Monday, January 18, 2010

REVIU - THE ARRIVAL






REVIU PAMERAN
THE ARRIVAL OF HAMIR SOHIB
“Fokus saya ialah menciptakan imejan yang menimbulkan kesan enigma, membuatkan yang melihat itu meluahkan berbagai pertanyaan dan jawapan,” Hamir Soib.
Pameran yang bertajuk The Arrrival oleh Hamir Soib merupakan projek Ernst & Young Asean Art Exhibition yang ke 5. Dua puluh peratus dari hasil penjualan karya akan didermakan kepada 3 badan kebajikan yang memerlukan. Pameran ini sedang berlangsung hingga 1 Mac 2010 di pejabat Ernst & Young di One Raffles Quay. (Pameran ini hanya dapat dilihat melalui temujanji sahaja.) Hampir kesemua 14 karya-karya dalam pameran ini punya watak-watak yang sureal serta provokatif.
Karya-karya Hamir Sohib kadangkala dipandang sebagai misterius dan sukar ditafsirkan. Secara rambang, karya-karyanya enak dipandang tetapi yang tersirat, ia mempunyai tenaga dan umpama sebuah ekspresi mimpi yang dapat menggugat pemikiran. Ada beberapa karya Hamir dilabel sebagai agresif-sadis dan lucah. Walau apapun, Hamir menyingkir bidasan-bidasan tersebut dan terus berkarya dengan caranya tersendiri yang juga mempunyai unsur-unsur gothik.
Hamir yang bermula sebagai pelukis pada tahun 1989 dengan menjadi ahli Kumpulan Matahati. Kumpulan ini turut ditubuhkan oleh Hamir, Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin dan Masnoor. Kini kumpulan ini semakin berpengaruh dalam dunia seni halus Malaysia.
Sewaktu dengan Kumpulan Matahati, Hamir melakukan berbagai projek termasuk membuat reka set untuk teater dan produksi filem. Dengan pengalaman itulah, maka Hamir dapat berkarya dengan kanvas-kanvas berukuran besar seperti karya dalam pameran solo pertamanya yang berjudul – Jet Pejuang. Ia merupakan satu cabaran bagi Hamir untuk mencipta sesuatu yang luar daripada biasa.
Kini, Hamir masih dikenali sebagai pelukis yang menghasilkan karya-karya monumental. Antara karya-karya terkini Hamir yang diilhamkan Amir diciptakan di studio yang dipanggil Gudang. Studio ini sungguh unik dan terletak di daerah Kuang, Selangor.
Selain dari berkarya di Gudang, Hamir banyak meluangkan masa mencari inspirasi dan refleksi hidup ditempat ini. Dengan sikapnya yang sering teliti dengan apa yang diucapkan melalui karya.
Perwatakan dalam karya yang dipaparkan oleh Hamir dipenuhi dengan metafora dan sindiran-sindiran yang bernas dan tajam. Dalam kanvas yang kelam, hambar dan kadang mengelirukan, Hamir memberikan satu aliran yang mencabar minda kita. Dalam kehambaran itu akan wujud di antara subjek-subjek pilihan Hamir yang ditonjolkan, visi alam yang mewakili dunia yang lebih luas dan berfantasi.
Ada juga karya-karyanya yang bercelaru maksudnya seperti manusia atau binatang yang menantikan di sebalik objek prominen untuk dikesan sepenuhnya oleh pemerhati lukisan. Jika diberi perhatian yang lebih maka akan wujud beberapa lagi objek yang muncul dari berbagai sudut.
Pabila dua imejan ciptaan Hamir bertemu, ia seumpama sebuah persilangan antara subjek yang berilusi dalam bentuk pseudo-realms. Pameran Arrival adalah satu langkah yang sukar dan berani yang digagahi Hamir untuk meluaskan horizon beliau dalam dunia seninya di rantau ini.
Suasana yang diilhamkan dan direka dalam kanvasnya bukan mudah untuk ditemui di mana-mana. Ia dicipta oleh satu minda yang luarbiasa. Obsessively grotesque and distorted dan sukar untuk diterima dalam bentuk naturalisme.
Jika diperhatikan secara lalu, ia seolah-olah karya absurd yang mengundang kemarahan. Dalam karya yang bertajuk Konfrontasi – dapat dilihat dua ekor kerbau yang seolah-olah sedang bersabung dan berlaga tanduk. Ia sebenarnya adalah kritikan politik yang pedas, pada dasarnya, perlagaan dari kaum atau jbangsa yang sama.
Dalam karya-karya Frozen, Life dan Voyager, walaupun dalam ukuran yang agak kecil berbanding dengan karya-karya \lain, namun kesan yang ditonjolkan tetap mendebarkan dengan calitan berus yang kasar tapi bersahaja.
Menurut Hamir, sebuah karya lukisan tidak semestinya mengenai dirinya. Dia mahu masayarakat dapat memperkatakannya, namun dia tidak berhenti untuk ilhamkan sesuatu yang kesamaran atau menciptakan sesuatu mengaburkan. Karya itu boleh dianggap sebagai dalam maknanya oleh seseorang dan mungkin pada orang yang lain hanya begitu dasar.
Dalam karya Tikar, Hamir bergelut dengan perubahan dalam diri manusia dalam agama. Dengan simbol Melayu-Islamik, sejadah yang menjadi subjek utama diarahkan ke Kiblat dan sebagai manusia, kita sering tersasar dari arah hidup kita yang sebenar. Bukan itu, saja, kadangkala kiblat kita betul, tetapi tumpuan kita sering melantun ke daerah lain.
Dalam Arrival, Hamir Soib sudah cukup mendebarkan perasaan kita dan menggusarkan fikiran normal kita. Dan jika kita menyelusuri lebih lanjut makna setiap karya Hamir, lebih banyak makna dan cerita akan timbul secara sedar atau sebaliknya.
end

Tuesday, January 5, 2010

ONLINE DENGAN TUHAN


REVIU BUKU
PERNAHKAH KITA ‘ONLINE DENGAN TUHAN’
Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
TAJUK BUKU : ONLINE DENGAN TUHAN
PENULIS : ZULKIFLI KHAIR
PENERBIT : PTS ISLAMIKA SDN BHD
TAHUN TERBITAN : 2009
JUMLAH MUKASURAT : 128
HARGA : RM13.00
Boleh juga didapatkan melalui online www.pts.com.my
******
Kita mungkin tak pernah menyedari bahawa kita sering berhubung dengan Tuhan melalui talian tanpa wayar. Lama atau sekejapnya kita mempunyai hubungan itu terpulang kepada setiap individu. Dalam buku ini menjelaskan bahawa ia bukan satu perkara yang mustahil terus denga Tuhan.
Sebenarnya, hubungan ‘online’ kita dengan Allah lebih dasyat dari ciptaan internet yang semakin laju dan berleluasa pada zaman ini. Ramai penduduk dunia yang tinggal di kota-kota besar mahupun di kampung-kampung kecil online setiap hari.
Dalam zaman global ini, internet, emel, ruang sembang seperti Yahoo Mesengger, Skype, jaringan sosial seperti Friendster, MySpace, Facebook dan sebagainya adalah medium perantara yang sinonim dengan masyarakat dalam berkomunikasi. Tidak kira di mana sahaja kita berada, online sentiasa berlaku tanpa mengira masa dan waktu.
Dalam kita asyik ‘online’ menyelusuri alam siber, kita terasa begitu kagum dengan ciptaan manusia yang begitu canggih. Berbagai informasi dan jenis perhubungan dapat dilakukan semasa kita ‘online’ Dan kita juga terasa begitu kagum bahawa ribuan lelaman yang begitu banyak yang boleh membantu kita mendapatkan maklumat dan jawapan dalam kehidupan.
Sebenarnya, Allah sudahpun mengurniakan kita sesuatu yang begitu hebat yang kandungannya begitu dalam dan luas. Dalam kitab yang dinamakan Al-Quran, kita boleh temui berbagai panduan dan juga informasi yang boleh dijadikan panduan oleh semua makhluk di muka dunia ini. Dan kitab teragung ini sememangnya lebih dasyat dari ciptaan manusia yang dipanggil internet.
Namun, hidup ini sebenarnya terkawal dan mempunyai hubungan langsung dengan Maha Kuasa. Jaringan dengan makhluk adakalanya menjadikan kita lupa bagi mencipta jaringan langsung dengan Pencipta. Sewaktu kita solat kita kita berhubung dengan Allah, bila kita berdoa kita berhubung dengan Allah dan bila kita bersujud kita berhubung dengan Allah. Pada hakikatnya, kita boleh berhubung dengan Allah pada sepanjang masa tanpa apa-apa bayaran.
Dan cuba kita bayangkan Nabi Muhammad SAW telah menerima wahyu-wahyu Allah melalui perhubungan langsungnya dengan Allah melalui melaikat. Dan wahyu-wahyu ini itu dikumpulkan menjadi Al-Quran; lautan ilmu yang tak terjangka luasnya.
Inilah keajaiban berkomunikasi tanpa wayar dengan Tuhan. Sembahyang dan doa adalah contoh komunikasi dengan Tuhan, yang lebih hebat dari broadband. Kita tak perlu modem dan router. Hanya dengan mendirikan solat dan memanjatkan doa di mana saja di muka bumi ini, kita dapat berhubung secara langsung dengan Tuhan.
Ketika berdoa, kita berbicara dan Tuhan mendengar. Kita merintih, Tuhan mendengar. Kita berdoa dan meminta, Tuhan terus mendenar tanpa jemu. Nabi Muhammad juga memesan, doa adalah senjata orang beriman. Doa adalah senjata yang unik. Dan adab-adab berdoa juga dijelaskan dalam buku ini.
Buku ‘Online dengan Tuhan’ merujuk kepada perhubungan dengan Tuhan yang lebih hebat melampaui batas teknologi ‘online’ yang wujud dan berleluasa pada hari ini. Perhubungan manusia dengan Tuhan sudahpun bermula sejak nabi Adam mula diciptakan – hubungan tanpa wayar (wireless) yang jauh lebih awal. Nabi Adam beserta nabi-nabi yang lain di samping para solihin memberi teladan bahawa hubungan manusia dengan Tuhan adalah sebagai makhluk dengan khalik, hamba dengan tuan, si papa dengan si kaya, dan si pacal hina dengan sang maharaja.
Buku ini selain daripada mahu menyentuh betapa mustahaknya hubungan akrab manusia dengan Tuhan, juga mahu mengajak pembaca mengagungkan Allah sebagai Tuhan pencipta dan pentadbir semesta alam, pemberi nikmat dan rezeki, serta penetap syariat sebagai protokol yang mesti diakuri dan dipatuhi. Selain itu, buku ini secara tegas mahu agar golongan muda dan remaja khususnya memanfaatkan teknologi online internet, 3.5G dan seumpamanya sebagai wahana untuk meningkatkan rasa hamba dan darjat iman.
end

MALAM GEMILANG LAGU2 KEROHANIAN






KONSERT MALAM KEBUDAYAAN ISLAM III
MALAM GEMILANG DENGAN LAGU-LAGU KEROHANIAN
Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Di mana-manapun, memang jarang sekali untuk kita menikmati lagu-lagu dakwah dan kerohanian dalam bentuk sebuah konsert mega. Pada 19 Disember yang lalu, dengan anjuran Madrasah Aljunied Islamiah dan Planet Spiritual, konsert Malam Kebudayaan Islam III telah menjadi satu kenyataan. Bukan itu saja, konsert itu juga telah ditonton oleh ramai lagi orang secara langsung melalui lelaman IslamicEvents.sg. Konsert itu dilengkapi dengan irama dan lagu-lagu kerohanian, ketuhanan, dakwah serta doa dalam nada kontemporari.
Tujuan utama untuk mengadakan konsert ini ialah mengumpulkan dana Pembangunan Pelajar madrasah. Dengan pengumpulan dana ini, ia boleh dimenafaatkan oleh para pelajar dalam latihan-latihan bidang kemahiran hidup serta program-program kepimpinan. Dengan program-program ini, para pelajar madrasah akan lebih bersedia untuk mengharungi kehidupan masa depan.
Lebih dari 1,500 orang telah menghadiri konsert, walaupun lebih dari 4000 tiket telah dijual. Konsert tersebut telah berlangsung di Fort Canning Park (Fort Green) dengan pentas yang megah dan kesan pancaran cahaya yang menakjubkan.
Walaupun hujan telah turun sehari suntuk, ia tidak mematahkan semangat para hadirin untuk mengikuti konsert yang telah berlangsung selama dua jam itu. Mujur hujan telah berhenti beberapa jam sebelum konsert itu bermula.
Setelah lagu instrumental sebagai pembukaan, dan ucapan dari tetamu terhormat, Tuan Hawazi Daipi, Anggota Parlimen Kawasanundi Sembawang, konsert itu berjalan dengan padat dan menghiburkan. Dengan lagu-lagu ketuhanan dan keIslaman yang didendangkan sepanjang malam, ia merupakan konsert yang telah menimbulkan kesyahduan dan keinsafan..
Konsert itu diacarakan oleh Azhar Nor Lesta, seorang pelakon Singapura yang mapan. Selain menjadi pembawa acara, Azhar telah memberi sentuhan dramatik sambil membaca surah-surah dari Quran dan juga berpuisi. Dengan iringan melodi organ yang dimainkan oleh Dzul Rabull yang sayup-sayup di latar, bacaan puisi yand dideklamasikan oleh Azhar Nor Lesta kadangkala memercik keinsafan dalam diri.
Sebagai penyusun dan pengarah muzik untuk konsert ini, lagu-lagu yang dimainkan oleh para pemuzik profesional sungguh memberi kesan. Dalam lagu pembukaan yang dinyanyikan oleh Masimran yang berjudul, Bila Waktu Berakhir, bait-bait liriknya memberi makna yang amat mendalam. Pastinya ada yang tersentuh di sebalik bait-bait lirik yang dinyanyikannya.
Selepas persembahan Masimran, penyanyi dari Madrasah Aljunied Syamil, Ustaz Sofyan, Imran, Wan Ramli, Azli dan Apit turut mendendang lagu nasyid kontemporari dari album mereka sendiri. Lagu-lagu seperti Sifat 20, Hasbi Robbi, Allahu Allah, Solatullah Salamullah dan Astargfirullah di selang-selikan dengan lagu dakwah kontemporari.
Maman Teacher’s Pet menyanyikan 3 lagu yang berunsur ketuhanan dan keIslaman. Dia mendendangkan lagu berjudul Kasihku Pinjam WajahMu dari album Teacher’s Pet yang berjudul Eh! Keras tu. Lagu ini yang liriknya diilhamkan oleh arwah Loloq memang luas maknanya. Dan dua lagi lagu dari album Maman yang terkini yang berjudul Hijrah. Kedua-dua lagu itu memuji Rasulullah yang berjudul Kerinduan dan Ruh Alam Semesta.
Dua lagi lagu yang disampaikan oleh Masimran yang berjudul Ketika Tangan dan Kaki Berkata dan Bianglala memperlihatkan betapa Agung yang Allah dan betapa kerdilnya kita sebagai insan. Para peminat vokalnya yang mantap, nantikan album Masimran yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Syabas juga kepada pelajar-pelajar perempuan Madrasah Aljunied yang telah bermain angklung dan kulintang sebagai pengiring muzik. Dalam masa yang terdekat ini, akan muncul sebuah album oleh para pelajar ini yang bermain angklung dengan irama-irama selawat.
Pujian kepada tujuh pelajar lelaki yang turut membantu sebagai suara latar. Pujian juga kepara para pemuzik yang menjadi nadi dan telah menjayakan konsert ini :
Dzul Rabull – pengarah muzik/piano/keyboard, Alhafiz - pembantu pengarah muzik / seruling buluh, Azrin Abdullah – gambus/gitar, M Nor - gitar bass, Mohd Ali –keyboard, Khairul – rebana/gendang sunda, Md Yaziz- percussion, Hidayat – drum dan Ismahairie Putra – viola.
Pada akhir konsert tersebut, Puan Muliya Bte Nawaz telah memenangi sebuah motosikal Harley Davidson Sportster dalam cabutan perdana. Harga motosikal di pasaran sekitar $18,000 tidak termasuk COE.
Harus dipuji juga, Zag Fahmoa yang telah menerajui dan menjadi pengarah konsert itu. Sebelum malam tersebut berakhir, kesemua para artis telah membawakan lagu Bila Waktu Berakhir sekali lagi untuk memperingati diri kita sebagai seorang insan begitu kecil.
Bila waktu telah memanggil
Teman sejati tinggallah amal
Bila waktu telah berhenti
Teman sejati tinggallah……sepi.