Wednesday, April 30, 2008

PAMERAN - POETRY OF INNER DREAMS



REVIU PAMERAN
IDENTITI KITA YANG UNIK

Karya-karya Pak Sunaryo dalam pamerannya di Singapore Tyler Print Institute (STPI) meyakinkan kita bahawa setiap manusia di muka bumi ini adalah makhluk yang unik. Lihat saja cap ibu jari kita, yang setiap orang itu berbeza-beza.
Dan bayangkan lagi orang-orang yang terlebih dahulu dari kami. Kita kadangkala tidak pernah terfikir mengenai ciptaan agung ini yang menjadikan identiti kita begitu berbeza antara satu sama lain.

Pameran yang bertema Poetry of Inner Dreams berlangsung dari 29 Mac hingga 26 April 2008 di STPI.
Apakah sebenarnya pegangan nilai estetikanya – menggabungkan falsafah ketimuran, budaya tradisional jawa dan kemodenan barat. Gandingan sedemikian yang sering wujud dalam karya-karya beliau.

Sunaryo memperhebat idea mengenai ketegangan antara personaliti sendiri dengan identiti budaya. Beliau mengkaji mengenai sejarah dan visualisasi pula ke masa hadapan untuk menjadikan ia sebagai panduan ilham. Ia juga seumpama satu manifestasi idea dan komentarnya mengenai kehidupan khususnya.

Pak Sunaryo ingin kembalikan kesan seni primitif dengan cap jari dan tapak tangan sebagai subjek utamanya. Cap jari dan tapak tangannya, ditransformasi ukurannya hingga begitu ketara dan besar ukurannya. Di samping itu, dia menggunakan teknik media cetak untuk menghasilkan sesuatu karya yang dirasakan terpancar naluri dalamannya.
Yang penting bagi beliau ialah mengenali siapa sebenarnya diri kita. Beliau menegaskan bahawa bila kita ketahui diri ini yang sebenar, kita akan bergerak dan berjalan dalam bumi ini dengan lebih yakin.

Elemen dan motif batik dalam pencetakkan dalam beberapa karyanya juga menguatkan identiti beliau sebagai seniman yang berpegang teguh dengan tradisi. Batik bukan setakat dicorakkan di atas kain sahaja, tetapi masih boleh diilhamkan diatas kertas buatan sendiri.
Tekstur yang diilhamkan ke atas kertas sewaktu ianya masih basah dan diperingkat awal. Kemudian diberikan sentuhan scraffito untuk menjadikannya lebih berdimensi.
Penerokaan diri dan juga berfantasi dengan impian-impian yang puitis adalah siri terkini beliau. Dengan situasi yang begitu sibuk dengan keluarga, menguruskan galeri, mendidik anak-anak seni, berteater dan juga pembabitan dalam filem sedikit sebanyak membuatnya tertekan dengan waktu.

Semasa berada di STPI, beliau memutuskan sebentar tanggungjawab lain untuk menjerumus dan fokas langsung ke dalam menciptakan karya.
Sunaryo lebih fokus dan bebas untuk berkarya dan paling penting baginya ialah mempelajari teknik-teknik terbaru dalam bidang pencetakan. Dengan itu, karya-karyanya kali ini lebih bersifat dimensional walaupun dalam sehelai kertas. Menemukan sesebuah aspirasi identitinya, Sunaryo ‘bermain’ dalam bahasa puitis yang dijadikan sebuah analog psikologi dan juga dalam keadaan beremosi.

Richard Hungerford dan Eitaro Ogawa, ahli cetak dari STPI turut memberi kerjasama penuh dengan Sunaryo dalam menghasilkan seninya untuk pameran di sini. Karya-karya yang dapat kita nikmati dalam pameran ini termasuk Poetry of Inner Dream 1, Somewhere Out There, Parang in Space dan Wound in My Finger.

Sunaryo yang dilahirkan di Banyumas, Indonesia pada tahun 1943 telah meraih ijazah dalam bidang seni halus di Institut Teknologi Bandung pada tahun 1969. Untuk memantapkan kerja seninya, beliau telah mendalami bidang arca batu marmar di Carrara, Itali pada tahun 1975.
Selain dari seorang dosen di universiti, beliau juga aktif dalam bidang perfileman, teater, seramik, instalasi juga pembimbing untuk beberapa pelukis muda yang mempunyai potensi besar dalam seni. Sunaryo juga boleh dianggap sebagai seorang seniman yang menyeluruh dan lengkap.

Selain dari kegiatan seninya, Sunaryo juga merupakan Direktor kepada Selasar Sunaryo Art Space, pusat seni dan budaya yang letaknya di Bandung. Pusat itu menjalankan program-program yang khusus dalam bidang seni persembahan visual, kesusasteraan dan filem dari Indonesia dan sekitarannya.

Untuk mendekati karya-karya Sunaryo, anda boleh berkunjung ke STPI, 41 Robertson Quay, Singapore 238236. Tel : 63363663 ataupun ke lelaman www.stpi.com.sg

REVIU BUKU MEMELUK GERHANA : KARYA ISA KAMARI

“MENYELAMI ALAM REMAJA, MENGENALI ERTI KEDEWASAAN”
Oleh
Muhammad Salihin



Hingga kini, sudah enam novel yang diilhamkam oleh seorang arkitek, sasterawan dan pemikir, bernama ISA KAMARI. Novel beliau yang terkini bertajuk Memeluk Gerhana diterbitan oleh Al-Ameen Serve Holdings (Malaysia) sudahpun berada di pasaran Malaysia dan Singapura.

Isa Kamari ialah seorang Penerima SEA Write Award pada tahun 2006 juga , hingga kini telah menerbitkan beberapa kumpulan puisi juga telah banyak menerima anugerah sastera setempat. Beliau pernah menulis skrip drama untuk TV Suria, serta menulis naskah teater yang bertajuk Pintu, selain dari penggerak kumpulan SirrFillSirr dengan lagu-lagu kesufian dan kerohanian.

Dalam beberapa novel yang telah dihasilkannya, MEMELUK GERHANA (MG) merupakan novel yang paling banyak dan tebal muka suratnya jika dibandingkan dengan novel-novelnya yang terdahulu. Dengan penampilan grafik yang luar dari kebiasaan sebuah novel, maka begitu mudah untuk seseorang ‘memeluk’, lalu membacanya untuk mengenali isinya.

Saya mula ikuti perkembangan MG sejak ia mula berputik dan dihebahkan melalui forum ISAKAMARI.COM (lelaman kepunyaannya). Bila mengikutinya melalui forum tersebut, saya sering tertanya-tanya, bilakah novel ini akan siap dan diterbitkan, kerana ia punya penampilan yang agak berlainan berbanding dari novel-novel Isa yang lalu. Melalui imbasan-imbasan yang diberi, ada sesuatu pengalaman yang indah dan bermakna yang pasti ditemui dalam novel ini.

Spider kang, spider bu, spider kahwin, apek angkat tong najis, bermain kereta racing, bermain di longkang, kuburan Cina, dinding papan, tv hitam putih, kampung kecil, bersembunyi di pondok, mencipta senapang kayu, berperang dengan meriam buluh, mencuri ayam dan paling seronok sekali, ialah kerja mengintip. Itu adalah aktiviti-aktiviti anak-anak kampung kita itu. Mereka lebih mendapat pengalaman melalui kerja-tangan dan perasaan.

Nostalgia yang pernah di alami oleh Ilham Sidek, hero dan watak utama ini sebenar tidak jauh berbeza dari kehidupan saya dulu. Kuburan Cina yang pernah beliau bermain di daerah Onraet Road, juga pernah saya menyelusurinya kerana arwah nyayi dan yayi saya juga pernah tinggal di daerah tersebut. Ertinya, latar-latar yang beliau gambarkan dalam novel MG sebenarnya wujud.

Kisah nostalgia pos 60’han era kampung dirakam begitu terperinci olehnya. Waktu itu, ialah zaman peralihan dan perubahan mula melanda di mana-mana. Terutama sekali perubahan wajah Singapura dan juga global. Di Singapura, peralihan dari kampung ke rumah flat mempunyai kisah significant yang ramai dari penduduk kita alami. Ia juga merupakan era perubahan minda dan pemikiran rakyat untuk berusaha keras demi kemajuan.
Zaman kanak-kanak memang menyerononokkan. Zaman yang kita belajar dari pengalaman dan sukar untuk dipelajari di mana-mana universiti pun. Zaman kanak-kanak merupakan bermulanya kita bertekad untuk berjaya ataupun ingin hanyut seterusnya, Dan zaman kanak-kanak juga ialah zaman yang luka-lukanya dapat dilihat dan dirasakan sehingga peringkat dewasa. Zaman itu juga, anak-anak kampung amat kreatif dengan kerja tangan, hinggakan gelanggang badminton juga boleh dibuat oleh mereka dengan palang-palang yang diambil dari kawasan pembinaan. Anak-anak kampung Tawakkal juga berangan tinggi dengan cuba membina roket sendiri, setelah melihat pendaratan Apollo XI di TV.

Alam antara keremajaan dan kedewasaan adalah satu persimpangan dalam perjalanan sebuah kehidupan. Kampung Tawakkal telah mendewasakan Ilham. Lagi-lagi dengan kemunculan watak Kak Leha yang sering mendebarkan jantung orang-orang kampung. Taman persekolahan mengajarnya mengenal can mengawal cinta. Kisah-kisah kegigihan seorang ayah dan ibu yang begitu prihatin untuk membesarkan keluarga mereka amat disanjungi.

Anak muda yang bernama Ilham ini cuba tingkatkan kesedaran untuk mendalami agama sekaligus ingin berjaya dalam akedemik. Dalam kehidupan yang sederhana dan amat terhad, ia bukannya sesuatu yang mustahil. Dalam MG, Isa menyelongkar nasib beberapa masyarakat setempat yang ketika itu merasakan pelajaran dan keharmonian adalah laluan untuk mencapai kejayaan.

Kisah-kisah kronologikal ini juga memupuk persahabatan antara kaum serta nilai-nilai harmoni yang sebenarnya sudah lama menjadi resam kita. Persahabatan antara berlainan kaum juga diterapkan dengan jelas oleh pengarang.

Yang membuat saya begitu tertarik membaca MG ialah sisipan-sisipan kisah dunia yang penting tapi diceritakan sambil lalu dan tidak begitu ketara. Contohnya mengenai tertubuhnya ASEAN, kisah kejatuhan Indo China, peperangan Amerika dan Vietnam serta pendaratan Apollo X1 ke bulan. Sisipan beberapa kuntum puisi juga diserapkan bagi mempengaruhi sikap watak utama yang gemarkan kepada sastera. Sisipan-sisipan ini yang membuat novel ini begitu berwarna-warni.

Setelah berseronok ketika zaman remaja, kisah-kisah selanjutnya agak serius sedikit. Cinta monyet yang berbentuk empat segi antara Ilham, Nazirah Riyana dan Syakila. Kisah kumpulan agama yang mempunyai agenda tersendiri. Menurut Isa, sebanyak 80% kisah-kisah dalam MG ini berdasarkan dari cerita yang sebenar.

Gerhana yang dimaksudkan oleh pengarang ialah kedukaan dan kehampaan yang ditanggung oleh watak utama, Ilham Sidek. Pada akhiran novel ini, rentaknya berubah kepada lebih tragik. Nazirah meninggal kerana dilanggar lori. Ilham ditahan kerana terlibat dengan politik berhaluan kiri.

Sebagai seorang pengarang yang mahir dalam menyulam bahasa, Isa menampilkan MG dengan gerak bahasa yang biasa tapi masih punya erti mendalam. Ini bukan kerana Isa tidak lagi pandai menyusun frasa-frasa sastera yang indah, seperti dalam karya-karyanya yang lalu, tapi beliau ingin tumpukan kepada plot dan asas kandungan ceritanya supaya mudah terserlah.
Memang agak lama saya tidak membaca sebuah novel yang menyeronokkan. Ini kerana pergerakkan ceritanya punyai kesinambungan yang tidak perlu anda memerah otak untuk ‘mengunyah’ isinya.
“Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.” Ungkapan ini benar-benar akan membuat para pembaca mencari isi kandungan yang diilhamkannya.

end