Monday, October 6, 2008

PEMERGIAN SEORANG SENIMAN

SEKITAR AIDILFITRI
Haron Abdulmajid meninggal

Penyajak dan penulis seni kata mapan hembus nafas terakhir pada pagi Raya

By Kamali Hudi


CAHAYA Aidilfitri hasil gubahan Haron Abdulmajid yang berkumandang di udara sejak beberapa hari lalu menambah suasana syahdu menyambut Raya.

Namun, suasana yang dibawakan lagu dendangan Jat daripada kumpulan Black Dog Bone itu bertukar sedih dan pilu pada pagi Raya kelmarin.

Ini kerana penyajak/penulis seni kata mapan Haron Abdulmajid, 58 tahun, pergi buat selama-lamanya bersama Ramadan yang berlalu.

Bagi yang membaca Berita Harian awal pagi Raya, mereka mulanya agak lega kerana beliau dilaporkan akan keluar dari hospital pada minggu kedua Hari Raya memandangkan ada tanda-tanda pemulihan.

Seorang rakan karibnya, Haji Mustaffa Yaakub, berkata Allahyarham dilihat agak ceria apabila rakan-rakan rapat menziarahinya dan tidak ada tanda-tanda beliau akan meninggalkan kita secara mendadak.

'Beliau melihat kami dalam keadaan tenang dan kadangkala mengukir senyuman sehari sebelum ini,' jelas nya.

Menurut seorang lagi rakan karibnya, Haji Nashir Yusop, perubahan mendadak Allahyarham bermula 4 pagi kelmarin.

Haji Nashir telah dihubungi pihak hospital agar beliau dan rakan-rakan segera ke hospital kerana keadaan Allahyarham begitu tenat.

Menurut doktor, Allahyarham mengalami komplikasi dengan tiba-tiba di bahagian kepala yang masih terdapat beberapa ketul ketumbuhan yang belum sempat di keluarkan.

Haron menghembuskan nafas terakhir pada 8.48 pagi di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Beliau banyak menulis sajak dan seni kata lagu sejak 1970-an.

Kali terakhir, beliau menyiapkan novel pertamanya berjudul Ombak Jadi Saksi dan CD Hari Raya, Lambaian Lebaran, yang kini beredar di pasaran.

Kini, seni kata lagu hasil ilhamnya dan didendangkan artis-artis terkenal tetap dikenang dan beliau dianggap sebagai seorang pejuang seni muzik Melayu.

Antara yang menziarahi Allahyarham ialah rakan seperjuangan seperti komposer veteran Kassim Masdor, penulis seni kata veteran Yusnor Ef, sasterawan Jamal Tukimin dan para artis serta dramatis.

Beliau meninggalkan balu dan dua orang anak, masingmasing berusia empat dan 10 tahun, di Yogyakarta, Indonesia.

Jika menerusi lagu Cahaya Aidilfitri menambah suasana syahdu Syawal, satu lagi lagu Raya gubahan Allahyarham, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, dendangan Sudirman Haji Arshad (Allahyarham), jelas tersirat hasratnya sebelum pulang ke rahmatullah.

No comments: