Monday, November 23, 2009

PAMERAN : I POLUNIN



PAMERAN
PAMERAN : MEMORIES OF SINGAPORE THROUGH FILMS & PHOTOGRAPHS
WAKTU : 8 Ogos hingga 3 Januari 2010
TEMPAT : Muzium NUS (http://www.nus.edu.sg/museum/exhibitions_polunin.html)

MEMORI SILAM DALAM PAMERAN FILEM DAN FOTO
Pada 12 Disember 1920, Ivan Vladimirovitch Polunin telah dilahirkan oleh ibu yang berbangsa Inggeri dan ayahnya pula berasal dari Rusia. Dr Polunin sangat meminati bidang sains dan perubatan dan telah datang ke Asia Tenggara pada tahun 1948. Beliau menjadi seorang pensyarah di Universiti Malaya pada Sebtember 1952, hingga beliau bersara sebagai profesor di Universiti Nasional Singapura pada Disember 1980.
Dalam jangka waktu tersebut, Dr Polunin telah mengumpulkan berbagai bahan sejarah yang tidak ternilai harganya. Kini, segala bahan arkibnya telah ‘dipinjamkan’ kepada Muzium NUS untuk dijadikan bahan-bahan pameran. Bukan setakat filem dan imejan foto sahaja, malahan kelengkapan kamera serta coretan-coretan beliau dalam bentuk dokumentasi juga dipamerkan.
Pada era 50’han hingga ke tahun 60’han, perkakas dan peralatan yang digunakan untuk filem dan fotografi sudah boleh dianggap sangat canggih. Dan bahan-bahan koleksi beliau kini dapat dilihat melalui sebuah pameran yang amat informatif.
Hampir keseluruh kehidupannya, Dr Ivan Polunin beliau telah berusaha untuk merakamkan alam dan persekitaran sosial yang pernah dialaminya. Walaupun terlatih dalam bidang perubatan, Dr Polunin juga dikenali sebagai seorang pencinta alam dan seorang kolektor. Beliau telah merakamkan dan mendokumentasikan kisah-kisah lampau Singapura. Era yang semakin dilupakan ini disimpan sebagai bahan arkib yang boleh dijadikan sebagai bahan kajian.
Dalam lanskap Singapura yang banyak berubah selepas perang dunia kedua, beliau telah menyimpan dan merakamkan berbagai kisah kehidupan di sekitaran Asia Tenggara. Beberapa kepulauan Singapura yang banyak dihuni oleh orang-orang Melayu suatu ketika dahulu, kini tidak lagi berpenghuni. Seperti Pulau Sudong, Pulau Tekong dan Pulau Seraya telah menjadi bahan arkib penting masakini.
Selain dari kepulauan di Singapura, Dr Ivan Polunin juga telah menjelajah beberapa tempat di Borneo untuk membuat kajian mengenai penyakit-penyakit tropikal. Di samping itu, beliau sempat merakam muzik orang-orang asli kaum Dusun, Murut dan Bajau. Selain dari mengkaji mengenai beberapa penyakit di daerah tersebut, kecintaan terhadap mengumpulkan foto, imejan serta filem kini menjadi sesuatu bahan sejarah yang harus dikaji selanjutnya oleh generasi kini.
Pameran di muzium NUS, sungguh interaktif dengan berbagai imejan, fotografi dan juga filem-filem yang dirakamkan sebagai seorang amatur yang amat mengkagumkan. Setiap sejarah yang dipamerkan mencerminkan sejarah orang-orang Melayu dengan tradisi dan kehidupan mereka masa lampau. Sejarah lampau iitu kini sudahpun pupus akibat perubahan zaman dan waktu.
Filem-filem dokumentari mengenai sejarah Singapura yang bertajuk Sails off Singapore, Singapore Fish Trapper, The Lost City, The Dragon Stories pernah dimainkan di BBC. Sewaktu beliau melawat England pada tahun 1955, Dr Polunin menunjukkan rakaman filem 16mm berwarna kepada BBC dan kemudian diubah menjadi filem 35mm hitam-putih dan disiarkan di tv.
Dalam bentuk kontemporari, koleksi Polunin sebenarnya atas kegemaran menghimpun sejarah kehidupan yang direkodkan selama beratus-ratus jam dalam bentuk filem dan video serta hampir 40 ribu foto-foto yang sangat menarik.
Dalam pameran yang akan berlangsung hingga ke Januari 2010, sejarah mengenai tempat dan manusia yang pernah diwawancaranya membuka lembaran yang mungkin kita tidak pernah laluinya. Keistimewaan pameran ini ialah setiap foto mengucapkan seribu cerita dan sejarah. foto Masyarakat harus melihat pameran ini kerana ia amat bermenafaat dan anda pasti dapat mempelajari sesuatu dari masa silam..
Sebagai seorang yang dari latarbelakang yang berbeza, Dr Polunin telah melangkah masuk ke daerah-daerah yang sukar untuk mengenali dan menyelami kehidupan orang Melayu zaman silam. Memori yang sarat ini merupakan pelajaran yang amat berharga untuk generasi akan datang. Yang terpenting sekali, beliau telah mengekalkan ‘khazanah nasional’ untuk generasi baru membuka dan menyambung menyelidiki mengenai sejarah kita.
end

No comments: