Monday, May 2, 2011

DOA IBU SEBENARNYA SETANDING DENGAN DOA NABI


“Doa ibu setanding dengan doa nabi untuk umatnya, membawa kemuliaan, dapat menolak fitnah, membuka pintu rezeki, dan pintu hidayah sepanjang zaman. Justeru setiap anak wajib mentaati menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa tanpa mengeluarkan kata-kata kasar yang mampu mengundang rasa marah insan mulia yang tinggi martabatnya di sisi Tuhan.”
Buku Dasyatnya Doa Ibu merungkai fakta-fakta sejarah kisah-kisah benar, ayat-ayat Quran serta hadis-hadis yang menjadi bukti kekuasaan dan keajaiban doa para ibu yang mampu memberi kebahagiaan mahupun kebinasaan kepada anak-anak dalam sekelip mata sahaja.
Kehebatan doa seorang ibu kepada anaknya yang ditulis oleh Syamsuddin Noor dari Depok, telah memberikan satu perspektif yang meluas mengenai doa seorang ibu. Setiap yang beriman perlu yakin, bahawa doa yang dipanjatkan kepada Allah, Tuhan yang maha suci dan maha mengabulkan doa pasti memberi faedah bagi kehidupannnya di dunia dan di akhirat.
Sesungguhnya perasaan kasih sayang yang Allah berikan kepada hati seorang ibu demikian kuat. Ini yang menjadi sumber kedasyatan atau kehebatan doa seorang ibu untuk anaknya. Seorang ibu pasti sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anaknya. Dan seorang ibu berharap anaknya memperoleh rahmat, keberkatan dan petunjuk yang benar. Dan ada beberapa lagi kisah sejarah yang diungkapkan sewaktu zaman Nabi Musa untuk dijadikan iktibar.
Buku ini pertama sekali dicetak pada tahun 2009. Dan kini sudah diulang cetak untuk kali yang ketujuh. Buku yang mempunyai 209 halaman membentangkan berbagai tajuk mengenai kepentingan dan kehebatan doa-doa ibu untuk anak-anaknya. Ada hadis yang menyatakan, ibu yang mendoakan kebaikan dunia dan akhirat untuk anak-anaknya, sama dengan nabi yang mendoakan kebaikan untuk umatnya. Nabi Muhammad bersabda, “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya.” (Hadis ad-Dailami)
Doa ibu pembuka pintu hidayah sepanjang zaman. Ibu adalah lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding bapa. Darjat ibu adalah tiga kali lebih mulia daripada bapa. Oleh itu, Nabi Muhammad memerintahkan kita supaya banyak berbankti kepada ibu.
Nabi mengingatkan lagi, “Keredhaan Allah itu bergantung pada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan ibu bapa.”
Dalam buku ini juga, penulis telah menjelaskan beberapa perkara mengenai kewajipan kepada orang tua. Quran, sunah dan ijmak ulama menegaskan hukum berbakti kepada orang tua adalah wajib. Saranan juga supaya seorang anak lebih mengutamakan ibu. Kita perlu memahami betapa orang tua kita, terutamanya ibu kita menyanyangi kita. Kasih sayang mereka yang mengiringi perjalanan hidup kita. Oleh itu, sememangnya wajar apabila orang tua menginginkan anak-anak memuliakan dan menghormati mereka.
Apabila memandang ibu dengan penuh kasih sayang itu dianggap amal soleh, tentu pahalanya besar. Sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Apabila seseorang anak memandang wajah orang tuanya dengan penuh kasih sayang, Allah memberikan ganjaran orang yang beribadah haji mabrur.”
Dalam surah al-Israq, dalam ayat 23 dan 24 menjelaskan, “Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua ibu bapamu dengan penuh kasih sayang.”
Dalam buku Dasyatnya Doa Ibu ini, penulis banyak sekali membongkar betapa perlunya seorang anak memelihara dan menjaga hati ibu. Dan jangan sekali-sekali menderhaka kepada mereka kerana doa-doa ibu untuk anak-anak biasanya mustajab. Kita biasa mendengar kejayaan seseorang sebenarnya atas doa ibu mereka. Dan jika mereka menderhaka kepada ibu bapa mereka, ibu juga boleh mendoakan kejatuhan mereka. Seperti cerita Alqomah dan Juraij.
Para pembaca pastinya dapat menikmati buku ini dan mempelajari berbagai contohan yang mulia untuk diikuti. Setiap kali ibu menadah tangan dan meminta doa untuk anak-anak dan keluarganya sering akan dimakbulkan. Ini kerana darjat seorang ibu yang begitu tinggi berbanding dari seorang ayah.
Doanya adalah penawar juga racun berbisa. Ibarat tajamnya mata pisau yang mampu melakar masa depan yang gemilang buat anak-anak tercinta, juga dapat menghancurkan masa depan jika anak itu derhaka.
Tajuk-tajuk lain yang disentuh oleh penulisnya termasuk Manfaat dan Kelebihan Doa ibu, Berbakti dan Mendoakan Ibu, Berbakti dan Bedoa Selepas Ibu Tiada, Tujuh Amal Soleh yang Terus Mengalir Pahalanya dan juga Derhaka Kepada Ibu serta berbagai topik yang relevan dalam kehidupan kita.
***
Penerbit : PTS Millenia Sdn Bhd
Boleh dibeli melalui : www.pts.com.my
Harga : Malaysia RM14.90

No comments: