Thursday, May 29, 2008

KURANGNYA PEMBACA

Dari BH 28 April 2008

KEPADA YANG MASIH SEGAN UNTUK MEMBACA
Oleh
Mohd Raman Daud

SEJAK sepekan, kawasan kompleks Masjid Kassim menjadi pesta baca untuk masyarakat Melayu/Islam.

Bagaimanapun, sambutannya masih begitu-begitu saja, ulas sebahagian orang yang saya temui.

Antara mereka ialah Encik Abdullah Othman, yang juga pengarah Andalus, sebuah syarikat pendidikan Islam yang terlibat dalam acara kemasyarakatan campur niaga.

'Mengapa agaknya orang kita masih belum ghairah membaca atau rakus membeli buku atau bahan bacaan?' tanya beliau.

Ini soalan cepu emas. Sebabnya, sehingga kini pun, selaku anggota penasihat bahagian Melayu untuk Lembaga Perpustakaan Negara, saya belum menemui jawapan yang pasti.

Padahal, para pegawai Melayu pustaka setempat gigih melaksanakan pelbagai kegiatan untuk menarik penyertaan masyarakat kita.
Pada hari-hari biasa, memang jarang perpustakaan setempat dibanjiri anak Melayu sebagaimana dilakukan oleh anak kaum-kaum lain, terutama Cina.

Apakah membaca sesuatu yang asing kepada kita? Tidak sama sekali.

Sebabnya, wahyu pertama ialah 'Bacalah'. Al-Quran mengungkapkan erti membaca, mencari ilmu, berilmu, berhemah, berfikir, merenung dan sebagainya. Semua ini cabang dan perdu bagi aspek teras kehidupan.

Oleh itu, ilmu merupakan teras Islam. Ilmu tidak boleh kesampaian tanpa seseorang itu 'membaca'. Memang benar konsep 'baca' tidak sekadar membelek buku. Menyusur Internet juga boleh dikatakan 'membaca'.

Namun, dalam Islam, tradisi 'membaca' sudah diwujudkan sehingga menjadi semacam amalan sejak di buaian sehingga ke liang kubur. Menimba ilmu sepanjang hayat.

Yang saya amati: orang kita lebih suka pada hiburan - sekadar menjadi penonton belaka dan mungkin juga sebagai peserta. Kita dapat menyaksikan yang berpangkat 'mak cik' sekalipun boleh terkinja-kinja tanpa rasa kekok ketika menyaksikan kehadiran pelakon kacak Indonesia bagi siri televisyen (sinetron).

Bolehkah keghairahan tadi disalurkan ke arah pembacaan? Menurut almarhum Ismail R Faruqi, budaya membaca Muslim yang kian lemah merupakan antara sebab kemerosotan tamadun Islam.

Ini berlaku pada 1258 selepas Baghdad diserang tentera Mongol - bukan saja darah mengalir di sungai Furat dan Dajlah, bahkan dakwat hitam akibat buku-buku dihumbankan ke situ. Dalam zaman Aceh, sebagai kerajaan terbesar Melayu/Islam selepas Kerajaan Melaka, hal serupa berlaku.

Buku dan tulisan Hamzah Fansuri dan pengikutnya dibakar kerana kononnya menyesatkan. Padahal, menurut Profesor Dr Muhd Naquib Al- Attas, Hamzah ialah antara sasterawan terbesar rumpun Melayu dan jauh mengatasi Munsyi Abdullah. Saya syorkan kepada Encik Abdullah agar mendapatkan selebriti untuk menjayakan pesta buku.

Memang jarang kita bentangkan bahawa untuk menjadi bintang filem kenamaan, membaca dan jika dapat boleh menulis, merupakan antara ukur tara penting. Sedang kita masih bernostalgia dengan filem P. Ramlee, jarang kita didedahkan bahawa beliau memang suka membaca majalah dan pernah menjadi 'tauke' majalah Gelanggang Filem.

Namun, belum terlambat untuk kita mengatur semula perjalanan masyarakat Melayu ke arah suka mengejar ilmu menerusi pembacaan. Sekadar contoh paling dekat ialah penakatan akhbar ini. Kami telah mengerahkan para wartawan muda untuk ke sekolah-sekolah dan memujuk guru-guru bahasa Melayu menggunakan akhbar ini.

Baru saja khemah Obor untuk para pelajar menengah berakhir. Hal serupa boleh dilakukan oleh kelab masyarakat yang mempunyai kegiatan budaya Melayu.

Usah asyik berkaraoke saja. Malah, peraduan membaca, berpantun, bersajak, kuiz dan sebagainya boleh diadakan sepanjang masa. Ini semua mendorong peserta membaca tanpa menanti acara Bulan Bahasa.

Encik Abdullah memberitahu saya bahawa antara ciri kemajuan sesebuah masyarakat ialah kecenderungan membaca. Ini tidak perlu dipertikai.

Baru-baru ini, dikatakan Korea Selatan mula mengatasi Jepun sebagai masyarakat Asia yang gigih membaca. Tidak hairanlah produk Korea Selatan, terutama telefon bimbitnya, kian popular.

Namun, seorang kawan saya menyanggah bahawa orang Melayu jarang membaca. Katanya, buku cinta masih laris, begitu juga majalah hiburan.

Betul. Tetapi jumlah pembaca sedemikian pun masih kecil. Apatah lagi pembaca buku serius - menampung ilmu tinggi, termasuk sains.

Mungkin sudah masanya strategi membaca orang Melayu difikirkan daripada kita sekadar tertumpu pada soal masalah sosial yang masih merantai tanpa habisnya.

Libatkan seluruh pertubuhan Melayu, perpustakaan dan para pakar untuk memikirkan tahap demi tahap merubah jiwa masyarakat kita.

Kita fikirkan: apakah para-para buku di masjid itu cukup menarik bahan bacaannya atau dibiarkan sampai berhabuk? Apa sebabnya?

Dan di rumah, kita tampilkan keluarga yang boleh menceritakan rasa seronok membaca. Paparkan dalam selitan treler Suria atau Warna seperti rancangan belajar bahasa Melayu kelolaan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Yuk, datanglah ke kompleks Masjid Kassim. Esok pula, pada 3 petang, berlangsung ceramah Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad anjuran Pergas. Kita perlu mula memukul canang kesedaran.

Manakah yang lebih baik, selain amalan membaca. Bak wahyu pertama.

No comments: