Friday, February 25, 2011

REVIU BUKU : TULISAN CERMINAN PERSONALITI DIRI



Setiap orang memiliki personaliti diri yang tersendiri. Ciri-ciri personaliti merangkumi corak pemikiran, unsur emosi diri dan juga tabiat diri. Gambaran personaliti diri boleh dibaca dengan mudah melalui penganalisaan tulisan tangan. Proses menulis merupakan cernaan minda yang membentuk lakaran dan gaya tulisan yang unik sebagaimana uniknya personaliti diri seseorang itu.
Ketahuilah kedalaman emosi, perasaan dan cara pemikiran diri anda sendiri dan juga diri orang yang ingin anda kenali. Fahamilah bentuk tulisan mereka yang berjaya dalam hidup dan juga bentuk tulisan mereka yang mempunyai ciri-ciri negatif kehidupan.
Buku Tulisan Cerminan Personaliti Diri ditulis oleh Khadijah Ibrahim. Beliau merupakan pengurus ‘Quality Assurance’ di sebuah syarikat antarabangsa di Malaysia. Beliau juga berkelulusan dalam bidang Chemical Engineering dari Sheffield University, UK dan ditauliahkan sebagai Certified Handwriting Analyst oleh Handwriting University, Dallas, Amerika Syarikat.
Dalam buku ini, pengolahannya yang jelas, memudahkan pembaca memahami apa yang hendak disampaikan. Isi kandungannya dapat membantu anda mengenali diri anda sendiri.
Sebagai pembukaan, penulis telah menyingkap sedikit kisah buku pertama yang berkenaan dengan penganalisaan tulisan yang telah ditulis pada tahun 1622 di Florence, Italy. Penulisnya ialah Camillo Baldi seorang profesor universiti dalam bidang perubatan dan falsafah. Sejak itu, ramai ahli falsafah, ahli psikologi dan saintis mempelajari dan melakukan kajian mengenai personaliti manusia yang berdasarkan oleh tulisan,
Buku ini bertujuan untuk membantu anda mengenali diri sendiri supaya potensi diri anda dapat dipertingkatkan lagi di samping memperbaiki kelemahan diri yang ada. Namun, ini tidak bermakna dengan mengubah bentuk huruf di di dalam tulisan anda, ia dapat mengubat sifat-sifat yang anda kehendaki dengan serta merta. Mengubah tulisan dan sekaligus mebgubah sifat anda juga memerlukan kesabaran, latihan dan dilakukan berulang-ulang supaya ia menjadi satu tabiat yang anda amalkan hari-hari.
Tulisan tangan sebenarnya adalah tulisan otak (brain writing), yang merupakan pancaran minda separa sedar (sub-conscious) kita. Buku ini menjelaskan mengenai penganalisaan tulisan adalah menganalisa bentuk tulisan dan menerangkan tentang sifat atau peribadi seseorang mengikut bentuk huruf yang terdapat dalam tulisan. Ia juga dapat menentukan tindak balas emosi. Kedalaman emosi dan personaliti seseorang.
Setiap saiz abjad, kecondongan, tekanan, pergerakan tulisan dan sebagainya berperanan menjelaskan perasaan, corak pemikiran dan tahap keyakinan seseorang. Sangat sukar untuk kita menemui dua orang yang mempunyai tulisan yang betul-betul serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Satu statistik yang dikeluarkan ole Amerika Syarikat menunjukkan dua orang mempunyai bentuk sulisan yang sama adalah 68,000,000,000,000 kepada satu. Dengan jumlah penduduk dunia yang sekitar 6 billion, adalah begitu sukar untuk menemui doa orang yang mempunyai tulisan yang serupa atau personaliti yang betul-betul sama.
Apabila seseorang itu menulis, pergerakkan kecil ini berlaku tanpa disedari. Dengan sebab itu pergerakkan tulisan seseorang atau bentuk huruf (stroke) yang terhasil akan memperlihatkan sifat spesifik seseorang itu. Setiap bentuk huruf sama ada titik, cangkuk, garisan, lengkungan atau bulatan dalam tulisan adalah rangsangan saraf minda sedar dan separa sedar.
Penganalisaan tulisan tetap dapat membezakan keunikan dan cara penulisan setiap orang yang menulis tulisan rumi terutamanya mereka yang menulis dalam bentuk tulisan bersambung.
Penganalisaan tulisan bertujuan untuk menentukan tindak balas emosi (emotional responses), kedalaman emosi (depth of emotions) dan juga sifat-sifat peribadi atau ciri-ciri personaliti seseorang. Contohnya, tulisan yang condong ke kiri menunjukkan anda lebih selesa memendam perasaan dan tidak gemar bergaul dengan orang lain. Tulisan yang condong jauh ke kanan menunjukkan anda sentiasa perlu berinteraksi dengan orang lain dan perlu menunjukkan perasaan anda.
Contoh lain yang dijelaskan dalam buku ini ialah mengenai tulisan menegak dan sifat anda. Secara umumnya tulisan yang ditulis secara menegak, anda sentiasa mengekang emosi diri. Pada umumnya, anda seorang yang agak pendiam dan biasanya mengelakkan diri daripada rapat dengan sesiapa pun. Dan orang lain berasa sukar untuk memahami sifat anda kerana anda tidak menunjukkan sebarang perasaan.
Jika anda ingin menyelongkar mengenai gaya-gaya tulisan yang lain dan sifat-sifat yang berkaitan dengannya, bacalah dan dalamilah buku ini.
Buku Terbitan : Ameen
Boleh dibeli melalui : www.ameenbooks.com.my
Harga : RM23.00/S$15.00