Tuesday, July 28, 2009

HARLEY DAVIDSON LANCARKAN PROJEK DANA PELAJAR MADRASAH ALJUNIED

oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Sempena mencari dana untuk pembangunan pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, berbagai acara telah diusahakan. Sebuah projek yang dipanggil projek CD kini sedang berlangsung dan diharapkan dapat mengumpulkan dana untuk membantu para pelajar dalam latihan-latihan dalam bidang kemahiran hidup serta program-program kepimpinan. Dengan program-program ini, para pelajar madrasah akan lebih bersedia untuk mengharungi kehidupan masa hadapan.
Untuk langkah pertama mengumpulkan dana, 20,000 kupon-kupon telah diedarkan yang berharga $20 sekeping. Dengan membeli kupon ini, secara langsung anda telah menginfaq serta menyumbang kepada dana pembangunan pelajar. Dengan kupon ini, anda juga boleh menukarkannya dengan CD terbitan Madrasah Aljunied. Sejauh ini, madrasah memiliki 13 judul CD. Dengan kupon ini juga, anda berpeluang untuk memenangi 2 hadiah pakej umrah yang ditaja oleh Jalaludin Travel & Services.
Bukan itu saja, para penderma yang memiliki kupon ini juga boleh mendapatkan tiket percuma untuk konsert Malam Kebudayaan Islam untuk 5000 pertama. Penukaran kupon kepada cd dan tiket untuk konsert hanya akan dijalankan pada 8 Ogos nanti sewaktu karnival yang akan berlangsung di perkarangan Madrasah, di 30 Victoria Lane. Konsert yang dimaksudkan pula akan diadakan pada Disember 2009. Ia juga akan menampilkan beberapa artis tempatan dan juga dari luar negara.
Dengan tajaan Planet Spiritual, sebuah motosikal Harley Davidson model Sportster 883L yang berharga hampir $18,000 dijadikan hadiah perdana bagi cabutan bertuah sewaktu konsert nanti.
Sewaktu perbincangan dengan pihak madrasah, Harley Davidson bersetuju untuk menyumbangkan tenaga serta bantu menjualkan kupon untuk sama-sama meraikan projek mengumpulkan dana ini. Sebelum ini, mereka telah menyertai berbagai acara amal di dalam dan di luar negeri.
Encik Daman Choy, seorang konsultan dari Harley Davidson Singapore menjelaskan, “Sebelum ini, kami sudah menyertai berbagai acara amal untuk mengumpulkan dana. Di sebalik itu, kami dapat ‘turun padang’ dan mengenali masyarakat lebih dekat disamping menyumbangkan tenaga kepada yang memerlukan. Kini ramai yang menyokong usaha kami dan imej negatif yang dilabelkan kepada kami kini sudah terhakis.”
Sewaktu karnival berlangsung, lebih dari sepuluh penunggang motorsikal Harley dari berkuasa 800cc hingga ke 1800cc akan membawa para penumpang keliling daerah madrasah. Anda juga berpeluang mengambil foto bersama motorsikal Harley dengan bayaran yang minimal. Sumbangan yang diberikan oleh akan disalurkan kepada dana pelajar madrasah. Dengan projek penjualan kupon dan acara karnival ini, pihak madrasah bukan saja dapat menambahkan dana pelajar mereka, malahan memberi ruang kepada badan lain untuk bergading-bahu.
Ustaz Murat Mohd Aris, Pengarah Eksekutif Madrasah menjelaskan sewaktu mengadakan pertemuan dengan pihak Harley Davidson, "Kita harus terbuka terhadap usaha murni semua pihak bagi projek ini. Kerjasama sebegini penting bukan hanya untuk melancarkan lagi pengumpulan dana, tetapi juga isyarat bahawa kebajikan dan nilai-nilai umum adalah milik semua. Saya menyeru agar masyarakat menyokong usaha kami dalam membangun generasi ulama dan kepimpinan".
Projek mega ini ditaja oleh Planet Spiritual dan Zag Production. Untuk bantu menjualkan ataupun membeli kupon derma ini, anda boleh menghubungi Ustaz Zakir dari Madrasah Aljunied di talian 63915970/1 (pejabat) atau melalui telefon bimbit 96560024.
end