Thursday, May 1, 2008

MERCARI PERSAMAAN SILAM



reviu pameran : MALAY SKETCHES MENCARI PERSAMAAN SILAM

Untuk pameran solo ketiganya di Singapura, Zulkifli Yusoff membawa bersamanya sejarah lama yang masih relevan ke setiap karya-karya beliau. Anak kelahirran Yan, Kedah ini begitu seronok ‘bermain-main’ dengan sejarah dan melihat ianya seakan-akan berputar kembali. Zulkifli, antara pelukis tersohor di rantau ini tidak mengenepikan proses pengkajian sejarah untuk mendapat subjek atau perspektif dari kacamata seorang pelukis.

Pameran yang berlangsung di Utterley Art Exhibition Space ini berlangsung dari 13 hingga 23 Mac 2008.

Atas kajian Zulkifli mengenai buku yang bertajuk Malay Sketches, karya Sir Frank Athelstone Swettenham , beliau menemui banyak persamaan antara sejarah silam dengan kegiatan orang-orang Melayu masa kini. Swettenham merupakan residen dan pegawai tinggi British di Perak pada akhir abad 19 hingga ke awal abad ke 20. Selain dari Malay Sketches, beliau juga pernah menulis kamus ‘Vocabulary of the English and Malay Languages’ dan Unaddressed Letters.

Dalam naskah tersebut, Zulkifli amat tertarik dengan ungkapan yang ditulis dalam bahasa Inggeris yang bermaksud, “Sebagai permulaan untuk mengenali Melayu, anda harus tinggal di dalamnya, bertutur bahasanya, hormati kepercayaan mereka, meminati apa yang mereka suka, simpati dan membantu ketika sukar....” Sir Frank Swettenham.

Dalam buku Malay Sketches ini, ia telah menyebarkan kepada dunia mengenai perwatakan dan kehidupan sosial orang-orang Melayu ketika itu supaya mereka dapat memahami keadaan dan kehidupan masa lempau. Masalah dan gejala ketika zaman Swettenham (mungkin bermula dari sebelumnya) antaranya ialah, candu, tuak, berjudi, perempuan, kemaksiatan dan berpesta-pesta di pantai. Kerana gejala-gejala ini, perceraian juga banyak berlaku pada ketika itu.

Babak-babak dalam Malay Sketches yang banyak dibuat kajian dan dijadikan bahan untuk berkarya ialah dari babak Amok dan Malay Romance. Zulkifli seolah-oleh menceritakan kembali sejarah silam dengan teknik yang baru beliau temui. Zukifli gemar ‘bermain-main’ dengan idiosinkrasi, resmi dan juga tabiat orang Melayu..

Selepas seratus tahun kemudiannya, ada banyak kesan-kesan negatif yang dilakukan oleh orang-orang Melayu ketika itu masih diamalkan sekarang. Mesej yang agak keras itu, yang ingin disampaikan oleh Zulkifli melalui karya-karyanya. Ada kelompok orang Melayu yang masih dalam belenggu dan lebih mudah melakukan perkara yang pernah dilakukan oleh orang Melayu dulu.

Karya-karya itu seolah-olah membuat kita berfikir bahawa masalah-masalah sosial itu amat sukar sekali disingkirkan sejak dahulu kala lagi? Dan sebagai masyarakat, apa yang telah kita lakukan selama ini.

Tugas Zulkifli ialah untuk mengilhamkannya dalam bentuk lukisan dan cetakkan. Dengan gabungan dua teknik ini, hasilnya amat menakjubkan. Dengan imejan-imejan masa lampau dan disertakan lakaran-lakaran yang spontan telah membuka satu jendela sejarah. Di samping itu, Zulkifli juga seorang komentar sosial yang kritis.

Sentuhan teknik yang digelar rekonstruksi di bawah sedar itu adalah satu penemuan yang berharga baginya. Beliau tidak mahu karyanya kelihatan terlalu bebas dengan palitan warna yang tidak dikawal.

Gabungan seni cetak dan lukisan yang diterapkan juga mempunyai satu proses yang sukar. Sama sukar dengan melukis langsung ke atas kanvas. Siri ini juga adalah penerokaan baru yang ingin diperhalusi dan diperkembangkan pada masa kini.

Zulkifli Yusoff yang dilahir pada tahun 1962 merupakan wakil tunggal Malaysia di Venice Biennale pada tahun 1997. Tugasnya sebagai profesor dan pensyarah seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak juga adalah tugas penting baginya untuk kembangkan seni.

Sejauh ini, karya-karyanya banyak dijadikan koleksi oleh Galeri Petronas, Balai Seni Lukis Kuala Lumpur, Muzium Seni Singapura, Muzium Fukuoka serta koporat dan individu.

end

1 comment:

Anonymous said...

Salam,

Nanti, 'ncik salihin juga boleh meletakkan pameran-pameran yang bakal diadakan nanti, jadi, kami juga boleh mengikuti bila berkesempatan :)

Wassalam.