Wednesday, October 8, 2008

BILA KURA-KURA BER 'PURA-PURA'






REVIU PAMERAN
HAMIR SOIB DALAM PAMERAN TUKAR GANTI
Sekumpulan pelukis dari Malaysia telah berada di sini kelmarin dalam pameran yang dinamakan Tukar Ganti di Valentine Willie Fine Arts. Tajuk pameran agak lucu, namun ia memberi satu makna yang tepat, luas dan mendalam. Pameran ini menampilkan pelukis-pelukis muda yang mempunyai makna tersendiri dari perpeltif mereka terhadap politik, sosio sejarahnya dan juga pemikiran mereka dalam dunia seni halus. Mungkin mereka antara pelukis yang akan menjadi ‘nadi’ dan ‘nafas’ baru dalam dunia seni Asean.
Generasi baru ini membuka satu lagi ruang baru ataupun pemikiran dalam segi ‘pertukaran’ nilai estetika, budaya dan sejarah sosial negara Malaysia. Subjek yang diterokai, dan idea masing-masing menampilkan ‘suasana’ baru dalam dunia seni halus. Antara para peserta pameran ini ialah Hamir Soib, Saiful Razman, Khairul Azmir, Choy Chun Wei, gan Siong King, Liew Kwai Fei, Phuan Thai Meng dan Yau Bee Ling.
Di antara karya yang begitu terserlah dengan makna, mesej dan komentar ialah dari pelukis yang sedang menjulang namanya, Hamir Soib. Hamir dilahirkan di Muar, Johor pada tahun 1969, dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau merupakan antara pengasas kumpulan seni Matahati dan juga studio.
Banyak karya-karya yang diilhamkan Hamir menguji minda manusia. Hamir merupakan lulusan Seni Halus dari Universiti ITM. Beliau aktif sebagai penggerak kumpulan seni Matahati dan juga pernah mendapat tempat dalam peringkat akhir Soverign Art Prize Hongkong pada 2007.
Pameran solonya pada tahun 2007 berjudul ‘Imbasan’ telah semakin mengukuhkan prestasi beliau serta menjadikan beliau pelukis yang semakin disebut-sebut di areana Nusantara ini. Dan karya yang berjudul Rapuh menjadi tumpuan utama kerana mesej terhadap dunia politik Malaysia harus diberi perhatian.
Karya yang berjudul Pura-pura di pameran Tukar Ganti, berukuran 3 x 3 meter telah mendapat perhatian dan tumpuan pengunjung. Bukan setakat figuratif kura-kura yang begitu fotografik imejannya, tetapi berbagai aspek seni dalam lukisan tersebut dicetuskan. Hamir menggunakan cat minyak dan juga minyak tar untuk bahan warna ke atas kanvas untuk mendapatkan kesan monokrom. Subjek utama yang diilhamkan Hamir mungkin hanya seekor kura-kura raksasa, namun tersimpan berbagai maksud yang tersurat dan tersirat yang menjadikan karya ini berlainan perspektifnya.
Bila saja melihat karya kura-kura raksasa ini buat pertama kalinya, anda pasti akan menafsirkan bahawa Hamir ini seorang yang penggemar binatang dan juga menyokong pemeliharaan binatang-binatang yang semakin pupus. Dengan spesies yang berasal dari Pulau Gallipoli ini, carapace atau tempurung kura-kura ini umpama otak manusia mencetuskan kepelbagaian maksud. Pastinya kura-kura yang begitu perkasa wataknya mempunyai sikap yang sangat disangsikan.
Anda pasti terkesan dengan karya besar ini yang terkandung komentar sosial yang menggigit. Dari perpekstif lain, Pura-pura dalam kura-kura Hamir tersimpan satu misteri. Kilauan mata kura-kura itu, tersimpan maksud yang lebih dari apa yang ingin disampaikan. Kiasnya dalam karyanya amat halus dan ia juga berkaitan dengan kehidupan kita, dalam masyarakat, dalam politik, juga dalam keluarga atau individu.
Jika dikaji sifat kura-kura dengan manusia, ada beberapa persamaannya. Karya-karya mempunyai sentuhan satira yang menyindir mengenai keadaan politik di negaranya.
Berkarya dengan kanvas yang luas bukanlah janggal untuk Hamir kerana beliau juga berpengalaman menyiapkan set untuk latar filem dan teater. Dalam jangka waktu ini, nama Hamir Soib pasti akan mendapat tumpuan oleh masyarakat seni kerana beliau pasti akan mengilhamkan karya-karya yang menyegarkan dan lebih menakjubkan.

No comments: