Monday, May 31, 2010

ROSLI MANSOR SEMAKIN MATANG DALAM ALBUM TERBARU




Reviu Album Deeper Than Purple : Rosli Mansor
Sejak Rosli Mansor belajar memetik gitar ketika sekolah rendah lagi, dia amat yakin bahawa satu hari nanti, dia akan menjadi pemain gitar profesional. Kini impiannya menjadi kenyataan. Selain menjadi instruktor gitar di Sekolah Muzik Yamaha, dia juga mengajar gitar di rumahnya kepada individu yang benar-benar ingin mendalami pemainan gitar. Dan kini, ramai pemain gitar termuka Singapura termasuk Addy Cradle pernah mempelajari gitar dari Rosli.

Ketika dia menerima gitar akustik dan buku nota dari abangnya pada umur 10 tahun, Rosli menjadikan ia satu iltizam untuk tingkatkan diri dalam bidang muzik. Ketika itu, untuk memiliki sebuah gitar elektrik, dia terpaksa bertungkus-lumus melakukan beberapa pekerjaan di luar waktu sekolah untuk mendapatkannya.

Rosli umpama seorang pencerita muzikal, menenun muzik cereka yang mempersonakan dengan gitarnya. Dengan pengaruh muzik dari Beatles, Scorpions, Deep Purple, Uriah Heep, Jeff Beck, Steve Vai, Joe Satriani, Steve Lukether dan ramai lagi, Rosli telah menciptakan muzik dan alunannya sendiri.

Bagi bermain gitar umpama satu gaya penceritaan dalam bentuk perlahan atau pantas dengan elemen-elemen melodi yang dapat menyentuh hati.

Dalam album pertamanya, Dragged, Rosli banyak menggunakan melodi-melodi yang asyik, tenang dan lebih relaks. Baginya, album pertama yang diterbitkan pada tahun 2007 diidedikasikan kepada ibunya yang telah lama pergi.

Album terbarunya, Deeper Than Purple, telah dilancarkan di Arts House (The Den) pada April lalu dan dipenuhi oleh ramai peminat, pelajarnya, teman-teman seperjuangan serta saudara-maranya. Dalam album rock instrumental kedua ini, Rosli banyak mencuba teknik yang tidak dapat diterapkan di album yang kedua.

Dalam album terbarunya ini, Rosli menerbitkan kematangan dengan lagu-lagu yang lebih agresif dan lebih personal mengenai kisah dalam dirinya. Dia seolah-olah membuka berbagai jendela hidup dan diberikan sentuhan melodik yang bercerita.

Album ini juga ditujukan khas kepada ayahnya yang telah pergi pada tahun 2008. Namun, jiwa berontak dan kacau beliau setelah ayahnya pergi membuat dia ‘terlontar’ ke satu daerah yang dia lihat semuanya berwarna ungu. Dengan semangat yang lebih kental, Rosli kembali ke dalam dasar dirinya untuk menciptakan lagu-lagu yang termuat dalam album ini.

Ada 13 lagu dalam album Rosli kali ini. Lagu-lagu mudah dicerna dan diserap oleh setiap pendengar yang baru mahupun yang sudah serasi dengan melodi Rosli Mansor. Lagu-lagu yang akan menjadi kegemaran para pendengar termasuk My Heart Has Spoken, Deeper Than Purple, Venice the Love Story, What the Moon Said, Sorry I’m Late dan Rachel’s Dance.

Dalam setiap lagunya, ia adalah umpama sebuah pengembaraan diri ke satu destinasi kehidupan. Bukan itu saja, ia mencurahkan satu dimensi dalam dirinya untuk terus mencapai sebuah kehidupan yang lengkap.

Kisah-kisah sukar, pedih, dan juga terkesan dengan apa yang telah berlaku kepada dirinya. Dengan pemergian ayahnya dan beberapa orang yang begitu rapat dengannya membuat Rosli terfikir dan diadunkan emosi dirinya ke dalam melodi-melodi instrumentalnya.

Album ini bermula dari bulan Mac 2009 dan diterbitkan oleh Keyjohan Ismail dan dibantu oleh Azman Nirwan. Sejauh mungkin, album ini ingin diberikan sentuhan yang dasar. Keyjohan, pemain dram dan Azman, pemain gitar bas, merupakan pemuzik yang menyokong dan beri sentuhan dalam album ini. Rosli juga menjemput Hamid (pemain bas) dari Black Dog Bone dan Gavin Cardoza (keybod) dari kumpulan Energy untuk beberapa buah trek dalam Deeper Than Purple.

Selama 11 bulan, mereka berbincang, merakam, memilih alat yang paling sesuai dan kadangkala sehingga berjam-jam lamanya untuk mendapatkan bunyian yang dikendakinya.

Gambar muka depan album ini yang agak dramatik, dicipta khas oleh Luscious Ink. Kepada mereka yang memetik gitar sebagai hobi ataupun sebagai karier, album ini boleh dijadikan perangsang serta kayu-ukur. Bukan itu saja, Rosli Mansor akan membuka lebih banyak ruang dengan album barunya.

Ternyata album ini dapat menimbulkan inspirasi kepada mereka yang berkecimpung dalam alat gitar. Ia juga boleh merupakan kayu-ukur kepada mereka yang ingin merakamkan album rock instrumental. Tak lupa juga dapat untuk mempertingkat kemahiran dan menyemarakkan lagi muzik Singapura.

Para pendengar tidak akan kecewa jika memiliki album ini. Deeper Than Purple akan lebih berjaya, jika ia diberi peluang ke arena antarabangsa.

(Deeper Than Purple boleh didapatkan melalui deeperthanpurple@gmail.com)