Monday, January 18, 2010

REVIU - THE ARRIVAL






REVIU PAMERAN
THE ARRIVAL OF HAMIR SOHIB
“Fokus saya ialah menciptakan imejan yang menimbulkan kesan enigma, membuatkan yang melihat itu meluahkan berbagai pertanyaan dan jawapan,” Hamir Soib.
Pameran yang bertajuk The Arrrival oleh Hamir Soib merupakan projek Ernst & Young Asean Art Exhibition yang ke 5. Dua puluh peratus dari hasil penjualan karya akan didermakan kepada 3 badan kebajikan yang memerlukan. Pameran ini sedang berlangsung hingga 1 Mac 2010 di pejabat Ernst & Young di One Raffles Quay. (Pameran ini hanya dapat dilihat melalui temujanji sahaja.) Hampir kesemua 14 karya-karya dalam pameran ini punya watak-watak yang sureal serta provokatif.
Karya-karya Hamir Sohib kadangkala dipandang sebagai misterius dan sukar ditafsirkan. Secara rambang, karya-karyanya enak dipandang tetapi yang tersirat, ia mempunyai tenaga dan umpama sebuah ekspresi mimpi yang dapat menggugat pemikiran. Ada beberapa karya Hamir dilabel sebagai agresif-sadis dan lucah. Walau apapun, Hamir menyingkir bidasan-bidasan tersebut dan terus berkarya dengan caranya tersendiri yang juga mempunyai unsur-unsur gothik.
Hamir yang bermula sebagai pelukis pada tahun 1989 dengan menjadi ahli Kumpulan Matahati. Kumpulan ini turut ditubuhkan oleh Hamir, Ahmad Fuad Osman, Ahmad Shukri Mohamed, Bayu Utomo Radjikin dan Masnoor. Kini kumpulan ini semakin berpengaruh dalam dunia seni halus Malaysia.
Sewaktu dengan Kumpulan Matahati, Hamir melakukan berbagai projek termasuk membuat reka set untuk teater dan produksi filem. Dengan pengalaman itulah, maka Hamir dapat berkarya dengan kanvas-kanvas berukuran besar seperti karya dalam pameran solo pertamanya yang berjudul – Jet Pejuang. Ia merupakan satu cabaran bagi Hamir untuk mencipta sesuatu yang luar daripada biasa.
Kini, Hamir masih dikenali sebagai pelukis yang menghasilkan karya-karya monumental. Antara karya-karya terkini Hamir yang diilhamkan Amir diciptakan di studio yang dipanggil Gudang. Studio ini sungguh unik dan terletak di daerah Kuang, Selangor.
Selain dari berkarya di Gudang, Hamir banyak meluangkan masa mencari inspirasi dan refleksi hidup ditempat ini. Dengan sikapnya yang sering teliti dengan apa yang diucapkan melalui karya.
Perwatakan dalam karya yang dipaparkan oleh Hamir dipenuhi dengan metafora dan sindiran-sindiran yang bernas dan tajam. Dalam kanvas yang kelam, hambar dan kadang mengelirukan, Hamir memberikan satu aliran yang mencabar minda kita. Dalam kehambaran itu akan wujud di antara subjek-subjek pilihan Hamir yang ditonjolkan, visi alam yang mewakili dunia yang lebih luas dan berfantasi.
Ada juga karya-karyanya yang bercelaru maksudnya seperti manusia atau binatang yang menantikan di sebalik objek prominen untuk dikesan sepenuhnya oleh pemerhati lukisan. Jika diberi perhatian yang lebih maka akan wujud beberapa lagi objek yang muncul dari berbagai sudut.
Pabila dua imejan ciptaan Hamir bertemu, ia seumpama sebuah persilangan antara subjek yang berilusi dalam bentuk pseudo-realms. Pameran Arrival adalah satu langkah yang sukar dan berani yang digagahi Hamir untuk meluaskan horizon beliau dalam dunia seninya di rantau ini.
Suasana yang diilhamkan dan direka dalam kanvasnya bukan mudah untuk ditemui di mana-mana. Ia dicipta oleh satu minda yang luarbiasa. Obsessively grotesque and distorted dan sukar untuk diterima dalam bentuk naturalisme.
Jika diperhatikan secara lalu, ia seolah-olah karya absurd yang mengundang kemarahan. Dalam karya yang bertajuk Konfrontasi – dapat dilihat dua ekor kerbau yang seolah-olah sedang bersabung dan berlaga tanduk. Ia sebenarnya adalah kritikan politik yang pedas, pada dasarnya, perlagaan dari kaum atau jbangsa yang sama.
Dalam karya-karya Frozen, Life dan Voyager, walaupun dalam ukuran yang agak kecil berbanding dengan karya-karya \lain, namun kesan yang ditonjolkan tetap mendebarkan dengan calitan berus yang kasar tapi bersahaja.
Menurut Hamir, sebuah karya lukisan tidak semestinya mengenai dirinya. Dia mahu masayarakat dapat memperkatakannya, namun dia tidak berhenti untuk ilhamkan sesuatu yang kesamaran atau menciptakan sesuatu mengaburkan. Karya itu boleh dianggap sebagai dalam maknanya oleh seseorang dan mungkin pada orang yang lain hanya begitu dasar.
Dalam karya Tikar, Hamir bergelut dengan perubahan dalam diri manusia dalam agama. Dengan simbol Melayu-Islamik, sejadah yang menjadi subjek utama diarahkan ke Kiblat dan sebagai manusia, kita sering tersasar dari arah hidup kita yang sebenar. Bukan itu, saja, kadangkala kiblat kita betul, tetapi tumpuan kita sering melantun ke daerah lain.
Dalam Arrival, Hamir Soib sudah cukup mendebarkan perasaan kita dan menggusarkan fikiran normal kita. Dan jika kita menyelusuri lebih lanjut makna setiap karya Hamir, lebih banyak makna dan cerita akan timbul secara sedar atau sebaliknya.
end

No comments: