Saturday, February 7, 2009

PELAUT JADI SASTERAWAN

Pelaut jadi sasterawan
Oleh ROOSFA HASHIM

Arena Wati meninggalkan untuk kita berpuluh-puluh karyanya dalam bentuk novel. Allahyarham akan tetap diingati dengan karyanya yang kuat seperti Sandera dan Lingkaran. Ciri utama yang selalu diangkat dalam beberapa karyanya yang awal ialah kecenderungannya menyuntik semangat nasionalisme ke arah kemerdekaan, menyisipkan semangat perjuangannya yang kental terutama pada wataknya sendiri sebagai pelaut serta menyelitkan jati diri Melayu.
Siapakah Arena Wati sebenarnya? Untuk siapa Allahyarham belayar merentas samudera luas dan ombak ganas di seluruh kepulauan Nusantara? Apakah yang dimuatkan dalam Sorga Bone, kapal Bugis yang nakhodanya ialah Andi Mohallan bin Andi Beang. Dalam kad Angkatan Muda Pelaut Republik Indonesia, namanya dicatatkan sebagai Muhalan. Yang kemudian apabila naik ke darat dikenali pula dengan nama Arena Wati.
Arena Wati baru berusia 17 tahun sewaktu menjadi nakhoda Sorga Bone dengan dibantu jurumudi, jurubatu bersama kelasi yang kesemuanya 21 orang. Mereka berpangkalan di Semarang dan belayar ke Pontianak, Pemangkat (Kalimantan Barat), Palembang, Tanjung Karang (Sumatera Selatan) dan Singapura. Allahyarham dan anak buahnya bukan sahaja belayar sambil mengelak terumbu karang tetapi juga periuk api dan peluru berpandu dari kapal selam tentera bersekutu terutama di Selat Melaka, Selat Sunda, Selat Karimata (di perairan Kalimantan Barat) dan Laut di sekitar Pulau Natuna dan di Laut Jawa sendiri.
Kepimpinan Arena Wati yang muda belia dihormati kerana reputasi ayah dan datuknya, Abdul Fatah yang terkenal sebagai nakhoda terbilang. Darah pelaut mengalir deras sepanjang pembuluh darah dan salur nadinya. Allahyarham juga dikenali sebagai cucu Abdul Rahman Imam Kalumpang yang alim dan warak. Bahkan Arena Wati sendiri bekas pengakap Hisbulwatan yang berpegang teguh kepada rukun iman yang lima. Bermodalkan semua inilah meletakkan Arena Wati sebagai nakhoda yang dihormati dalam kalangan kelasinya yang meninggalkan anak isteri dan singgah dari pulau ke pulau dengan pelbagai cabaran dan godaan.
Semasa Perang Dunia Kedua, Arena Wati disyaki menjadi agen tentera Bersekutu. Kepada tentera Jepun, Muhalan ialah nakhoda kapal yang bekerja untuk tentera Bersekutu, belayar di Nusantara sambil singgah ke kapal selam tentera bersekutu menyampaikan maklumat bagi menyusun strategi memerangi Jepun.
Sewaktu Sorga Bone masuk ke Semarang dari Singapura kapal itu diperiksa kerana disyaki membawa radio dan pemancarnya untuk siaran haram di wilayah yang dikuasai Jepun. Tiga peti pakaian Arena Wati yang cantik dan mahal-mahal yang ditempah di Singapura diangkut oleh Jepun. "Orang muda tidak boleh mempunyai terlalu banyak pakaian!" bentak askar Jepun. Arena Wati menitiskan air matanya, dalam usia remaja, Allahyarham ranggi tanpa pakaian, samalah seperti burung yang dicabut bulu-bulu sayapnya.
Tahun 1944 Jepun menghadkan kapal hanya boleh membawa seratus rupiah Jawa dan seratus ringgit Malaya. Selebihnya mesti disimpan di bank. Arena Wati sedar dan yakin Jepun akan kalah dan wang di bank akan hangus begitu saja. Justeru Allahyarham ingkar dengan arahan itu. Maka semua wang tunai disimpan dalam peti di kapal. Pada Mac 1945, semasa di Pontianak kapal mereka diperiksa kerana dicurigai membawa risalah atau surat berita anti Jepun yang dikutip dari kapal selam Bersekutu di laut untuk diedarkan kepada penduduk.
Untuk mengelakkan kesemua kelasi ditahan, Arena Wati mengaku kesemua wang itu miliknya. Hampir seminggu dia disoal siasat, disepak dan diterajang serta diancam bunuh oleh Kempeitai Jepun. Allahyarham kemudian disoal tentang penglibatannya dengan gerakan bawah tanah di Kalimantan dan hubungannya dengan Menteng 31 di Jakarta. Arena Wati sedar kebanyakan mereka yang terlibat dalam kalangan kebangkitan Islam menentang Jepun di Samarinda, Banjarmasin dan di Pontianak telah ditangkap dan dibunuh, termasuklah Sultan Pontianak. Semasa Allahyarham disoal siasat bertubi-tubi Pontianak diserang oleh kapal terbang Tentera Bersekutu. Kempeitai Jepun lari bertempiaran menyelamatkan diri di lubang perlindungan. Arena Wati dengan hanya berseluar dalam pun apa lagi, lari lintang pukang di celah-celah hujan peluru dan bom kapal terbang tentera Bersekutu menyelamatkan nyawanya tanpa ada sesiapa yang peduli.
Kempeitai Jepun tidak melupakan langsung nakhoda Muhalan. Tidak lama selepas itu dia ditahan lagi, kali ini di Tanjung Pandan. Tidak ada apa yang dapat menyelamatkannya kali ini. Surat pujian daripada Jawahansen Kumiai kepadanya sebagai juragan muda yang berani menembusi laut Jawa pun tak dapat menolongnya.
Arena Wati menghadapi empat tuduhan, iaitu menyorokkan terlalu banyak emas; menyimpan terlampau banyak wang tunai yang sepatutnya dimasukkan ke bank; menjadi mata-mata musuh, iaitu orang laut Bangka-Belitung-Riau dan menyampaikan rahsia untuk tentera bersekutu. Arena Wati juga dituduh secara rahsia menjadi perantaraan orang-orang Menteng 31 dengan rakan mereka di Kalimantan, Sumatera dan Bangka-Belitung. Menteng 31 ialah rumah batu bekas kediaman pegawai kolonial Belanda yang elit, yang dijadikan pusat gerakan pemuda-pemuda nasionalis radikal Indonesia pada zaman Jepun. Cuma satu saja hukuman yang menantinya: "Potong Kapara!" (potong kepala!)
Setiap pagi Allahyarham hanya diberi makan bubur beras bercampur kacang hijau dengan ikan kering. Dalam tahanan siang dan malam sama saja. Entah berapa lama dalam tahanan Allahyarham sendiri tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Kalau tidak lupa menghitung jumlah bubur dua kali sehari yang diberikan kepadanya tentu dapat Allahyarham menghitung jumlah hari Allahyarham disumbat ke penjara. Jam tangan Mido pemberian ayahnya tidak dikembalikan kepadanya oleh askar Jepun.
Allahyarham tidak tahu bilakah lehernya akan dipancung. Bila nyawa akan bercerai dari badan. Setiap saat dinantikan dengan rasa gentar, pasrah dan berdosa. Apabila mengantuk, Arena Wati menghitung kepingan lantai pangkin tempat tidurnya. Setiap kepingan diikuti dengan perkataan "hidup - mati - hidup - mati - hidup . . ."
Pada suatu hari (kemudian Arena mengetahui itu adalah hari ke-58 dalam tahanan) apabila piring bubur disodorkan kepadanya, dia terdengar suara berbisik "Kalau sudah makan, sebelum menyerahkan kembali kembali piring ini, lihat di belakangnya. Ada tulisan!"
"Sorga Bone siap muatan untuk Bangkok. Besok pagi belayar. Malam ini kami datang. Siap!" Itulah tulisan di belakang piring bubur itu. Arena Wati yang menghadapi saat dipancung tiba-tiba jadi gembira kalau dapat dilepaskan, bingung siapa yang akan melepaskannya, bimbang kalau rencana melepaskannya gagal. Malam itu, seperti dirancangkan, Muhalan dilarikan daripada tahanan. Dua kali Allahyarham terlepas dari "Potong Kapara!"
Perjuangan Arena Wati semasa perang penuh rahsia. Tidak siapa mengetahui dengan jelas akan sumbangannya dalam masa pemuda lain bergerak di darat. Dari mana datangnya senjata di darat kalau tidak ada yang memainkan peranan di laut? Untuk apa emas berbongkah-bongkah kalau bukan untuk menyokong perjuangan bangsanya? Di darat, Allahyarham dan keluarganya sendiri hidup serba sederhana.
Apabila Jepun menyerah kalah dan Indonesia merdeka, nakhoda Muhalan pun mengoyakkan layar kapalnya dan mudik ke pelabuhan. Allahyarham menyambung semula perjuangan menggunakan pena. Sebelum itu, semasa di Makasar, Allahyarham menulis untuk akhbar Pedoman Rakyat.
Kerjayanya sebagai penulis selepas perang bermula di syarikat penerbitan di Singapura. Allahyarham bekerja sebagai pengarang di Royal Press bersama Cikgu Harun Aminurashid dan menerbitkan majalah Hiboran. Selain itu, Allahyarham juga bekerja di Harmy Press. Allahyarham kemudiannya ke Johor Bahru dan bekerja di Penerbitan Melayu Ltd. Allahyarham memakai nama Patria dan Duta Muda tetapi kekal sebagai Arena Wati.
Maksud
Arena Wati akan dikenang kerana karya-karyanya yang kuat dan besar jumlahnya. Antara karya Allahyarham yang awal ialah Kisah Tiga Pelayaran yang terbit pada tahun 1959 di Singapura. Antara novel Allahyarham yang kuat ialah Lingkaran (1962), Sandera (1971).
Dalam karya-karyanya Arena Wati sering meletakkan harapannya pada generasi muda. Di sudut manakah lagi harapan-harapan itu dapat ditumbuhkan? Orang selalu mengeluh dan marah-marah kepada anak-anak muda kita sekarang. Bagi saya, kenapa marah? Merekalah korban jiwa semangat daripada perbuatan kita. Mereka tumbuh dari masyarakat yang kita bina. Kenapa tunggu buah padi daripada lalang?
Hasil asuhan kita, hasil pelajaran kita, hasil daripada keputusan rasmi yang dilaksanakan, maka itulah hasilnya. Dosanya pada kita, dan anak-anak muda itulah deritanya. Kitalah yang melahirkan generasi baru tidak bermotivasi itu.
Pada 1955 sewaktu mengumpul bahan untuk menulis Sandera, Arena Wati ngeri melihat genesis yang akan jadi gejala akibat keghairahan tidak menentu pada istilah politik jos soli, katanya: " kalau dasar ini diterima sebagai legitimasi yang sah, kita akan mampu membina negara yang kita cinta, tetapi pada waktu yang sama kita akan membunuh secara perlahan-lahan bangsa yang kita sayangi."
Sandera ditulis lapan hari lapan malam di Kuala Terengganu pada 1966. Waktu siang Arena Wati berjalan kaki dan menaiki beca ke seluruh pelosok bandar itu. Sebelah malam beliau bertekun dengan Sandera yang ditulisnya. Selama lapan hari di Kuala Terengganu, siap dua jilid Sandera. Manuskrip itu kemudian dipertandingkan dalam Sayembara Novel Sepuluh Tahun Merdeka pada tahun 1968 dan memenangi tempat ketiga. Pada penghujung 1970 Arena Wati terperanjat apabila menerima panggilan telefon daripada Saroja, isteri Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memberikan ucapan tahniah atas kemenangan Sandera di tempat ketiga, tiada pemenang pertama dan kedua.
Menurut Arena Wati, Allahyarham kemudian dinasihatkan, kononnya menurut kehendak Tun Razak, supaya watak orang Inggeris dalam Sandera dibuang semuanya dari peranan awal hinggalah ke akhir. Sebagai tanda setia, Arena Wati menurut nasihat tersebut dan mengerjakan pembetulan seperti yang dikehendaki. Tetapi, selepas itu tidak terdengar sebarang khabar berita. Tiada ura-ura majlis penyampaian hadiah. Arena Wati berasa, kemenangan Sandera seperti kelahiran anak yang tidak dikehendaki oleh penganjur sayembara itu sendiri.
Pengalaman Sandera hampir mematahkan semangat Arena Wati untuk menulis novel. Sandera hanya terbit tiga tahun kemudian pada 1971. Oleh sebab itulah dari tahun 1970 hingga 1974, Allahyarham hanya menghasilkan Eno. Arena Wati memerap Eno lima tahun sebelum menyerahkannya kepada penerbit. Hatinya betul-betul merajuk. Pada 1978 baru muncul Royan dan pada 1979 terbit Rontok. Semasa merajuk, Arena Wati cuma menulis cerpen. Pada 1972 Allahyarham memenangi hadiah Sastera melalui cerpennya Wisata dan pada 1973 dua buah cerpennya memenangi Hadiah Sastera, iaitu Alun Menggulung Perlahan dan Bukan Satu Jalan ke Mekah.
Sandera penuh dengan kisah kebangkitan rakyat Nusantara menentang penjajahan. Sebagai sebuah kritik sosial, Sandera juga mengandungi pedoman dan nasihat kepada generasi yang hidup selepas merdeka agar menghargai dan mengisi makna kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh generasi terdahulu.
Sandera memaparkan perjuangan watak Busad dan lingkungannya - sahabat-sahabat dan ahli-ahli keluarga. Semua mereka hidup dalam era yang serba mencabar serta menuntut pengorbanan harta, masa dan keluarga. Busad, seorang pelopor yang menentang Belanda telah berjaya melarikan diri daripada ditahan. Jelaslah kisah ini amat mirip dengan pengalaman Arena Wati sendiri yang dua kali hampir dipancung Kempeitai Jepun.
Demikianlah sepotong daripada babak panjang dalam sejarah hidup 84 tahun Arena Wati yang diceritakannya dalam memoir Allahyarham Enda Gulingku dan sebahagiannya daripada apa yang dikhabarkannya kepada saya. Selama hampir dua puluh tahun saya dapat menguruskan tujuh judul novel Allahyarham (enam dalam dua trilogi Busa dan Armageddon) mendedahkan saya dengan banyak pengalaman hidupnya yang sebahagiannya tidak diceritakannya dan tidak dituliskan. Setiap kali berulang alik dari rumah saya di Bangi ke rumah Allahyarham di Petaling Garden, saya membawa dan melontarkan banyak persoalan kepadanya. Kadang-kadang saya dapat merasakan Allahyarham terusik dengan soalan-soalan saya itu.
Ada ketikanya saya tidak dapat menahan perasaan ingin tahu apakah Allahyarham turut memuatkan senjata untuk disalurkan kepada pejuang kemerdekaan di seluruh Nusantara. Kapalnya belayar hingga ke pelabuhan besar di Indocina, Singapura dan pelabuhan besar lain di Nusantara. Allahyarham tidak menangkap ikan. Di kapalnya bertimbun bongkah emas dan berpeti-peti rupiah dan ringgit Malaya. Untuk apa semua itu? Apa yang dilakukannya di kota-kota besar seperti Thailand dan Vietnam atau di Singapura? Kadang-kadang Arena Wati mengalah dengan soalan yang banyak itu.
ROOSFA HASHIM, Pensyarah di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.


No comments: