Tuesday, January 5, 2010

MALAM GEMILANG LAGU2 KEROHANIAN






KONSERT MALAM KEBUDAYAAN ISLAM III
MALAM GEMILANG DENGAN LAGU-LAGU KEROHANIAN
Oleh
Muhammad Salihin Sulaiman
Di mana-manapun, memang jarang sekali untuk kita menikmati lagu-lagu dakwah dan kerohanian dalam bentuk sebuah konsert mega. Pada 19 Disember yang lalu, dengan anjuran Madrasah Aljunied Islamiah dan Planet Spiritual, konsert Malam Kebudayaan Islam III telah menjadi satu kenyataan. Bukan itu saja, konsert itu juga telah ditonton oleh ramai lagi orang secara langsung melalui lelaman IslamicEvents.sg. Konsert itu dilengkapi dengan irama dan lagu-lagu kerohanian, ketuhanan, dakwah serta doa dalam nada kontemporari.
Tujuan utama untuk mengadakan konsert ini ialah mengumpulkan dana Pembangunan Pelajar madrasah. Dengan pengumpulan dana ini, ia boleh dimenafaatkan oleh para pelajar dalam latihan-latihan bidang kemahiran hidup serta program-program kepimpinan. Dengan program-program ini, para pelajar madrasah akan lebih bersedia untuk mengharungi kehidupan masa depan.
Lebih dari 1,500 orang telah menghadiri konsert, walaupun lebih dari 4000 tiket telah dijual. Konsert tersebut telah berlangsung di Fort Canning Park (Fort Green) dengan pentas yang megah dan kesan pancaran cahaya yang menakjubkan.
Walaupun hujan telah turun sehari suntuk, ia tidak mematahkan semangat para hadirin untuk mengikuti konsert yang telah berlangsung selama dua jam itu. Mujur hujan telah berhenti beberapa jam sebelum konsert itu bermula.
Setelah lagu instrumental sebagai pembukaan, dan ucapan dari tetamu terhormat, Tuan Hawazi Daipi, Anggota Parlimen Kawasanundi Sembawang, konsert itu berjalan dengan padat dan menghiburkan. Dengan lagu-lagu ketuhanan dan keIslaman yang didendangkan sepanjang malam, ia merupakan konsert yang telah menimbulkan kesyahduan dan keinsafan..
Konsert itu diacarakan oleh Azhar Nor Lesta, seorang pelakon Singapura yang mapan. Selain menjadi pembawa acara, Azhar telah memberi sentuhan dramatik sambil membaca surah-surah dari Quran dan juga berpuisi. Dengan iringan melodi organ yang dimainkan oleh Dzul Rabull yang sayup-sayup di latar, bacaan puisi yand dideklamasikan oleh Azhar Nor Lesta kadangkala memercik keinsafan dalam diri.
Sebagai penyusun dan pengarah muzik untuk konsert ini, lagu-lagu yang dimainkan oleh para pemuzik profesional sungguh memberi kesan. Dalam lagu pembukaan yang dinyanyikan oleh Masimran yang berjudul, Bila Waktu Berakhir, bait-bait liriknya memberi makna yang amat mendalam. Pastinya ada yang tersentuh di sebalik bait-bait lirik yang dinyanyikannya.
Selepas persembahan Masimran, penyanyi dari Madrasah Aljunied Syamil, Ustaz Sofyan, Imran, Wan Ramli, Azli dan Apit turut mendendang lagu nasyid kontemporari dari album mereka sendiri. Lagu-lagu seperti Sifat 20, Hasbi Robbi, Allahu Allah, Solatullah Salamullah dan Astargfirullah di selang-selikan dengan lagu dakwah kontemporari.
Maman Teacher’s Pet menyanyikan 3 lagu yang berunsur ketuhanan dan keIslaman. Dia mendendangkan lagu berjudul Kasihku Pinjam WajahMu dari album Teacher’s Pet yang berjudul Eh! Keras tu. Lagu ini yang liriknya diilhamkan oleh arwah Loloq memang luas maknanya. Dan dua lagi lagu dari album Maman yang terkini yang berjudul Hijrah. Kedua-dua lagu itu memuji Rasulullah yang berjudul Kerinduan dan Ruh Alam Semesta.
Dua lagi lagu yang disampaikan oleh Masimran yang berjudul Ketika Tangan dan Kaki Berkata dan Bianglala memperlihatkan betapa Agung yang Allah dan betapa kerdilnya kita sebagai insan. Para peminat vokalnya yang mantap, nantikan album Masimran yang akan diterbitkan tidak lama lagi.
Syabas juga kepada pelajar-pelajar perempuan Madrasah Aljunied yang telah bermain angklung dan kulintang sebagai pengiring muzik. Dalam masa yang terdekat ini, akan muncul sebuah album oleh para pelajar ini yang bermain angklung dengan irama-irama selawat.
Pujian kepada tujuh pelajar lelaki yang turut membantu sebagai suara latar. Pujian juga kepara para pemuzik yang menjadi nadi dan telah menjayakan konsert ini :
Dzul Rabull – pengarah muzik/piano/keyboard, Alhafiz - pembantu pengarah muzik / seruling buluh, Azrin Abdullah – gambus/gitar, M Nor - gitar bass, Mohd Ali –keyboard, Khairul – rebana/gendang sunda, Md Yaziz- percussion, Hidayat – drum dan Ismahairie Putra – viola.
Pada akhir konsert tersebut, Puan Muliya Bte Nawaz telah memenangi sebuah motosikal Harley Davidson Sportster dalam cabutan perdana. Harga motosikal di pasaran sekitar $18,000 tidak termasuk COE.
Harus dipuji juga, Zag Fahmoa yang telah menerajui dan menjadi pengarah konsert itu. Sebelum malam tersebut berakhir, kesemua para artis telah membawakan lagu Bila Waktu Berakhir sekali lagi untuk memperingati diri kita sebagai seorang insan begitu kecil.
Bila waktu telah memanggil
Teman sejati tinggallah amal
Bila waktu telah berhenti
Teman sejati tinggallah……sepi.

No comments: