Saturday, August 14, 2010

PAMERAN - SEVEN WONDERS





Kumpulan TUJU yang disatukan dari tahun 2005 terdiri dari berbagai artis yang menggunakan berbagai teknik dalam kerja seni mereka. Kini mereka telah mengadakan sebuah lagi pameran di Galeri Forest Rain di Waterloo Street. Para pelukis ini telah mengadakan pameran mereka bermula dari 2 Julai 2010. Tetamu terhormat yang telah merasmikan pameran ini ialah Tuan Masagos Zulkifli, Setiausaha Kanan Parlimen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Halehwal Dalam Negeri.
Galeri yang baru dibuka beberapa bulan yang lalu ini ingin mempamerkan karya-karya setempat dan dari rantauan untuk menyemarakkan lagi industri seni di Singapura. Kecintaan pemiliknya dalam bidang seni halus yang begitu mendalam telah menerbitkan hasrat untuk membuka sebuah galeri.
Kumpulan TUJU terdiri dari Abu jalal (pop Art), Rosihan Dahim (Surrealisme), Tumadi Patri (Batik), Sujark Rahman (Neo-Batik), Sunar Sugiyou (Kaligrafi Cina) dan Ramli Nawee (Seni Digital). Mereka juga telah menerima berbabagai anugerah dan hadian dalam bidang seni.
Secara individu, mereka telah menerima berbagai anugerah dan hadiah dalam bidang seni. Karya-karya mereka juga dimiliki oleh berbagai agensi, institusi serta pemilik individu. Ia termasuk Kementerian Pelajaran, Muzium Seni Singapura, NTUC, Muzium Westfries-Belanda, kementerian Pelancungan – Dubai dan juga keluarga di Raja Brunei Darussalam.
Untuk pameran kali ini, ada dua peserta muda yang berbakat dan berpotensi diserapkan. Billy Soh (Seni Fotografi) dan Fera Nuha Lestari (Seni Moden). Gabungan yang menarik ini telah mencipta sebuah pameran bukan saja menarik, juga bervariasi dari sudut isu dan pandangan.
Rosihan Dahim – Memang beliau dikenali dengan lukisan-lukisan beliau yang surealis. Dalam pameran ini, karya surealistiknya yang berjudul Heritage, menimbulkan satu persimpangan bahawa dia sudah bersedia untuk melangkah keluar dari ‘kepompongnya’. Telur yang sudah pecah, dengan mengalir kuningnya diletakkan di pintu gerbang sebuah dewan yang klasik melambangkan persediaannya muncul di pentas dunia.
Sujak Rahman – Mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam seni lukis khususnya dalam seni batik. Beliau adalah antara segelintir penggerak batik moden di Singapura. Karya Mother & Child memang kelihatan subjek yang mudah. Jika kita dalami kasih ibu terhadap anak dan keluarganya, kita dapat menemukan berbagai isu yang terselindung di dalam karyanya. Tambahan lagi, dengan sentuhan batik di atas kanvas, Sujak masih dapat mengekalkan keistimewaan dalam bidang yang sangat beliau mahir. Kita boleh menilai karya itu ‘moden’ tapi masih tetap berjiwa ‘tradisional’.
Sunar Sugiyou – Setelah siri-siri yang banyak berunsur etnik dan kisah hikayat Ramayana dan Sitha untuk beberapa tahun, Sunar memilih untuk berkarya dengan teknik kaligrafi Cina. Di samping kaligrafi Cina, dalam pameran kali ini, Sunar menampilkan karya yang agak berlainan dari segi komposisi dan maksudnya. Seperti lukisan yang subjek utamanya pisang yang terletak di atas kerusi. Makna yang berlapik ini membuat kita lebih tertanya-tanya dengan maksud karya Sunar Sugiyou. Namun pastinya, Sunar mempunyai maksud yang lebih besar yang ingin diutuskan.
Abu Jalal amat seronok dengan menggunakan warna-warna yang garang dan menyerlah. Subjek pilihan Jalal kadangkala mengganggu dan mencabar minda. Namun ia tetap menampilkan kesegaran dengan mesej-mesej yang menggugat masyarakat dan penyataan yang pedas dan tepat. Pespektif yang berbagai dan adakalanya sentuhan seperti sebuah komik adalah cara Jalal menyebarkan idea seninya. Dalam karya What We Have Here, ada kesan intelektual jika kita dapat mendalaminya.
Tumadi Patri adalah di antara pelukis batik yang prolifik di rantau ini. Banyak karya-karyanya menjadi koleksi beberapa individu dan koporat termasuk Luncai Emas. Teknik batik dipelbagaikan tekniknya. Baginya, batik tidak semesti menggunakan fabrik dan canting. Dalam pameran ini, ada beberapa karya dipamerkan, tetapi yang menonjol ialah karya Topeng-Raden Astra Miruda. Karya yang dilukis di atas filem x-ray agak unik persembahannya. Mitos dan cereka Wayang Kulit sememangnya sinonim dalam dunia pengaryaan beliau.
Ramli Nawee adalah antara beberapa orang penggiat seni yang terlibat dalam seni digital. Karya-karya abstrak digital mempunyai komposisi yang berlapik subjeknya. Sewaktu kumpulan Tuju mengadakan sebuah pameran di Dubai pada tahun 2006, Ramli telah mendapat berbagai ilham untuk ‘menceritakan’ pengalamannya sewaktu berada di sana. Karya yang bertajuk When The Dune Rises, memberi kesan bahawa Dubai adalah sebuah kota yang harus diteroka. Tetapi di sebaliknya, bukan mudah untuk mastautin di kota yang berkembang terlalu pesat.
Billy Soh adalah satu-satu anggota baru yang bukan Melayu dalam kumpulan Tuju. Bidang yang beliau ceburi ialah seni fotografi. Ada beberapa foto yang digunakan berbagai teknik untuk mendapat kesan yang amat menarik. Subjek yang dipilih biasanya ialah pemandangan ataupun alam semulajadi. Teknik-teknik harus diteroka untuk mewujudkan visual yang berkesan.
Fera Nuha Lestari merupakan peserta termuda dan juga wanita tunggal dalam kumpulan Tuju. Tuju memang sentiasa memberi peluang kepada sesiapa saja yang ingin menyertai pameran bersama mereka. Fera yang baru lulus dari University Murdoch ingin mencari pendedahan dalam seni yang dia minati. Ada dua karya yang dipamerkan dalam pameran ‘Seven Wonders’. Salah satunya karya yang berjudul Restless Heart, mesej yang ingin diutuskan agak langsung dan representasi warnanya mudah untuk diinterpretasi. Namun sebagai pelukis yang baru terjerumus dalam bidang seni halus, Fera mempunyai masa depan yang agak cerah.
Sesiapa yang ingin menyaksikan Pameran ‘Seven Wonders’ boleh berkunjung ke Galeri Forest Rain, 261 Waterloo Street #02-43 atau menghubungi melalui emel : feelingart@forestrain.com.sg
ends