Sunday, August 31, 2008

KESIHATAN ITU PENTING


Salam Ramadhan ,
Pada Sabtu, 30 Ogos lalu, aku dan ayahku sempat menziarah Hj Mansor Sukaimi yang kini terlantar di SGH kerana sakit leukemia. Kasihan aku melihatnya, dengan bibir yang kemerahan akibat sering berdarah. Aku pernah membuat beberapa projek dengan beliau terutama sekali projek drama radio Bisikkan yang berjalan selama 13 episod di radio warna beberapa tahun dahulu. Sewaktu menziarah beliau, beberapa kali dia berpesan supaya menjaga kesihatan diri. Dan setahu aku, dia tak pernah terlepas dari memakan vitamin itu dan ini. kalau penyakit nak datang, siapa pun tak boleh halang. Namun, beliau masuh tetap ceria dan yakin dgn kemoterapi yang akan dilaluinya. Moga Allah memberikan beliau kesihatan. Insya'allah.
Dalam bulan ramadhan ini sama2 kita berdoa dan juga memelihara kesihatan agar dapat melakukan ibadah puasa dengan sempurna.

Salam

Sunday, August 17, 2008

LEPAS CAKAP : MAJALAH MANJA


MANJA ISU SEPTEMBER 2008

BERSIAP-SIAPLAH MENEMPUHI RAMADHAN
Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Perhatian : Ini bukan ruang agama, setakat memberi sudut-pandang dari seorang pemerhati mengenai masyarakatnya Melayu/Islam kita.
Begitu pantas waktu berlalu, begitu cepat pula bulan bersilih. Bulan ramadhan mubarak kini kembali lagi. Dan tanpa disedari, kita akan melalui satu lagi perjuangan yang amat mencabar. Perjuangan menempuh lapar–dahaga, dan paling utama, perjuangan memelihara hati, lidah serta seluruh anggota kita supaya berpuasa.
Ataupun, memang kita tak pernah hitung kejayaan dalam bulan ramadan. Apa yang akan kita hitung ialah, beberapa banyak belanja untuk berbuka dan juga berhari raya nanti. Pernah tak kita hitung, berapa banyak pahala yang telah dapat kita gandakan dalam bulan al-Mubarak ini. Tanya dengan diri sendiri, beberapa banyak maksiat yang telah kita kecapi dalam bulan mulia ini.
Bila ramadhan menjelang lagi, dari umur yang kecil hingga ke dewasa, semuanya akan bertambah sibuk dan terlibat sama. Minda kita pun serta-merta diprogram bahawa langkah selanjutnya ialah menyambut Aidilfitri. Yang paling menyeramkan, bila perbelanjaan dalam bulan itu sahaja melebihi dari bulan-bulan lain. Jika perbelanjaan itu di landasan yang betul seperti berderma kepada fakir dan juga memberi iftar kepada orang lain, maka pahalanya, masya’allah, bukan kepalang.
Hadis nabi yang dimaksudkan, “Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolamku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga." (HR. Ibnu Huzaimah)
Dalam bulan ramadhan juga, fikiran kita akan mudah dipengaruhi dan hati kita juga akan pasti goyah. Fikiran kita akan sentiasa memikirkan fasal, makanan apa untuk sahur, dan makanan apa untuk buka. Pada yang ingin mengejar fadhilat puasa, mereka akan berlumba-lumba memenuhkan masjid untuk terawih berjemaah ataupun sentiasa bertadarus. Dan pada peniaga musiman pula, inilah waktu paling seronok dan sesuai untuk cari duit lebih. Yang punya rezeki lebih, ia menjadi satu kelaziman untuk menunaikan ibadah umrah.
Untuk membagi-bagikan waktu untuk semua ini memang satu perkara yang amat sukar. Dan percayalah, Ramadan akan datang dan pergi dengan sekelip mata. Jika kita tidak bersedia, keinginan menjadi angan-angan, dan akhirnya tak kesampaian..
Memang begitulah budaya kita. Kita lebih besarkan untuk merayakan Aidil Fitri dari meraikan ramadhan. Kita besarkan lemang, lepat, ketupat dan lontong. Kita tak kisah untuk bertungkung lumus dan ambil masa yang lama untuk masak rendang dan serondeng. Kita berbelanja besar untuk langsir baru. Yang paling menyedihkan, kita berani berhutang semata-mata untuk beraya.
Kita berbelanja besar untuk pakaian baru. Kalau boleh, sepuluh macam kuih-muih mahu disediakan di atas meja. Tak puas berbelanja di TKC, Joo Chiat, Johor Baru dan Masjid India, kita menyeberang selat untuk shopping di Batam pula.
Tanya dengan diri kita sendiri, adakah kita meluangkan waktu secukupnya untuk mendapatkan sesuatu yang lebih bermenafaat. Dan adakah kita luangkan waktu sedikit untuk muhasabah diri dan menilaikan kembali kehidupan kita. Umpama kerja libur, pahala ibadat dalam bulan ramadhan berlibat-ganda ganjarannya.
Gangguan atau rintangan yang amat mencabar bagi setiap insan ialah syaitan. Tugas utama dan core business syaitan tidak lain hanya untuk menyesatkan dan melalaikan manusia. Dan kita harus nilai kembali apakah core business kita sebagai makhluk kerdil ini.
Pernahkah kita terfikir, bila menjelang saja ramadhan, ada seribu-satu perkara yang ingin kita lakukan. Baik dalam bidang ugama, bisnes mahupun kehidupan seharian kita. Setiap kali tibanya ramadan, kita sering akan menetapkan sesuatu dalam diri kita. Kita akan cuba untuk berpuasa dengan sebaik mungkin selama sebulan. Kita akan cuba untuk mencari bisnes di bazaar atau di mana-mana pun. Kita akan cuba mencari jalan untuk mengisi waktu di masjid dan keluarga. Dan seringkali kita dapati, semua yang ingin dicapai, tak kesampaian.
Kita akan menyalahkan diri kita kerana kesibukan. Kita sepatutnya menyalahkan hati kita kerana tidak teguh menempuh dugaan. Dan hati kita yang menyemarakkan kita untuk berbuat baik atau sebaliknya.
Yang terpenting saya rasakan dalam bulan puasa ialah persiapan rohani dan juga melatih anak-anak. Ini adalah persiapan paling utama kerana kekuatan ruh inilah yang akan menjadi penggerak segala bentuk ibadah kita sebelum, ketika dan setelah ramadhan. Di samping itu kita dianjurkan untuk banyak istighfar dan memohon serta memberi maaf agar kedatangan bulan suci kita sambut dengan hati bersih dari segala bentuk dosa dan perselisihan, rasa dengki dan penyakit-penyakit hati yang lainnya.
Anak-anak perlu dilatih, bahawa puasa bukan untuk menahan lapar saja, tetapi lebih penting pada kenikmatan berpuasa itu sendiri. Kebiasaan ini dapat mendidik anak-anak untuk jujur, misalnya mereka tetap berpuasa sekalipun teman-temannya di sekolah tidak. Yang paling menyakitkan hati dan mata, bila melihat remaja-remaja dan yang telah lanjut usia yang tak tahu menghormati ramadhan langsung.
Cara terbaik ialah kita kosentrasi menyiapkan mental untuk menjalankan ibadah pada bulan agung ini. Kerana biasanya bila tiba Hari Raya pertama, mata kita mengantuk, badan kita pula letih tak bermaya. Letih bukan kerana melakukan ibadat berlebihan, letih kerana......
Biodata Ringkas :

Muhammad Salihin Sulaiman
Menulis dalam genre Novel, Cerpen, Rencana, Reviu, Skrip, Terjemahan, Puisi
Editor majalah dan pembimbing bengkel penulisan kreatif
Penerima Anugerah PENAMAS 2008 (Persuratan) 2008