Monday, June 23, 2008

BANGKITLAH

RENCANA INI DISIARKAN DI MAJALAH MANJA DALAM RUANGAN LEPAS CAKAP- JULAI 2008

APRESIASI TEKS & WARNA
Bila diberi peluang untuk menulis dalam ruang lepas cakap ini, rasa-rasanya ada 1001 macam perkara yang terbungkam di hati yang ingin diluahkan. Namun, setelah ditapis hampas-hampasnya, saya rasa lebih baik saja berhemah dalam hal ini. Bukan setakat nak ‘membuka pekong di dada’, cuma mahu curahkan apa yang selama ini terjerat di hati.
Dua perkara prominen yang penting ingin disampaikan ialah dua bidang yang telah lama saya ceburi dan sayangi. Pertama, ialah dunia teks - sastera, dan kedua ialah dunia warna – seni lukis.
Saya ingin meminjam istilah seorang teman yang “khuatiri dunia sastera Singapura semakin nazak", tak bernafas lalu mati di tengah dunia globalisasi yang semakin hebat. Satu ketika, saya pernah bertanya kepada para pelajar bahasa Melayu sekolah menengah sewaktu menjalani bengkel penulisan di sekolah-sekolah, “Siapakah tokoh-tokoh sastera di Singapura?” Para pelajar hanya memandang muka saya dan menggaru-garu kepala. Tiada jawapan muncul dari mereka.
Namun, jangan jadikan ia satu hambatan untuk meningkatkan karya. Apa yang menjadi ketidakpuasan para penulis kita ialah kurangnya khalayak pembaca dan keterbatasan ruang. Sambutan pembaca terhadap karya tempatan agak dingin dan ia tidak akan berganjak selagi tidak ada satu mekanisme yang dapat mencetuskan minat membaca. Para pembaca Singapura yang gemar membeli dan membaca bahan sastera secara rambang hanya segelintir saja. Tetapi, kalau bahan hiburan, paling laris dibeli dan dimiliki.
Satu lagi fenomena yang sukar disorok di bawah bantal, bila si penerbit tidak bersikap jujur dan tulus terhadap para penulis itu sendiri. Diputarbelitkan akaun dan manipulasi jumlah dan royalti penjualan buku. Sikap bisnes untuk poket sendiri, lambat-laun akan memusnahkan dunia sastera Singapura.
Sewaktu berada di Pesta Buku Antarabangsa KL di PWTC pada tahun 2007 dan 2008, saya amat tertarik dan juga ‘iri-hati’ dengan kemeriahan para pembaca datang untuk membeli buku. Ramai diantara mereka terdiri dari golongan muda yang minat membaca. Dalam pesta itu, saya sendiri melihat Isa Kamari, penulis Singapura, penerima Pingat Budaya sibuk tandatangan buku-bukunya. Dan Faisal Tehrani, penulis tersohor Malaysia, lebih jenuh menurunkan tanda-tangannya kerana dia mempunyai lebih ramai peminat dan memiliki lebih 20 judul buku.
Para pelapis Singapura harus berfikir luar dari konteks biasa untuk berdiri sama tinggi dengan pengkarya yang mapan. Mereka harus berani menerobos dinding kaca yang menjadi penghalang selama ini.
Langkah yang lebih berani dan positif yang telah dilakukan oleh Isa ialah menterjemahkan karya-karyanya kepada bahasa Inggeris untuk menembusi pasaran internasional yang lebih luas.
Kini, karyanya yang berjudul One Earth, terjemahan dari novel Satu Bumi disertakan dalam Australian-Asian Literary Award 2008, yang menjanjikan hadiah berjumlah AUS$110,000.
Apresiasi terhadap sastera Singapura amatlah rendah. Sebuah judul buku, biasanya dicetak sebanyak 1,000 naskah; untuk menjualnya akan makan masa beberapa tahun. Tapi menurut seorang teman, buku Koleksi Cerpen bertajuk SAGA, karya Cikgu Ishak Latiff telah habis dijual dan dirancang untuk diulang cetak. Ia boleh dianggap satu kejayaan. Mungkinkah, formula pemasarannya boleh diterapkan kepada buku-buku lain. Ataupun si penulis sememang ramai pengikut.
Untuk buku koleksi puisi sufi – Perahu Melayu di Lautan Khulzum karya Hj Johar Buang, penjualannya melepasi 15,000 naskah. Ini adalah satu fenomena dan buku ini memang patut dimiliki oleh setiap pembaca. (Namun, jumlah tepat yang terjual di Singapura tidak diketahui)
Pernah pada satu ketika, diura-urakan oleh kementerian untuk menggunakan bahan-bahan sastera di sekolah-sekolah Singapura. Sejauh ini, belum lagi kelihatan pelancarannya. Dan amat dukacita sekali bila saya pernah melihat ada penerima Anugerah Tun Seri Lanang tidak ada keistimewaan untuk menerbitkan karya-karya mereka.
Mengadakan sayembara saja tidak mencukupi. Sebenarnya, cara termudah untuk semarakkan karya-karya tempatan kita ialah dengan mendidik para pelajar supaya mengenali dan mengapresiasi karya-karya tempatan. Tak perlulah saya beritahu lebih lanjut golongan mana yang haus mengusahakannya.
Dunia seni halus atau seni tampak juga dikhuatiri akan mengalami periode ketandusan atau pun kegersangan. Kini, ramai para pelukis dari generasi pelapis mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan diploma. Dan ramai juga yang kini telah memiliki ijazah dan juga sarjana dalam bidang seni. Ini amat memberangsangkan. Namun, untuk semarakkan bidang seni bukan perkara yang mudah.
Apresiasi terhadap seni yang penuh warna-warni ini dianggap ke taraf yang agak rendah. Seniman kita tidak mungkin dapat menuju lebih jauh lagi jika tidak ada sokongam dari khlayak sendiri. Peranan media adalah perlu, dan bukan setakat nilai-nilai hiburan dan komersil saja. Sejauh ini, belum lagi ada rancangan khusus dalam bidang seni tampak. Tidak mungkin Singapura akan menjadi kota Art Renaissance jika sokongan dari media amat berkurangan.
Jika digabungkan Teks & Warna, ia berupaya mencetuskan sesuatu yang fantastik. Jumlah para pelukis setempat memang ramai, dan tidak pernah terlintas di fikiran kita bahwa sebenarnya mereka ini umpama lombong emas. Untuk mewarnakan dunia seni mereka, apa yang harus dilakukan ialah menghasilkan sesuatu yang dapat menggemparkan dan akan diingati sepanjang hayat.
Sebagai contoh, S Amin Shahab – pelukis, penulis lirik, dan pengarah filem yang pernah bergiat di Singapura - berhasrat untuk melukis hingga ke satu kilometer hanya dengan pena Artline dan kanvas putih. Setakat ini karyanya sudah mencapai 800 meter dan untuk mencapai matlamat seterusnya, bukan satu perkara yang mustahil.
Para pelukis kita harus berani berkarya dengan satu idea yang besar untuk mencapai satu matlamat yang lebih besar. Fikirkan untuk lakukan sesuatu yang terbesar, ataupun yang terpanjang, yang paling tinggi, ataupun yang terbanyak, tanpa berbertolak-ansur dengan kesenian..
Dunia warna juga memerlukan teks untuk memperkasakan karya. Mulai dari sekarang, para pelukis kita harus mendokumentasi atau membukukan karya-karya mereka untuk jangka masa panjang. Semua karya-karya yang telah dihasilkan sekurang-kurangnya harus didokong dengan teks supaya lebih mantap dan lengkap.
Untuk jangkamasa panjang, para pelukis kita harus mempunyai aspirasi yang tinggi seperti memiliki galeri sendiri ataupun menciptakan karya yang dianggap ‘dasyat’.
Sebuah galeri seni Mohammad Din Mohammad yang berada di Durian Tunggul Melaka telah pun didirikan. Idea yang dicetuskan sewaktu hayatnya kini sudah menjadi kenyataan dan. Hampir kesemua karya-karya dan koleksi arwah sebagai seorang seniman, ada terkumpul di sini. Dan aktiviti-aktiviti lain juga akan dianjurkan di galeri ini.
Apa yang sangat-sangat saya harapkan dalam masa terdekat ini ialah perubahan mentaliti khalayak dan Teks (sastera) kita pula melalui transformasi kepada lebih vibrant. Harapan lain, agar Warna (seni tampak) Singapura berkembang dan menuju ke landasan yang meluas.
Segalanya bermungkinan jika kita posiif dan usaha ke arah itu,


Biodata Ringkas :
Muhammad Salihin Sulaiman
Menulis dalam genre Novel, Cerpen, Rencana, Reviu, Skrip, Terjemahan, Puisi
Editor majalah dan pembimbing bengkel penulisan kreatif
Penerima Anugerah PENAMAS 2008 (Persuratan) 2008

No comments: