Tuesday, May 27, 2008

RESENSI ANUGERAH BULAN BUAT BONDA


Resensi ABBB dari http://kekohchar.blogspot.com/

ANUGERAH BULAN BUAT BONDA OLEH MUHAMMAD SALIHIN SULAIMAN


Sejarah Bonda yang panjang
Ranjau duri liku gundah
Pada setiap malam yang larut
Tangisan menembusi tembuk kasih

Anugerah emas bukan layak untukmu
Anugerah permata hanya sekecil debu
Untuk ku berikan padamu

Tersingkir di bumi sunyi
Tak sanggup melihat
Deraian air jernih
Berjujuran di pipi kedutmu

Bisumu yang memanjang
Gegarkan bumi, gelapkan awan

Namun di hari bahagia ini
Anugerah Bulan Buat Bonda
Selayaknya untukmu

Doaku, janjiku serta pasrahku
Itu yang termampu
Untuk sebuah anugerah untukmu

Sebetulnya aku telah khatam membaca buku di atas lebih sebulan yang lalu tapi hanya kini berpeluang menulis ulasan pendek mengenainya.

Buku ini ku beli sempena Pesta Buku Antarabangsa bulan lepas. Kebetulan semasa aku mengikut Mak Teh berkunjung ke gerai Al-Ameen, aku telah berkesempatan bertemu dengan penulis yang berasal dari Kota Singa ini. Aku belum pernah membaca tulisan beliau lalu buku beliau aku beli. Ternyata satu pilihan yang tepat.

Tulisannya sarat dengan pengajaran dan peringatan. Mesej yang disampaikan serius tetapi disampaikan dengan cara yang sangat kreatif. Buku ini mengandungi cerita-cerita pendek pelbagai tajuk.

Dimulai dengan "Anugerah Bulan Buat Bonda" yang menceritakan kisah sedih seorang ibu yang terbuang di rumah orang-orang tua tanpa dipedulikan zuriatnya sendiri melainkan seorang saja yang prihatin, yang mana dia sendiri kurang upaya.

"Dedaunan" pula mengingatkan kita bahawa tiada yang kekal di dunia ini kecuali Yang Maha Pencipta. Satu peringatan supaya menggunakan peluang yang ada tanpa sia-sia. Sangat kreatif sekali cara penulisannya.

Aku seperti mendapat dorongan kuat apabila membaca ungkapan berikut di dalam cerpennya yang bertajuk "Menziarahi Siarah":

"Jangan kecilkan cita-cita kamu, kerana cita-cita yang kecil akan menyebabkan seseorang mundur dalam gerak langkah perjalanan hidupnya menuju kejayaan."

Cerpen ini mengingatkan kita tentang tanggungjawab sebagai ibu bapa. Perihal anak-anak luar nikah dan juga kesibukan ibu bapa menguruskan hal-hal duniawi tanpa memperdulikan hal-hal ukhrawi.

Ada banyak lagi kisah pengajaran yang lain semuanya disampaikan pada pendapatku dalam bentuk yang berbeza sebagaimana biasanya. Ceritanya ada yang bercampur fantasi tetapi masih saja relevan dengan mesej yang hendak disampaikan. Tentunya penulis mempunya daya imaginasi yang tinggi untuk menulis karya seperti ini.

"Jendela Waktu" membuatku mengalir airmata kerana mengenangkan nasib ku nanti di Padang Mahsyar. Apa beginikah nanti ditontonkan setiap dosa-dosa manusia nanti? Ketika itu, pintu taubat telah tertutup dan tiada apa lagi yang dapat seorang bernama manusia lakukan.

Semua cerpen beliau penuh pengisian dan sarat dengan peringatan. Melalui tulisannya ini, aku berkesimpulan penulis ini mempunyai caranya yang tersendiri, yang unik dalam menyampaikan mesej-mesej beiau. Kalau anda nak tahu apakah keunikannya, silalah membaca buku ini. Insya-Allah tidak rugi membacanya. Memang sekarang sudah ramai penulis-penulis tempatan menghasilkan karya mereka tetapi untuk mencari karya yang betul-betul ada "substance" seperti yang ini memang tidak banyak. Muhammad Salihin Sulaiman telah berjaya membuatkan aku ingin terus membaca karyanya lagi.

Jika ada yang berminat, buku ini ada disewakan di EL-WARRAQ. Sila lah kesana untuk butiran lanjut.

No comments: