Sunday, October 16, 2011

DI SEBALIK KESYAHDUAN ALUNAN SERULING ALHAFIZ



Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Kita sering mendengar dan tertanya-tanya siapakah yang meniup alunan seruling irama selawat sebelum azan di radio Warna 94.2FM. Pemuda yang menjadikan seruling sebagai ‘senjata’ untuk mencari rezeki boleh dianggap pemuzik yang berbakat besar dan amat istimewa. Alhafiz Jamat boleh dianggap seorang peniup seruling yang terbaik di Singapura. Cara dia mengalunkan serulingnya mudah ‘memukau’.

Album Sabda Alam, merupakan album instrumental ketiga bagi Alhafiz. Kini, album ini telah berada di pasaran. Sebelum ini, album Dharma adalah hasil himpunan karya-karya Alhafiz sendiri. Kemudian, album Spa Munajat, yang berkonsep tema atau rentak selawat yang amat berjaya di pasaran. Album terbarunya, Sabda Alam, masih tetap dengan konsep New Age, harus semestinya dimiliki oleh setiap penggemar muzik.

Alunan muzik mendayu-dayu yang dibawakan oleh Alhafiz boleh membawa kita ke satu dimensi ketenangan secara spiritual, amat diperlukan oleh setiap orang. Kesemua lagu dalam Sabda Alam dicipta sendiri oleh Alhafiz disamping telah mengadun serta bermain berapa instrumen lain. Pemain yang berbakat besar ini mempunyai kebolehan yang luarbiasa. Dia boleh bermain beberapa muzik seperti gitar, piano, keybod, gendang, seruling bambu dan juga akordion. Semua alat muzik yang dimainkan oleh Alhafiz dipelajarinya sendiri.

Perjalanan muzik Alhafiz berputik sejak dia kecil lagi. Tetapi hanya ketika umurnya menjangkau 15 tahun dia mula membuat persembahan bersama kumpulan nasyid Munir bersama teman sedarjahnya Md Barkery. Alhafiz bermula bermain alat muzik ketika ayahnya menghadiahkan sebuah keybod setelah dia cemerlang dalam peperiksaan menengah 2. Dia tidak henti-henti belajar sendiri dan kemudian belajar bermain gitar dan seruling bambu. Sehingga kini, seruling bambu menjadi ‘teman’ utamanya dalam berbagai persembahan. Yang menjadi inspirasi Alhafiz ialah peniup seruling Malaysia yang terkenal, Mohardiman Ismail.

Alhafiz juga banyak belajar mengenai gendang dengan Kamal Baba dari Gendrum Network. Oleh kerana pendedahan dengan muzik semakin meluas, Alhafiz sering dijemput untuk bermain seruling di beberapa persembahan seperti Gentarasa dan Rock Opera. Alhafiz juga aktif bersama Sri Gemilang, Sri Mahligai dan juga Orkestra Melayu Singapura. serta aktif membuat pertunjukkan di TV Singapura, Esplanade dan juga sering kali membuat persembahan di luar negara seperti di Jepun, Kampuchea, Hawaii, Indonesia dan juga Malaysia.

Yang menjadi sejarah terpenting dalam hidupnya bila seorang produser, Zag Fahmoa menawarkan Alhafiz untuk menerbitkan album solonya pada tahun 2005. Pada tahun selanjutnya, album pertama Alhafiz yang berjudul Dharma muncul dibawah naungan Zag Production. Kemudian, muncul pula Spa Munajat dan yang terkini Sabda Alam. Dan sebuah lagi album yang juga akan muncul dalam masa terdekat ialah Spa Munajat II.
Ada sepuluh buah lagu dalam album Sabda Alam ini. Di antaranya ialah Sabda Alam, Tribute to Earth, Dancing Souls, Divine, Dawn, Samudra (interlude), Samudra, Roh Buana, Zenta (Serenity) dan Crying Gaia.

Susunan dan ciptaan lagu semua dilakukan oleh Alhafiz dengan sentuhan pemuzik-pemuzik yang berpengalaman seperti Naksatra (Nepal), Budi Santoso (Indonesia), Izuki (Japan), Wan Ramli (Singapura) dan A Fattah (Sarawak)

Bila anda mendengar instrumental Dawn, anda umpama mengalami keceriaan sewaktu fajar. Suasana kedamaian itu dapat menenangkan fikiran dan jiwa yang sedang berkecamuk. Dalam muzik Alhafiz, ada kesan-kesan terapi dalaman serta mengimbangi spiritual pendengar.

Alunan seruling bambu Alhafiz akan membawa anda ke suatu ‘medan’ yang sukar dicari, tetapi sebenarnya wujud. Dan disebalik lenggok dan gaya Alhafiz, anda pastinya akan terdampar dalam dunia yang indah dan mententeramkan. Kesan-kesan ini dapat digambarkan dalam Divine, Zenta (Serenity), Tribute To Earth dan Crying Gaia.
Adalah satu lagu yang agak berbeza kerana ada gabungan rentak Bassanova dan elemen tradisional sunda/jawa yang berjudul Dancing Souls yang pasti menarik para pendengar.

Hasil karya Alhafiz pastinya tidak akan terhenti dalam lingkaran album saja. Instrumental ciptaannya sudah boleh melangkah lebih jauh dari sempadan Singapura. Bukan itu saja, muzik ciptaan Alhafiz sebenarnya boleh dijadikan muzik latar untuk drama mahupun filem.

Para penggemar muzik New Age, ini adalah satu-satu album instrumental yang anda tidak harus terlepas pandang. Tiupan seruling Alhafiz yang memukau membuat kita amat berbangga mempunyai seorang pemuzik sepertinya. Jika negara Malaysia mempunyai Mohardiman, seorang peniup seruling yang hebat, Singapura juga tidak kurang hebatnya memiliki pemuzik Melayu yang berbakat dan kreatif

Alhafiz bukan setakat membantu menerbitkan album ini saja, sebelum ini dia telah membantu untuk menerbitkan dan juga penyusun bagi album Hijrah (Maman), Bianglala (MasImran), Journey to Ihsan, Iman & Taqwa (Syamil), Divine Inspiration (Madrasah Aljunied Angklung Ensemble), Bismillah (Imran Mohamed), Ad-Deen (Ad-Deen) dan Zabda Arna, Zero Mind (Naksatra)

Ada lagi satu projek album Alhafiz yang baru dilancarkan. Ia adalah projek secara kumpulan yang dinamakan OrkeStar Trio (OST). Alhafiz bergabung dengan Ismahairie Putra (gambus, viola) dan Riduan Zailani (genderang) untuk kompilasi lagu-lagu intrumental yang unik dalam sebuah album.

Anda boleh dapatkan album Sabda Alam di pasaran atau melalui Zag Production di talian 945 76059.
end