Tuesday, May 13, 2008

KEMBARA - S AMIN SHAHAB



CALITAN KEMBARA
S Amin Shahab pamerkan perjalanan jauhnya

OlehMuhammad Salihin Sulaiman

SEMPENA Program Titian Budaya Malaysia di sini minggu lalu, seniman S Amin Shahab telah mempamerkan karya lukisan- lukisannya yang mengajak orang ramai menghayati catatan kembaranya.

One Kilometer World - itulah tema pameran seniman ini yang berlangsung di ruang Muzium Negara, Glass Atrium, pada 8-11 Mei lalu.

Bagi mereka yang sempat menghayati karya-karya lukisan di pameran itu, ia tentunya satu pengalaman yang bukan sahaja memukau, bahkan membuka minda untuk mendalami kisah di sebalik penjelajahan seniman berkenaan.

S Amin Shahab berasal dari Batu Pahat, Johor, dan pernah mendapat didikan seninya di Akademi Seni Halus Nanyang.

Beliau pernah aktif dalam bidang seni di Singapura satu ketika dulu.
Dalam pameran ini, Amin memamar pengalamannya menjelajah ke pelbagai pelosok dunia seperti Sabah, Sarawak, China, Kemboja, Mesir, India, Greece, Peru dan Mexico.
Dalam pengembaraan ini, Amin merakamkan sejarah dan pengalaman uniknya ke atas kanvas putihnya.

Pastinya, Amin juga ingin berkongsi dunia yang pernah dilihatnya bersama orang ramai.
Dengan hanya menggunakan pena Artline ukuran 0.5 dan 0.4, Amin merakamkan pengalamannya seninya.

Sejauh ini, beliau sudah pun menggunakan sebanyak 1,500 batang pena.
Pengembaraan yang bermula April 2004 itu membawanya ke beberapa negara dan tempat yang begitu asing di dunia.

Beliau sempat singgah ke beberapa tempat di Dunia Ketiga dan melihat sendiri pahit getir kehidupan penduduk di sana.

Ini membawa kesinsafan dan menyentuh jiwa seninya.
Lantas, beliau bertekad kental mencurahkan segala pengalaman itu dengan melukis hingga kanvas lukisannya itu merentang melebihi 700 meter. Niatnya ialah mencapai sejauh satu kilometer - satu perkara yang tidak mustahil baginya.

Hasil kembaranya itu turut menyajikan kepada kita ketamadunan sesebuah kaum yang begitu hebat. Contohnya ketamadunan orang- orang Mesir dahulu kala.
Menjelajah sambil meneroka tempat-tempat itu mencetuskan satu perhubungan antara manusia di berlainan tempat.

Kadangkala karya-karya Amin mendorong kita untuk berfikir kemungkinan keturunan Melayu juga berasal dari Mexico kerana raut wajah mereka memang iras orang Melayu di daerah ini.
Satu lagi penemuan Amin yang berharga dan istimewa ialah salasilah keluarganya hingga ke generasi ke-37.

Beliau tabah melalui perjalanan panjang itu yang seringkali disulami cuaca yang tidak menentu dan terhalang oleh orang-orang yang ingin mengambil kesempatan.
Dengan keteguhan mental, ketahanan diri dan juga stamina untuk menjelajah, secara tidak sedar Amin menemui makam datuknya di Hadralmaut.

Sebagai seniman, Amin memang berkebolehan tinggi dalam seni halus, amat puitis apabila mengarang senikata lagu di samping kritis apabila menjadi pengarah filem.
Sejak zaman 1970-an, Amin begitu aktif dengan lukisan-lukisan surealis dan alam yang penuh misteri.

Beberapa lukisannya juga menghiasi album-album kumpulan Kembara.

No comments: