Monday, September 20, 2010

REVIU : AL QURAN RAHSIA TERUNGGUL



Kunci utama untuk menyingkap segala rahsia yang tersurat dan yang tersirat di dalam ayat-ayat qalam Allah, yang terungkap melalui Al-Quran dan sering kita dengar, sering kita baca, tapi malangnya tidak ramai yang mampu menjiwai makna dan rahsianya, sehingga kita terlepas dari merasai kenikmatan dan keberkatan yang terkandung di dalamnya.
Ada terlalu banyak rahsia-rahsia Al-Quran terkandung di dalamnya. Ia bukan sahaja pelerai masalah, malahan adalah jawapan kepada semua pemasalahan manusia. Dan jika dikaji lebih terperinci, ia sebenarnya menjadi pelita dan pembimbing umat seluruh alam.
Kunci rahsia Al-Quran ini mudah dibongkar dan dipraktikkan. Kita sering tidak mahu memahami rahsia Al-Quran dan kita setakat membacanya tapi tidak mengkaji. Dalam buku ini, ia menerangkan bahawa Al-Quran umpama mercu atau Global Positioning Satellite (GPS) yang memandu kapal annda saat melintasi laut dalam kepekatan malam. Semakin sering memerhatikan arahan atau GPS, maka semakin boleh dihindari sebarang musibah. Demikian pula halnya hubungan Al-Quran dengan manusia.
Kerana itu, Al-Quran adalah panduan kehidupan yang sempurna. Tanpa petunjuk Al-Quran dan bimbingan daripada para pemandunya, anda pasti tersesat dalam kehidupan .
Ada banyak kunci yang tersimpan dalam Al-Quran, dan buku ini menjelaskan secara ringkas tapi amat berkesan. Inilah kunci rahsia yang bila dibaca dari fikiran yang benar-benar terikat kepada Allah swt, maka ia akan mengubah segalanya. Kemiskinan anda menjadi kekayaan, kesedihan anda menjadi kegembiraan, ketakutan anda menjadi keamanan, penderitaan anda menjadi kemakmuran, keburukan anda menjadi kebaikan dan kesakitan menjadi kesembuhan.
Dalam kunci yang dibongkar untuk para pembaca menikmatinya ialah amalan harian yang harus boleh dicontohi. Manusia yang bekerja untuk akhirat adlah orang mengamalkan Al-Quran dalam kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Nasihat Ali bin Abi Thalib ini bukan bererti anda harus duduk, solat, berpuasa, dan berzikir sahaja. Kerana ibadat yang ada dalam Al-Quran bukan terbatas pada solat dan puasa sahaja. Ibadat da;am Al-Quran meliputi seluruh aspek kehidupan anda.
Bekerja untuk memenuhi keperluan anda di dunia adalah ibadat. Menuntut ilmu adalah ibadat. Berbakti kepada orang tua adalah ibadat. Memberi nafkah adalah ibadat. Menolong orang lain adalah ibadat dan seterusnya. Inti ibadat Al-Quran adalah menjadikan akhirat sebagai tujuan akhir kehidupan dan dunia sebagai ladang perbuatan.
Penulis : Ali Ahmad / Maleya
Terbitan : Kharisma Networks Sdn Bhd
Harga : RM15.90

No comments: