Tuesday, July 29, 2008

KELUARBIASAAN DALAM PROSES BERKARYA



Boleh dianggap sebagai satu perkara yang luarbiasa. Azizah Ali, yang kita kenali sebagai seorang konsultan dan juga pengusaha dalam bidang restoran dan acara, kini mencapai sesuatu yang lebih kepada kepuasan dalaman. Beliau telah berkarya lebih dari 150 keping lukisan dalam kurang dari setahun.

Ini adalah satu pencapaian yang sungguh menakjubkan. Hanya, tekad dan kesungguhan yang tinggi yang dapat mencapai matlamat sedemikian. Dan ia bermula dengan sebuah lukisan mengenai rumah keluarganya yang pernah didiami di Radin Mas.


Sejak beliau memiliki sebuah restoran dulu, beliau sering bercita-cita untuk melukis secara serius. Akhirnya, terlaksana juga untuk mengadakan sebuah pameran solo di Taman Warisan Melayu, Singapura. Untuk mengadakan pameran solo, memerlukan waktu dan pemikiran yang panjang sebelum merencanakannya. Namun, Azizah Ali sangat beruntung kerana modal terpenting dalam dirinya ialah semangat yang kental.


Dengan melukis sambil belajar dengan teman-teman pelukis, karya-karya Azizah banyak menceritakan mengenai kehidupan di dapur dan perkakasnya. Di samping itu karya-karyanya mencerminkan kisah dan mungkin perjalanan hidupnya. Apa yang positif dalam pameran ini ialah, Azizah tidak takut untuk mengenakan warna-warna yang begitu janggal dan malap.
Wanita, kisah lalu, sejarah hidup dan juga mengenai makanan adalah tema-tema yang sangat dekat dalam diri beliau. Azizah, ingin menceritakan kembali kehidupannya sewaktu kecil dan membantu keluarga memasak di dapur.

Ini boleh dianggap sesuatu yang luarbiasa. Karya-karya yang komposisinya agak mudah tetapi diolah untuk menjadikan ia berbagai cerita. Subjek utama seperti batu lesung dan batu giling, memberikan satu kesan nostalgia yang menarik. Teknik tekstur dan spontan boleh dijadikan formula beliau terus menerobos ke dunia seni lukis.

Azizah juga mengumpul karya-karya dari pelukis lain, pastinya akan melangkah lebih jauh lagi dengan membuat study secara teoretikal serta mendalam mengenai makanan, buah-buahan dan perkakas dapur yang digunakan sebagai subjek utama. Dengan ini, berbagai siri-siri yang lebih menarik akan muncul dalam imaginasi kreatif Azizah. Untuk mempamerkan karya-karya buat pertama kalinya dalam sebuah pameran solo, adalah satu pencapaian yang luarbiasa.

SYABAS!

No comments: