Thursday, July 31, 2008

PEMERGIAN SEORANG PELOPOR SENI SINGAPURA


BELASUNGKAWA
HAJI SULAIMAN BIN SUHAIMI

PELUKIS MELAYU GENERASI PERTAMA TELAH MENINGGALKAN KITA
Oleh
Muhammad Salihin

Pada 30 Julai 2008 yang lalu, seorang pelopor dunia seni halus di Singapura telah pulang ke rahmahtullah dalam usia 86 tahun. Jenazahnya telah selamat dikebumikan pada pagi 31 Julai 2008. Dan saya amat beruntung kerana sempat berbicara dengan beliau sewaktu hayat beliau.

Saya amat beruntung kerana diberikan tugas khas untuk menulis rencana dalam katalog sewaktu pameran solonya – WANASARI pada 2002.

Seni lukis adalah cinta pertamanya sejak dari bangku sekolah. Tahun 1947, merupakan pameran lukisan pertama beliau untuk guru-guru yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran . Sejak itu, Hj Sulaiman Sulaiman tidak pernah berpatah-arah dan beliau masih teruskan juga kecintaan itu hingga kini. Haji Sulaiman Suhaimi atau ramai yang masih menggelarnya Cikgu, merupakan generasi pertama dalam lukisan moden dan juga batik di Singapura. Ramai juga pelukis-pelukis di sini pernah mempelajari darinya
.
Masyarakat umum khususnya hanya mengenal Tan Soo Peng, Georgette Chen dan Liu Kang sebagai pelopor dalam bidang lukisan di Singapura. Dalam umur yang kini lebih dari lapan puluh tahun, sudah seharusnya nama beliau tercatit dalam sejarah seni tanah air. Bukan itu saja, penyelidikan lebih lanjut harus dibuat mengenai dirinya serta karya-karyanya.

Sebagai guru pesara, mantan inspektor sekolah serta seorang pelukis, beliau masih belum mahu mengurangkan aktiviti seninya. Keteguhan dirinya untuk meneruskan berkarya masih tetap utuh. Buat dirinya, berkarya dengan gunakan warna, berus dan kanvas menambahkan keriangannya. Bukan setakat itu sahaja, malahan lebih menenangkan. Sejak persaraannya, selain dari berkarya. Cikgu Sulaiman telah membimbing ramai individu dalam bengkel lukisan di rumahnya di no 1 Jalan Terang Bulang, Opera Estate.

Beliau dilahirkan dalam tahun 1922 di Halt Road, River Valley. Beliau amat bersungguh-sungguh untuk merubah nasib keluarganya yang tidak berkemampuan dengan bekerja secara sambilan untuk bantu menampung sekolahnya. Ayahnya pula hanya seorang pekebun yang hanya menerima $18 sebulan yang tidak mencukupi untuk membiayai persekolahan anak-anaknya dengan sempurna. Melalui kesungguhan dan keinginan yang kuat, Cikgu Sulaiman dapat belajar juga di Sekolah Melayu Tanglin Besar, Sekolah Melayu Kota Raja, dan Kolej Perguruan Sultan Idris .

Dari tahun 1950 hingga 1955, beliau mendaftarkan diri untuk kursus sambilan dengan International Correspondence School dalam bidang lukisan. Kemudian beliau memulakan kerjaya sebagai guru pelatih Beliau berkelayakan menjadi guru yang khusus dalam bidang lukisan hingga tahun 1952 dan akhirnya sebagai inspektor sekolah-sekolah hingga beliau bersara dalam tahun 1977. Sewaktu dalam perkhidmatan, Cikgu Sulaiman pernah menjadi pensyarah secara sambilan dalam bidang lukisan di Kolej Latihan Guru-guru disamping mengadakan bengkel-bengkel lukisan untuk guru-guru.

Sejak kecil lagi, Hj Sulaiman sering mengisi waktu lapangnya dengan melukis tema-tema kegemarannya .seperti pemandangan rumah kampung, keindahan pantai, kegiatan nelayan dan juga lanskap yang menarik. Sebagai seniman yang serba-boleh, Cikgu Sulaiman amat mahir dengan cat minyak, cat air, akrilik, batik ataupun airbrush (berus angin). Pada tahun 1953, beliau menerima tempat pertama dan kedua dengan karya pemandangan kampong anjuran Persatuan Seni Melayu Malaya.

Pada akhir-akhir hayat beliau, Cikgu kurang berkarya dalam tema yang tradisional ataupun kontemporari. Minat beliau kini tertumpu pada seni khat. Minat itu tercetus ketika beliau sempat singgah di Jordan sewaktu mengerjakan umrah pada 1978. Bila pulang dari menunaikan umrah, Cikgu Sulaiman banyak bereksperimen dengan berbagai teknik dalam seni khat. Seni khat telah membuka satu ruang konsep dan laluan untuk dia terus berkarya. Sebelum penemuan seni khat, beliau pernah terima secara tidak sengaja senaskah katalog pameran seni khat dari pelukis terkenal Lebanon bernama Wajid Nehli. Sejak itu, kecendurangan dalam seni khat semakin berkembang

Seni penulisan khat lazimnya menyampaikan kalimah-kalimah Quran dan juga hadis-hadis tertentu dengan tujuan menyebarkannya dengan cara seni. Ia kaya dengan nilai-nilai keislaman. Untuk mahir dalam bidang ini juga perlukan disiplin diri yang tinggi, kesabaran, kreativiti dan juga berilmu dalam bidang agama. Dengan huruf-huruf khat yang formal, Cikgu Sulaiman mengubah-suaikannya dengan cara abstrak yang disulami dengan khat.

Gabungan subjek tradisional dan diberi sentuhan warna yang ceria telah memberikan kanvas imejan tambah bermakna. Calitan bebas teknik abstrak itu kemudian berubah pula dengan gunakan airbrush.

Hj Sulaiman pernah menjelaskan, "Lukisan khat yang berbentuk abstrak bukan semata-semata setakat menampilkan interpretasi surah-surah Al-Quran. Tetapi ia adalah satu ilustrasi makna untuk sesuatu ayat.” Itulah yang dilihat dengan karya seninya yang berhubung dalam dirinya sebagai seorang Islam. Sebagai pelukis khat yang belajar melalui pengalaman, Cikgu Sulaiman sering bandingkan karya-karyanya dengan pelukis khat yang termasyur untuk memperbaiki karya-karya dan tekniknya. Elemen menyatukan abstrak dan seni khat menjadikan lukisan-lukisan seolah-olah ia bercerita.

Untuk mengukuhkan kemahiran, beliau mendalami lagi pengajaran dan tafsir Quran dari guru-guru. Dengan pengetahuan yang mendalam menjadi refleksi dalam lukisan-lukisan. Penghijrahan dari karya berbentuk kontemporari ke lukisan/tulisan khat, telah membuat dirinya melangkah setapak lagi dalam dunia seni.

Beliau mengilham karya-karya khatnya bukan setakat kesan keindahan tetapi mencari pendekatan yang simbolik. Sentuhan dan intepretasi sesuatu sejarah Islam dijadikan bahan dan subjek karyanya. Ini dapat kita perhatikan dalam karya tajuk-tajuk seperti Bismilah, Allahu Akbar, Yaasin dan beberapa lagi karya.

Sejak 1966, Cikgu Sulaiman sering mempamerkan karya untuk kebajikan dan projek mengumpulkan dana. Badan-badan yang telah yang telah mendapat hasil dari pamerannya termasuk Hospital St Andrew, Darul Arqam, National Kidney Foundation, Jamiyah dan masjid-masjid di Singapura. Karya-karyanya telah menjelajah ke beberapa negara dan menjadi simpanan tetap seperti New York, South Africa, England, Kanada, Australia, Indonesia, Amerika termasuk Russia.

Kesuluruhan hidupnya dicurahkan kepada seninya sejak dia bersara. Sebagai seorang seniman veteran, masih mempunyai banyak koleksi seninya di Studio Warnasari.

Semoga Allah mencucuri roh Cikgu Sulaiman Suhaimi bersama-sama para solihin.

No comments: