Monday, November 23, 2009

PENTINGNYA MENDOKUMENTASIKAN KARYA DAN SENIMAN

RENCANA

Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Memang agak lama saya tidak menulis mengenai kesenian di Singapura, dan apabila terpanggil untuk menulis rencana khas untuk Allahyarham Mohammad Din Mohammad, seniman yang telah meninggalkan kita hampir dua tahun dulu, tak mungkin saya boleh menolaknya.
Bila saya diberi kepercayaan untuk menyumbangkan sebuah rencana mengenainya, dalam sebuah buku riwayat seninya, saya terasa begitu terharu bercampur sedih. Dalam ramai penulis-penulis seni setempat yang wujud, pihak NUS Muzium memilih saya atas rekomendasi oleh balunya, Puan Hamidah Jalil. Buku mengenai karya-karya seninya, pengalaman serta pemikiran Allahyarham akan diusahakan untuk menjadi sebuah buku yang agak komprehensif.
Kenapa perlu saya berasa terharu? Pertama ialah, untuk menulis mengenai seorang seniman dan teman yang telah pulang ke rahmatullah, memang agak sukar kerana kita tidak lagi dapat berhubung dan membuat wawancara terperinci bersama mereka. Namun, tugas yang telah diberikan akan dilaksanakan sebaik mungkin. Saya juga rasa terharu, kerana tidak ada ataupun kurangnya usaha untuk mengkaji mengenai karya-karya seni masyarakat Melayu dari seniman-seniman kita, apalagi untuk mendokumentasikannya.
Dengan tugasan ini, saya juga terkenang pada beberapa pelukis lain yang telah berpulangan terlebih dahulu, dan hasil seni mereka tidak dapat dipelihara dan didokumentasi secara terperinci. Contohnya allahyarham Jaafar Latiff dan Tuan Haji Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi. Mereka sudah begitu lama ‘mengabdikan diri’ dalam dunia seni halus dan bahan-bahan kajian atau bacaan mengenai seni dan kehidupan mereka akan menjadi lebih sukar untuk didapatkan.
Sehingga kini, ramai pelukis-pelukis Melayu Singapura bukan saja berkelulusan tinggi dalam bidang seni, mereka juga mempunyai kedudukan yang baik dalam karier mereka. Para pelukis-pelukis dulu kebanyakkannya dilatih melalui pengalaman. Tetapi kini, para seniman kita lebih terpelajar bukan setakat memiliki diploma sahaja. Ada pula yang telah memiliki sarjana dan ada pula yang kini sedang berusaha mendapatkan ijazah kedoktoan dalam bidang seni halus. Mendokumentasikan bahan-bahan seni serta ulasan dan kenyataan mereka harus dilakukan segera untuk dijadikan peninggalan khazanah generasi akan datang.
Patah tumbuh, hilang berganti – memang pepatah ini relevan dalam zaman mana pun, tetapi, dengan mengumpulkan kerja seni dan membukukannya mempunyai implikasi jangka masa yang lebih panjang. Dan karya-karya ini seolah-olah akan terus ‘bernyawa’ walaupun pelukisnya sudah tidak ada lagi di dunia.
Ramai pelukis merasakan kurang penting untuk membukukan riwayat dan kerja seni mereka. Para pelukis yang mapan, rasanya tidak terlambat untuk berusaha ke arah itu.
‘Sikit-sikit lama-lama jadi bukit’. Dari sekarang, para seniman kita harus mengumpulkan bahan-bahan mereka untuk mempermudahkan bila dijadikan buku pada satu masa kelak.
Geran-geran penerbitan dan kos-kos penerbitan juga boleh didapatkan di beberapa badan untuk membantu menyelaraskan terbitan buku itu nanti. Hingga kini, ramai pelukis merasakan bahawa ini adalah perkara yang tidak penting. Dengan menerbitkan bahan-bahan ini, para pengkaji atau masyarakat lebih mudah mengenali karya serta pelukisnya.
Sudah tiba masanya untuk para pelukis mapan seperti S Mohdir, Sujak Rahman, Saiman Ismail dan Idris Ali (setakat menyebut beberapa nama saja) untuk berusaha gigih untuk mendokumentasikan dan membukukan karya-karya dan riwayat seni mereka. Dengan usaha ini, generasi akan datang dapat mengenali dan mempelajari karya-karya mereka.’
Pada persatuan dan badan-badan seni semua, satukan tekad untuk membantu para pelukis kita ini moga karya-karya mereka akan kekal menjadi khazanah kaum Melayu dalam bentuk buku. Moga usaha ini disokong oleh para teman-teman dan masyakarat untuk memelihara khazanah seni kita.
Mahukah kita menunggu sehingga seorang seniman itu meninggalkan kita, dan baru berusaha dan untuk melaksanakan pengumpulan khazanah mereka dalam bentuk buku? Begitu juga dengan bidang kesenian yang lain. Siapa yang sebenarnya harus mengusahakannya. Sayang sekali jika seniman-seniman lain dalam bidang muzik, filem, sastera ataupun seni apapun tidak dapat dibukukan.
end

No comments: