Saturday, January 17, 2009

ALBUM KE ARAH KEROHANIAN



ALBUM TERBARU MAMAN, MEMBISIK KEROHANIAN

Lagu-lagu seperti Warisan Wanita Terakhir, Layar Lara, Kasih Ku Pinjam WajahMu, Cinta Kita, Di Wajahmu Ku Lihat Bulan dan Seringkali telah membawa Maman Teacher’s Pet ke satu taraf yang tinggi dalam persada seni. Untuk mengulangi dan mencapai ke tahap itu sekali lagi memanglah sukar.

Setelah album Eh…Keras Tu bersama kumpulan Teacher’s Pet dan kemudiannya album solo Di Suatu Hari Di Suatu Waktu, Maman telah mencipta banyak lagu untuk filem dan juga beberapa projek khas. Selain dari itu, Maman juga telah tampil sebagai pelakon di beberapa filem dan drama di Malaysia.

Kini sudah lebih dari sepuluh tahun Maman tidak merakamkan lagu untuk sebuah album penuh. Dalam jangka waktu tersebut, Maman masih tetap mencipta lagu serta membuat persembahan ekslusif di Malaysia dan Singapura.

Hingga kini, Maman masih diingati dengan lagu-lagunya dalam filem-filem seperti Layar Lara dan Perempuan Melayu Terakhir. Maman juga pernah mencipta lagu untuk Kelab Mendaki dan menyumbangkan vokal untuk drama Suria, Dian III.

Sejauh pencapaian Maman, dia juga pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Terbaik RTM (1996), Kumpulan Baru Terbaik – Teacher’s Pet (1992) dan Album Terbaik AIM (19995).

Sepanjang waktu yang dirasakan ‘kosong’ itu, Maman masih mencipta lagu, membuat persembahan dan beberapa kali juga dilamar oleh syarikat-syarikat ternama untuk merakamkan album, namun tidak ada satupun disambutnya.

Lagu-lagu untuk projek khas di Pahang termasuk Suri Dewi Chinta dan juga Selamatkan Dunia. Lagu-lagu tersebut dirakam khas untuk Muzium Pekan Pahang bersama komposer handalan dari Indonesia dan Malaysia. Ia mengabungkan gamelan Inderapura, yang telah berusia lebih 300 tahun, yang kini tersimpan di Pahang. Lagu Suri Dewi Chinta juga di pilih sebagai lagu tema untuk album Inderapura Pada waktu terdekat ini juga, Maman sudahpun diberi kepercayaan untuk mencipta lagu untuk sebuah filem yang berbajet besar di Malaysia.

Dalam hampir dua bulan kebelakangan ini, Maman telah berusaha keras untuk mencipta lagu-lagu, dan langsung membuat rakaman khusus untuk album penuhnya ini yang terbaru. Kali ini, para pendengar dan peminat pastinya akan menemukan lagu-lagu yang agak berlainan konsepnya.

Album baru ini akan diterbitkan oleh Planet Spiritual. Produsernya pula ialah Zag Fahmoa, yang sejauh ini telah menerbitkan beberapa album instrumental New Age dan World Music.

Dalam album ini, kesemua lirik dan melodinya dicipta oleh Maman sepenuhnya. Selain dari rentak Muzik Dunia, alunan akustika gitarnya dan suaranya yang lunak pasti akan menawan para pendengar.

Namun, para peminat Maman jangan harapkan lagu-lagu dalam album ini berunsur pop cinta komersial. Ciptaan Maman kali ini lebih menyentuh jiwa dan rohani. Ia lebih ke arah spiritual dan ketuhanan. Ramai dijangka akan melemparkan berbagai soalan mengapa ada penghijrahan konsep lagu Maman berlaku. Jawapan sebenarnya tersirat dalam lirik-lirik yang diilhamkannya.

Maman atau nama sebenarnya Rosman Bin Lamri, kini lebih puitis dan mendalam meninta lirik-liriknya. Lagu-lagu yang terkandung dalam album baru ini ialah Anugerah Cinta (Warisan Wanita 2), Cahaya, Kamar Hati, Allahu Akbar, Insan, Titipan Ilahi, Kesyukuran, dan Kedukaan dalam Keriangan.

Setelah mendengar Anugerah Cinta (Wanita Warisan 2) dan Titipan Illahi, lagu ini pastinya akan menjadi kegemaran ramai di samping lagu Kamar Hati. Bukan setakat melodinya saja yang enak, liriknya juga puitis dan menyentuh sanubari.

Dalam lirik lagu Titipan Illahi, Maman meneroka cinta kasih sayang seorang ayah kepada zuriatnya dan inginkan anak itu membalas cinta kepada ayah dan bondanya. ‘Hanya diri mu yang bisa, mendoakan ketika ku tiada, bernyawa di dunia, hanya kasih mu yang setia, bisa mengiring ku ke syurga.’

Lagu Kedukaan dalam Keriangan, Maman menjelaskan kembara seseorang yang meniti sesebuah kehidupan. Dalam lirik ini, kita dapat mencerminkan kehidupan kita yang sebenar. ‘Aku kegelapan dalam pancar sinaran, aku kesepian dalam keriangan
aku keperitan dalam keselesaan, aku keinsafan dalam kesilapan
aku kedukaan dalam keriangan, aku kekosongan dalam kemewahan
aku kesunyian dalam keramaian, aku bersyukur di beri kesedaran.’

Album yang akan diterbitkan dalam masa yang terdekat ini dijangka akan membuat kita lebih dekat kepada pencipta, lebih intim kepada keluarga juga lebih mesra dengan anak-anak. Bagi Maman, “Ini mungkin adalah beberapa caranya untuk melaburkan saham untuk akhirat.”

Untuk mengikuti perkembangan Maman, para peminat boleh menjadi teman dalam Facebook-Maman Teachers Pet A Comeback. Kepada peminat yang ingin mendengar lagu-lagu baru Maman, anda juga boleh melihat persembahannya di Singapore Expo pada 18 Januari 2009, sempena ekspo anjuran Mega Xpress.

No comments: