunjung ke STPI, 41 Robertson Quay, Singapore 238236. Tel : 63363663 ataupun ke lelaman www.stpi.com.sg

No comments: