Tuesday, September 16, 2008

BELASUNGKAWA - PAK SAMAD


Komentar

Pengalaman sejenak bersama guru wartawan

By Sulaiman Jeem


WARTAWAN tokoh, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail (1924- 2008), mengasuh ramai wartawan termasuk saya sendiri.

Sebenarnya, untuk memperkatakan susuk dan bakti Allahyarham memang banyak.

Dalam kegiatan pertubuhan, Allahyarham telah mengasaskan Persatuan Wartawan Melayu, Persatuan (kini Dewan) Perniagaan Melayu, Persatuan Penerbit Melayu, Persatuan Pekerja Cetak dan Majlis Pelajaran Melayu. Beliau juga aktif dalam menjayakan Kongres Bahasa dan Kesusateraan Melayu (1956) dan Kongres Kebudayaan Melayu di Melaka (akhir 1957-awal 1958).

Dalam bidang politik pula beliau berperanan dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) dan Malayan People's AntiJapanese Army (MPAJA) dan bergiat dalam gerakan menentang penjajah British.

Selama bertugas di Berita Harian (BH) Singapura (1960-1982), saya dan rakan-rakan lain menerima tugas dan arahan liputan sesuatu berita yang disampaikan kepada Encik A. Majid Ismail (Allahyarham), adiknya, sebagai ketua biro.

Kemudian apabila BH berkembang sendirian di Singapura mulai 1971, Pak Samad masih rapat dengan editornya, Haji Mustaffa Suhaimi, yang kemudian digantikan Haji Hussein Jahidin.

Antara catatan kerja yang sempat saya rakamkan:

9 OGOS 1965

Setelah diumumkan perpisahan Singapura daripada Malaysia, Perdana Menteri Lee Kuan Yew mengadakan sidang akhbarnya di televisyen Singapura.

Setelah berunding dengan wartawan The Straits Times (ST), saya menyiapkan soalan:

Apakah Singapura akan memerintah berdasarkan pemerintahan republik atau kerajaan beraja?

Soalan saya itu telah dijawab dengan panjang lebar. Umumnya, ia menyentuh berbagai-bagai kegiatan masa lalu editor BH, A. Samad Ismail, termasuk kegiatan politiknya yang dikaitkan dengan aktiviti prokomunis hingga beliau ditahan.

Siaran berita radio tengah hari itu memberitakan jawapan tersebut.

Saya terperanjat. Tidak lama kemudian editor BH menelefon dari Kuala Lumpur. Beliau ingin tahu apakah soalan yang saya kemukakan hingga menimbulkan jawapan itu.

Pak Samad kemudian meminta saya menulis penjelasan saya itu untuk Ketua Editor ST di KL. Beliau juga telah mendengarnya, ujar Pak Samad. Tetapi dalam siaran radio setelah itu, berita jawapan itu tidak diulangi.

Saya bertanya Pak Samad apakah sebabnya.

'Entahlah, aku pun tak tahu,' jawabnya.

Pada 9 Mac 1973, saya diundang menghadiri 'pertemuan' dalam ura-ura menerbitkan akhbar Jawi Utusan Asia setelah akhbar Utusan Melayu tidak dilanjutkan permit penerbitannya.

Kehadiran saya dalam 'pertemuan' itu diketahui Pak Samad. Ketua Editor ST, Encik Leslei Hoffman, juga telah mendengarnya.

Periuk nasi saya tergugat. Ada tuduhan bahawa saya cuba 'mengkhianati' BH.

Tidak lama kemudian, Pak Samad mengunjungi pejabat BH Singapura untuk menemui saya secara empat mata.

Menurut Pak Samad, Ketua Editor di Kuala Lumpur menyarankan supaya saya dipecat. Saya tegas menyatakan tidak berperanan dalam ura-ura penubuhan akhbar baru itu.

Pak Samad kemudian menasihatkan saya 'supaya jangan mengulanginya lagi'.

6 JUN 1990

Pak Samad mengalu-alukan saya dan saudara A. Ghani Hamid mengunjungi rumahnya di Petaling Jaya dalam rangka menulis biografi Pak Zubir Said, tokoh muzik Melayu.

Beliau menegaskan Singapura merupakan pusat cendekiawan Melayu dalam banyak bidang. Kalau dapat, syornya, bukukan kisah kegiatan mereka kerana pasti masyarakat akan menghargainya.

Dengan kerjasama Encik Mohd Raman Daud, presiden Persatuan Wartawan Melayu (1988-99), maka terbitlah buku Aktivis Melayu/Islam Singapura pada 1997.

12 JANUARI 2008

Majlis Anugerah Tokoh Wartawan Dunia Melayu berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Pak Samad dipilih sebagai antara penerimanya tetapi diwakili isterinya, Puan Sri Habibah Hamid. Hadiah trofi dan sejumlah wang tunai diterima anak perempuannya, Cik Nuraina, daripada Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Penerima lain ialah Tan Sri Mazlan Nordin (Malaysia), Haji Rosihan Anwar dan Drs Tarman Azzam (Indonesia), Haji Othman Wok dan saya (Singapura), Awang Haji Ahmad Haji Mohd Arshad dan Pengiran Hajah Fatimah Pengiran Haji Md Noor (Brunei Darussalam).

Ketika membacakan watikah Pak Samad, Encik Rijal Arbee, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM), antara lain menyatakan:

'Tan Sri A. Samad Ismail terlalu banyak baktinya pada kedua-dua negara Singapura dan Malaysia: politik, kewartawanan, kesusasteraan, penulisan, kebajikan rakyat dan lain-lainnya.'

Pada buku program anugerah itu, Haji Salleh Anjah, Setiausaha Kehormat PBWBHM, menyifatkan Pak Samad:

'Beliau sering mengingatkan 'Wartawan tak mesti menunggu berita. Mereka perlu berusaha memburunya. Mereka perlu menciptakannya dengan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan masyarakat'.

'Ingatan itu kemudian menjadi semacam motivasi kepada setiap wartawan sama ada di Malaysia atau di Singapura. Justeru, sejak bertugas sebagai wartawan Berita Harian akhir 1962, motivasi itu telah merangsang semangat Sulaiman Jeem. Dengan motivasi itu juga beliau berusaha mendekati berbagai-bagai organisasi massa dalam menjalankan tugasnya.'

Tan Sri Mazlan Nordin (81 tahun), berucap ketika menerima anugerah itu, antara lain menyatakan 'Tan Sri A. Samad Ismail adalah seorang mentor' yang membimbingnya sehingga lancar menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Pak Samad ialah legenda kewartawanan Nusantara, tambah Tan Sri Mazlan.

Turut menulis dalam buku program anugerah itu ialah Rosihan Anwar, 86 tahun, editor akhbar Pedoman dalam era Presiden Sukarno dan aktif menulis dalam beberapa akhbar berbahasa Indonesia, Inggeris dan Belanda sejak tahun 1943. Beliau menyifatkan Pak Samad sebagai gurunya.

Pak Samad uzur untuk hadir pada majlis itu. Tetapi pagi esoknya, beliau berkerusi roda dan ditemani Cik Nuraina dan Puan Sri Habibah, menemui sahabat akrabnya, Haji Rosihan Anwar, yang akan berceramah. Ramai sahabatnya ikut menemuinya di lobi hotel.

Pak Samad tidak begitu cam rakan-rakan yang bersalaman dengannya. Isterinyalah yang mengenalkan mereka kepada beliau:

'Inilah Encik Sulaiman dari Singapura yang terima anugerah malam tadi, hasil didikan Pak Samad.'

Pada ceramahnya, 'Memperkukuh Setiakawan Wartawan Dunia Melayu', Pak Rosihan antara lain menyatakan:

'Wartawan Melayu yang mula-mula saya kenal dalam masa Jepun ialah Samad Ismail. Kemudian barulah yang lain-lain.'

Nota: Tulisan ini sedutan daripada memoir penulis, 'Kembara Hidupku', yang masih disiapkan.




BEK

No comments: